Karya Sastera sebagai Tapak Ingatan Sosial
Memory plays an important role in our life. It forms a bridge between the past and the present. Places, events and characters in literary works are some elements that can trigger social memories. This is illustrated in three novels: Atas Nama Cinta, Mail Mau Kawin and Batas Langit.
“Maria meninggalkan Nadra di Malaya, tetapi dia tahu orang-orang yang dikasihinya di Malaya tidak akan dapat hidup bersama Nadra lagi, kerana Nadra kini hanya sebuah bayangan. Nadra kini hanya sebuah cerita manis yang tiba-tiba diberhentikan. Siapakah yang sanggup menceritakannya kembali kepada semua?”
(ANC, ms 257)
Ingatan mempunyai peranan dalam kehidupan kita sama ada ingatan peribadi mahupun ingatan bersama kita sebagai sebuah kumpulan masyarakat. Ia memberi ruang untuk kita kembali ke masa lalu dengan mengingati kembali sesuatu yang pernah berlaku dan berlalu. Namun, ingatan bukanlah hanya sekadar ingatan. Ia memenuhi keperluan masa kini dengan melalui proses mencapai dan membentuk bahan-bahan yang didapati pada masa lalu (Ritterhouse: 2003). Ia juga menjadi jambatan penghubung antara masa kini dan lalu. Ingatan sosial atau ingatan yang dikongsi bersama sesebuah kelompok masyarakat atau sesuatu bangsa itu dapat membentuk jati diri masyarakat itu melalui satu proses penakrifan yang berterusan sejarah mereka.
Tempat, peristiwa dan watak adalah tiga unsur penting yang dapat mencetuskan ingatan sosial ini. Tempat mempunyai kesan yang amat mendalam kerana ia dapat menjadi lambang yang memberi makna kepada seseorang terutama jika tempat itu mempunyai kisah-kisah penting. Melalui karya-karya sastera, seseorang pembaca dapat kembali “melawat” tempat dan “mengalami” sendiri peristiwa sebegini yang dipaparkan penulis. Watak-watak tertentu juga dapat menjadi lambang bagi cetusan ingatan sosial ini. Oleh itu, karya-karya sastera adalah tapak penting bagi ingataningatan sosial.
Cetusan-cetusan ingatan sosial ini terdapat di dalam ketiga-tiga novel yang telah dipilih iaitu novel Mail Mau Kawin (MMK) karya MAS atau Muhammad Ariff Ahmad, Batas Langit (BL) karya Mohamed Latiff Mohamed dan Atas Nama Cinta (ANC) karya Isa Kamari. Ketiga-tiga novel ini mempunyai unsur-unsur yang penting dalam mengimbas ingatan sosial masyarakat Singapura, terutama masyarakat Melayu melalui penceritaan tempat-tempat yang sering menjadi tumpuan dan juga peristiwa-peristiwa genting selain penampilan watak utamanya.
Ingatan Sosial - Tempat
Walaupun ketiga-tiga novel ini ditulis oleh 3 orang penulis yang lahir dari generasi yang berbeza, apa yang amat ketara ialah penampilan tempat di dalam novel mereka. Ketigatiganya menggunakan tempat yang sama yang menjadi tumpuan masyarakat Melayu Singapura sebagai latar novel mereka. Ia seperti mengajak pembaca melawat ke tempat itu kerana ingatan terbina dan terikat pada tempat melalui interaksi ingataningatan lalu pada tempat dan bangunan. Ia juga mendedahkan maklumat tentang masa lalu di kawasan atau tempat itu (Flores, 1998).
Novel MMK dan ANC telah menampilkan kawasan Kampung Jawa atau Bussorah Street sementara novel BL telah mempunyai kawasan Geylang sebagai antara latar di dalam novel. Sebagaimana yang diketahui umum, tempattempat ini adalah tempat kunjungan masyarakat Melayu terutama ketika bulan Ramadan dan untuk mencari bahanbahan keperluan. Contoh-contoh yang boleh didapati melalui novel-novel ini ialah:
“Mini-minor 850 Cikgu Manaf merangkak dari Arab Street, masuk ke Muscat Street mencari parking lot. Semua parking lot penuh. Dia terus ke Kandahar Street, juga penuh. Terus menyusuri Kandahar Street dan membelok ke kiri, Pahang Street; masuk kiri lagi, Sultan Gate. Di depan gerbang istana Kampung Gelam baru dapat tempat yang cukupcukup untuk mini-minor. Di depan istana yang 146 tahun dulu menjadi tempat rakyat Singapura berdatang sembah itu, Cikgu Manaf meletakkan keretanya.”
