Masuri S N
Born Masuri Bin Salikun, Masuri was a prolific poet, composing more than 1,000 poems in his lifetime. He was a founding member of Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50), a leading Malay literary organisation in Singapore, and is regarded as a pioneer in modern Malay poetry.
“Dunia sastera hari ini juga mengharapkan kelahiran manusia Melayu baru yang
berakhlak mulia dan berwatak bersih. Tetapi dalam masa yang sama kita inginkan
kelahiran-kelahiran manusia-manusia yang bijaksana, “jauhari yang mengenal
manikam”, sentiasa waspada dan dapat mengatasi keadaan zamannya, dengan
berbekalkan iman dan keyakinan agar dapat mencapai kebahagiaan hidup di dunia
dan di akhirat kelak.”
(Dalam Merenung Dalam, (2006) ms. 196)
Masuri bin Salikun atau lebih dikenali sebagai Masuri S N dilahirkan pada 11 Jun 1927 di Singapura. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Kurau dan Geylang dari tahun 1933 hingga 1940 dan menjadi guru pelatih hingga 1946. Dari tahun 1946 hingga 1949, beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak. Sesudah lulus dari MPSI, Masuri pulang ke Singapura dan menjadi seorang pendidik, sementara pada sebelah malamnya mengikuti kelas bahasa Inggeris di Mercantile Institution dan C.Y.M.A. College.
Jawatan terakhir beliau ialah guru besar sekolah rendah yang disandang dari tahun 1971 sehingga beliau bersara pada 12 Jun 1981. Dari tahun 1984 hingga tahun 1985, Masuri dilantik sebagai Research Fellow di Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS). Pada tahun 1986, beliau mengikuti program penulisan antarabangsa selama tiga bulan di University of Iowa, dan dilantik menjadi Honorary Fellow. Dari tahun 1991 hingga 1992, Masuri menjadi penulis tamu di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).
Masuri juga merupakan salah seorang pelopor Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50). Beliau berpendapat dengan adanya badan persuratan ini, para penulis dapat mengisi jiwa dan rohani masyarakat dengan nilai-nilai yang murni. Beliau merupakan Ketua 1 Asas ‘50 dari tahun 2001–2005.
Masuri S N telah kembali ke rahmatullah pada 6 haribulan Disember 2005.
Karya-Karya Masuri
Pengalaman telah menjadi sumber bekalan Masuri dalam menghasilkan karya-karyanya sama ada dalam bentuk sajak, cerpen ataupun esei dan kritikan. Menurut Ismail Hussein (1959), Masuri merupakan seorang penyair yang “sangat halus perasaan dan lekas pula tersentuh” dengan keadaan dan kejadian di sekelilingnya dan ia telah mempengaruhi “isi dan jiwa penciptaannya.”
Semangat patriotik Masuri dan cinta kepada bangsa dan tanah air (Ali Haji Ahmad, 1960), jelas terpancar melalui sajak-sajaknya. Umpamanya, sajak terawal beliau berjudul “Ros Kupuja” dan “Bunga Sakura” terbit di Singapura pada zaman pendudukan Jepun dalam akhbar Berita Malai, 5 September 1944.
Ros Kupuja
Ros berkembang
Memerah garang
Jadi pujaan
Setiap insan.
Disinari matahari
Kian berseri,
Merekah wangi
Memikat hati.
Jiwa pahlawan
Memandang kembang,
Ingin berjuang
Membela watan.
Harum tak terkira
Rontok menyesal,
Bagaikan sateria
Pulang ke asal.
(Puisi Pilihan, 1989, ms 4)
Karya-karya awal ini menampilkan nada patrotisme dan perjuangan anak watan terhadap pembebasan tanahairnya. Nada suara perjuangan akibat kegelisahan bangsa yang tertawan jelas tertera di dalam kumpulan puisi Awan Putih (1958) yang merupakan kumpulan puisi pertama beliau yang mengandungi 80 buah karya-karya yang dihasilkan dari tahun 1944 sehingga 1951. “Membela Nusa”, “Nyiur Melambai” dan “Untuk Bangsa” adalah sebahagian contoh yang terdapat di kumpulan puisi ini.
Sepanjang hayatnya beliau telah menghasilkan lebih daripada 1000 kuntum sajak dan dianggap sebagai pelopor pembaharuan sastera Melayu, khususnya sajak atau puisi moden. Beliau juga menggunakan nama pena Martina. Kumpulan koleksi Suasana Senja (2003), adalah kumpulan sajaknya yang terakhir diterbitkan dan merupakan himpunan sajak-sajak tulisannya dari tahun 1995–2001.
