Melihat Alam Melalui Mata & Hati Abdul Ghani Hamid
Arts
4 May 2012
Seeing Nature from the Eyes and Heart of Abdul Ghani Hamid
The poems of Abdul Ghani Hamid are inspired by his keen sense of his natural surroundings, and express his deep love for earth’s serenity and natural beauty. The poems discussed in this article capture the author’s thoughts and feelings on the rapid changes in his environment.
Learn more about Abdul Ghani Hamid by visiting the Singapore Literary Pioneers Gallery at http://exhibitions.nlb.gov.sg
Apabila kita membicarakan karya-karya Abdul Ghani Hamid, kita tidak dapat menafikan betapa prihatinnya beliau dengan alam sekitarnya dan perubahan-perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Mungkin atas dasar inilah beliau banyak menulis dan merakamkan puisi-puisi yang berkisar pada alam sekitar dan juga tentang tempat-tempat yang mempunyai kesan terhadap beliau.
Menurut Mohamed Latiff Mohamed (2011), Abdul Ghani Hamid merupakan seorang pencinta alam yang lembut, tenang dan penyabar dan beliau menjadikan alam sebagai contoh “betapa kaya dan indah alam ciptaan Tuhan. Antaranya puisi yang menyampaikan perutusan sebegini ialah:
Alam Ini Kami Punya (1965)
Kami cinta alam ini
pada puspa mekar di puncak tinggi
atau semut melata di bumi
dalam lukisan kami.
Merasa indah semuanya
dalam seribu kejadian bercerita
dari wajah jelita manis
hingga si pincang hamis.
Alam yang engkau dan kami punya
pada karya kami disua
berhimpun rasa dan suara
kami melukis kerana cinta.
Alam ini kami punya
untuk manusia fahamkan cinta.
Melalui puisi ini beliau mengajak pembaca “merasa indah semuanya dalam seribu kejadian bercerita” kerana “alam ini kami punya untuk manusia fahamkan cinta”.
Dalam merenung kehidupan “lalang” pula, beliau menatap kisah bumi, seperti yang terungkap dalam bait berikut,
“Kutatapi wajahnya
selemah suaranya
kudakap bisikannya
sesepi hayatnya
kisahnya adalah
kisah bumi.”
Menurut penyair Masuri S.N. (1998), puisi-puisi Abdul Ghani Hamid mempunyai nada yang tenang, merdu suaranya dan berhasil diangkat menjadi karya seni”. Namun, kadangkala, di sebalik ketenangan itu terdapat bisikan suara yang agak keras untuk menegaskan pendiriannya terhadap perubahan yang sedang berlaku di sekelilingnya. Ini dalam dikesan umpamanya dalam puisi “Antara Penghuni Alam”, melalui rangkap berikut,
“Tapi, mengapa senja menghitam
melindung tangan-tangan durjana
meragut dan mencakar alam,
dan musnah bumi pusaka?”
Pandangan yang serupa ini juga diberikan oleh Rasiah (1999) yang mengatakan bahawa “puisi-puisi Abdul Ghani menggambarkan seorang yang akrab dengan alam, lembut bersuara bagai puputan bayu walau kelembutan dan kesopanan into boleh menusuk tangkai kalbu.
Alam banyak mengilhamkan penyair Abdul Ghani Hamid. Melalui mata dan hatinya beliau dapat melihat dan merasakan perubahan dan pergolakannya dan ini diluahkan dalam puisi-puisinya.
About the Author
Juffri Supa’at is a Senior Librarian with the National Library Arts division. He curated the exhibition “Abdul Ghani Hamid: Mata & Hati”, held at the National Library Building from 3 December 2011 to 26 February 2012. He also helped compile Bibliography of Singapore Malay Literature (1965–2009), published in 2011.
Rujukan
Abdul Ghani Hamid. (1998). Sepanjang jalan ini. Singapura: Perkumpulan Seni. (Call no.: Malay RCLOS 899.281 ABD)
Abdul Ghani Hamid. (2003). Ombak terbang tinggi: (200 puisi pilihan, 1955–2000). Singapura: Angkatan Sasterawan 50. (Call no.: Malay RSING 899.281 ABD)
Mohamed Latiff Mohamed. (2011). Abdul Ghani Hamid: Seniman Melayu dalam Bibliografi Abdul Ghani Hamid. National Library Board.
Rasiah Halil. (1999, June 27). Karya puisi Singapura 1995–1999 mededahkan pelbagi persoalan. Berita Minggu, hlm. 16. Retrieved from NewspaperSG.