(MMK, ms 87)
“Parks dan kumpulannya menuju ke arah Masjid Sultan melalui Beach Road dan kemudian memasuki Arab Street. Mereka berhenti sekitar tiga ratus kaki daripada masjid Sultan. Kumpulan Haxworth pula mendekati Masjid Sultan melalui Sultan Gate di hadapan tanah lapang dekat dengan bangunan Istana Kampong Gelam yang bersejarah itu. Livett memandu keretanya melalui Middle Road, North Bridge Road sampai ke Kandahar Street.”
(ANC, ms 260)
Kini, Istana Kampung Gelam dan kawasan sekitarnya telah mengalami pelbagai perubahan. Istana Kampung Gelam telah diubahsuai dan kini menjadi Taman Warisan Melayu. Walaupun kini di halamannya tidak lagi menjadi tempat meletak kenderaan, namun ia tetap akan tetap terpahat di dalam ingatan sosial masyarakat melalui tapak yang telah tertinta di dalam novel-novel ini. Bagi nama-nama jalan seperti Kandahar Street, Sultan Gate dan Pahang Street yang masih lagi kelihatan, ia akan terus-menerus menjadi saksi perubahan dan akan terus menjadi lambang yang bermakna terutama bagi mereka yang pernah melalui kawasan-kawasan itu.
Ingatan Sosial – Peristiwa
Penulis pasca moden meletakkan penceritaan mereka dalam konteks sejarah untuk terus berhubung dengan masa lalu dalam menghadapi masa kini sebagaimana menurut wacana Linda Hutcheon (1988). Kemungkinan karya-karya ini digubah sebagai satu perbincangan yang objektif. Kalau perbincangan melalui buku-buku sejarah, ia akan membawa ke arus berlainan daripada perbincangan yang dilakukan melalui karya-karya sastera sebegini.
Teori New Historisisme (Mana Sikana, 2005), merenung sastera sebagai teori pensejarahan baru yang “menyusur masa silam dengan memberi makna kekinian”, namun karya sastera sebagai tapak ingatan sosial hanya membawa pembaca kembali mengenang ke masa lalu yang boleh mengugah perasaan pembaca, terutama bagi mereka yang pernah melalui zaman itu atau yang pernah mengalami sendiri peristiwa itu atau mungkin saja bagi yang pernah mendengar cerita-cerita itu. Sebagai contoh, kita boleh menukil kisah pendudukan Jepun di Singapura yang terdapat di dalam novel MMK ini.
“Ketika itu; tahun 1943 (tahun Jepun 2603); Muin baru berumur kira-kira 15 tahun. Sudah setahun dia dibebaskan daripada menjadi buruh paksa sebagai pengangkut perkakas kuli kontrak; bekerja dengan pengontrak yang memindahkan barangbarang yang disebut “enemy property” dari gudang-gudang British ke khemahkhemah simpanan tentera Jepun.”
Suatu hari, Muin kena Cika ketika dia sedang bekerja memunggah beberapa peti susu “Alpine” dari gudang ke lori, hendak dibawa ke tempat simpanan di khemah Jepun. Berpuntal-puntal rasanya perut Muin tidak keruan. Dia muntah serta buang air sekali. Kepalanya berat tak dapat ditegakkan. Pandangannya gelap; dirasakan semua yang dilihatnya berpusing-pusing tunggang-balik; matanya tak dapat dibuka.
“Tidak ada kuli-kuli lain yang berani menolong Muin kerana masing-masing sentiasa diawasi oleh mandur-mandurnya; dan mandurmandur itu pula sentiasa dalam pengawasan askar-askar Jepun yang bertugas. Mereka takut kepada askar-askar Jepun kerana askar-askar itu bengkeng, ganas dan ringan tangannya; barangsiapa yang tersilap sikit saja nescaya akan ditempeleng oleh askar-askar yang berkawal.”
(MMK, ms 34–35)
Menurut DeLyser (2004), ingatan sosial adalah satu proses yang berterusan dan aktif. Setiap pengalaman dan peristiwa memainkan peranan dalam membina ingatan sosial. Sering kali, melalui proses mengingati yang lalu, ia dapat membantu memahami masa kini. Umpamanya peristiwa menarik bagi memerikan ingatan sosial kita ialah tentang peristiwa Singapura berpisah dengan Malaysia seperti yang terdapat di dalam novel BL ini.
“Adi terperanjat. Dia mendengar warta berita di radio. Adi rasa macam guruh menghentam telinganya. Adi rasa macam ada gunung berat menimpa dadanya.
“Singapura berpisah dengan Malaysia!” demikian suara juruhebah membawa warta berita. Adi panik. Ada takungan air mata di kelopak mata Adi.
Apabila dia membisikkan berita sedih itu pada Abang Dolah, mata Abang Dolah juga berkaca-kaca. Perlahan Abang Dolah membisikkan ke telinga Adi. Suaranya satusatu.
“Gelap…lah…masa…depankau…kau…tidak…ada…masa… depan…lagi!”
(BL, ms 188)
Peristiwa perpisahan di antara Singapura dan Malaysia ini telah “dihidupkan” lagi baru-baru ini apabila Encik Lee Kuan Yew, Menteri Pembimbing Singapura mencetuskan tentang kemungkinan Singapura bergabung dengan Malaysia kembali seperti yang telah disiarkan oleh akhbar-akhbar utama seperti The Straits Times terbitan Singapura dan New Straits Times terbitan Malaysia. Sebagai satu proses yang aktif, ia membangkitkan kembali peristiwa yang telah berlaku 42 tahun yang lampau. Tetapi kini sudah tentu kita boleh merenung kembali peristiwa perpisahan itu dengan pandangan dan harapan yang berbeza.
Tambahan pula, ingatan sosial boleh melakukan penggembaraan di antara masa lalu dan masa kini kerana ia mengisi dan menunjangi pengalaman pembacaan sesebuah novel. Ia dapat dilakukan kerana penulisan novel dapat berulang-alik antara masa lalu dan masa kini (O’ Connell, 2001)
Ingatan Sosial – Watak Nadra/ Maria
Watak juga memainkan peranan dan menjadi lambang kepada sesuatu peristiwa atau kejadian yang telah berlaku. Nadra atau Maria Hertogh adalah watak utama dalam novel ANC, yang mengisahkan tentang seorang gadis Belanda yang telah diserahkan oleh ibunya untuk dipelihara oleh seorang wanita Melayu. Selepas perang dan pendudukan Jepun, ibu bapanya telah menuntutnya kembali, walaupun dia telah hidup sebagai seorang Muslim dan bernikah. Kisah Nadra telah menimbulkan ketegangan kaum kerana keputusan dan perintah mahkamah yang berpihak kepada ibu bapa kandungnya yang beragama Kristian.
“Mahkamah memutuskan untuk menolak rayuan Mansoor dan Aminah agar arahan mengembalikan Maria kepada Adelaine dibatalkan. Keputusan mahkamah itu menambahkan kemarahan kebanyakan penduduk Islam di Koloni Singapura. Berita mengenai perarakan besarbesaran ke biara The Good Shepherd menimbulkan rasa cemas kepada semua orang terutama pihak polis.”
(ANC, ms 255)
Bila disebut kisah Nadra, ingatan sosial kita kembali kepada rusuhan yang telah berlaku akibat perebutan kasih watak ini. Ia juga menyeret kepada isu sensitif seperti agama. Ramai yang telah menjadi korban di dalam kejadian ini.
“Sepanjang rusuhan selama tiga hari di Koloni Singapura itu, 18 orang telah terbunuh. Kebanyakannya orang kulit putih, termasuk serani. 9 daripada mangsa tersebut pula ialah pegawai polis. 173 orang tercedera. 119 kenderaan musnah. 72 kes pembakaran berleluasa telah berlaku. Bangunan Cold Storage dan Singapore Traction Company, hangus dijilat api. Darurat dikuatkuasakan sepanjang rusuhan dan keadaan kembali reda pada 14 Disember 1950.”
(ANC, ms 272)
Ingatan – Peringatan
Ingatan sosial menpunyai peranan di dalam kehidupan kita pada masa kini. Ingatan yang kita kongsi bersama dapat membantu membina jati diri kita sebagai sebuah masyarakat. Ia menjadi tapak perkongsian sosial atau perkongsian pengalaman tentang tempat yang pernah kita kunjungi, peristiwa yang pernah berlaku dan watak yang pernah kita kenali, walaupun sekadar melalui penceritaan seperti yang digambarkan melalui contoh-contoh yang diberikan. Namun yang paling penting dalam pencetusan ingatan sosial ini ialah ia harus menjadi satu peringatan kepada sesebuah masyarakat bagi melalui dan menghadapi masa-masa mendatang seperti kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Penutup
Ingatan-ingatan sosial yang terdapat dalam ketiga-tiga novel itu mencetuskan pelbagai perasaan terhadap pembaca. Ia bukan rujukan sejarah tetapi tetap merujuk kepada sejarah dan pengabungan sejarah dan sastera. Penceritaan begini dapat menjadi sumber yang dasar untuk kita memahami bagaimana sesuatu peristiwa yang lalu itu dibentuk dan prosesnya membantu dalam pencarian jati diri (O’Connell, 1998).
Memory plays an important role in our life. It forms a bridge between the past and the present. Our shared social memories could help in the development of identity as a community in a continuous process. Places, events and characters are some elements that could trigger social memories, which are readily accessible through literary works. This is illustrated in the article through the three novels, Atas Nama Cinta, Mail Mau Kawin and Batas Langit.
Reference Librarian
Lee Kong Chian Reference Library
National Library
RUJUKAN
Dydia DeLyser, “Recovering Social Memories From the Past: The 1884 Novel Ramona and Tourist Practices in Turen-of-the-Century Southern California,” Social and Culture Geography 5, no. 3 (2004): 483–96.
Eric Mechoulan and Roxanne Lapidus, “The Past Is Now,” SubStance 32, no. 1 (2003): 40–43. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Isa Kamari, Atas Nama Cinta (Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings, 2006). (Call no. Malay R 899.283 ISA)
Jeffrey K. Olick, “Introduction: Memory and the Nation: Continuities, Conflicts and Transformations,” Social Science History 22, no. 4 (Winter 1998): 377–87. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Jeffrey K. Olick and Joyce Robbins, “Social Memory Studies: From “Collective Memory” to the Historical Sociology of Mnemonic Practices,” Annual Review of Sociology 24 (1998): 105–40. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Jennifer Ritterhouse, “Reading, Intimacy, and the Role of Uncle Remus in White Southern Social Memory,” The Journal of Southern History 69, no. 3 (August 2003): 585–622. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
“Kuan Yew Says Happy To Rejoin Malaysia if…,” Bernama Daily Malaysian News, 11 Oktober 2007.
Linda Hutcheon, A Poetics of Postmodernism (New York: Routledge, 1988)
Mana Sikana, Teori Sastera Kontemporari (Selangor: Pustaka Karya, 2005). (Call no. Malay R 899.2809 MAN)
Mas, Mail Mau Kawin (Singapura: Pustaka Nasional, 1976). (Call no. Malay RSING S899.2305 MAS)
Mohamed Latiff Mohamed, Batas Langit (Singapura: Pustaka Nasional, 2002). (Call no. Malay RSING 899.283 MOH)
Muhammad Farouq Osman, “Upset Over MM Lee’s Re-Merger Comments,” Straits Times, 20 October 2007, 60. (From NewspaperSG)
Patrick L. O’ Connell, “Individual and Collective Identity Through Memory in Three Novels of Argentina’s ‘El Proceso’,” Hispania 81, no. 1 (March 1998): 31–41. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Patrick L. O’ Connell, “Narrating History Through Memory in Three Novels of Post-Pinochet Chile,” Hispania 84, no. 2 (May 2001): 181–92. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Richard R. Flores, “Memory-Place, Meaning and the Alamo,” American Literary History 10, no. 3 (Autumn 1998): 428–45. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Wulf Kansteiner, “Finding Meaning in Memory: A Methodological Critique of Collective Memory Studies,” History and Theory 41, no. 2 (May 2002): 179–97. (From JSTOR via NLB’s eResources website)