Selain puisi, beliau juga menulis cerpen. Lukisan Rasa (1960) adalah kumpulan 12 buah cerpen yang telah ditulis pada tahun 1948–52. Sebagaimana sajak-sajaknya, cerpen-cerpen Masuri juga menyampaikan kisah dan hasrat masyarakatnya.
Esei-Esei Masuri
Esei dan kritikan Masuri banyak menyentuh tentang perkembangan sastera, bahasa dan juga isu-isu kemanusiaan. Ia memberi ruang untuk Masuri menyampaikan pemikirannya secara terus terang. Dalam merenung Dalam (2006) merupakan himpunan esei kritikan, kertas kerja dan bahan daripada ruangan akhbar tulisan Masuri S N sejak tahun 1977 sehingga 2005. Esei-esei di dalam buku ini telah disusun kepada empat bahagian iaitu, Bahasa, Sastera, Pendidikan dan Kemanusiaan untuk para pembaca dan pengkaji memberikan tumpuan kepada sesuatu bidang.
Di antara esei yang menarik di dalam buku ini ialah pendapat beliau tentang perlunya didirikan sebuah perpustakaan yang diisi dengan lengkap buku-buku, majalah-majalah bahasa dan kesusasteraan negara-negara Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam untuk didedahkan kepada generasi muda supaya mereka tidak berasa rendah diri di tengah-tengah dunia yang amat mencabar.
Akhir kalam, apa yang kita boleh hayati daripada karyakarya Masuri ialah “pemaknaan dalam kehidupan” sebagai “salah satu kepedulian dalam kemanusiaan”, (Azhar, 2007).
Anugerah
1963: Bintang Bakti Masyarakat (PBM)
1974: Hadiah Pertama JBHS: Esei Sastera
1979: Hadiah Pertama JBHS: Sajak
1980: Southeast Asia (SEA) Write Award
1990: National Book Development Council of Singapore (poetry award) First Prize
1995: Anugerah Tun Seri Lanang. Majlis Bahasa Melayu Singapura
1995: ASEAN Cultural Award: Sastera
1995: Anugerah Sastera MBMS: Esei Sastera
1995: Anugerah Pencapaian Cemerlang Singapore Muslim Community: 50 Tahun Pencapaian Persuratan
1996: Montblanc-NUS Centre for the Arts Literary Award: Recognition for contribution to Singapore Malay Literature
1997: Hadiah Sastera MBMS: Esei Sastera
2000: Pingat Jasa Gemilang
2002: Anugerah Suluh Budiman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
2002: Anugerah Dharma bakti, GAPENA
2002: Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Senarai Karya
Puisi
1958: Awan putih: kumpulan sajak2. Singapura: Geliga Limited. [RCLOS 899.281 MAS]
1962: Warna suasana: kumpulan pertama dari suara dan bichara sajak2 pilihan 1950–56. Kuala Lumpur: Oxford University Press. [RSEA 899.2305 MAS]
1967: Bunga pahit: kumpulan kedua dari suara dan bichara, sajak-sajak pilihan 1957–60. Kuala Lumpur: Oxford University Press. [RSING 899.2305 MAS]
1970: Sa-lagi hayat di-kandong badan. Singapura: Pustaka Nasional. [RCLOS 899.2305 MAS]
1984: Dalam makna: kumpulan sajak 1965–1975. Singapura: Badan Kesenian Melayu Singapura. [RSING S899.2305 MAS]
1987: Singgah (sajak-sajak pilihan 1976–1986). Singapura: Angkatan Sasterawan 50. [RSING S899.2305 MAS]
1989: Puisi-puisi pilihan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. [RSING S899.2305 MAS]
1995: Mimpi panjang seorang penyair. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. [RSING S899.2313 MAS]
2003: Suasana senja: kumpulan sajak 1995–2001. Singapura: Angkatan Sasterawan ’50. [RSING 899.281 MAS]
Antologi
1961: Puisi Baharu Melayu 1942–1960. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. [RSEA M899.230081305 ALI]. (antologi bersama)
1963: Sajak-sajak Melayu baru 1946–1961/Modern Malay verse 1946–1961. (dwi bahasa) (antologi bersama)
1975: Puncak Sembilan. Singapura: Pustaka Nasional. [RSING 899.230081305 PUN]. (antologi bersama)
1977: Singapore Writing. Singapore: Woodrose Publications for the Society of Singapore Writers. [RSING 899.230081305 PUN]. (antologi bersama)
2000: Rhythms – A Singaporean Millennial Anthology of Poetry. Singapore: National Arts Council. [RSING S821 RHY]. (antologi bersama)
1981: Puisi-puisi Nusantar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. [RSEA 899.230081305 PUI]. (antologi bersama)
1981: Puisi Temasik. Singapura: Angkatan Sasterawan ‘50. [RCLOS 899.281 PUI]. (antologi bersama)
1985: Poetry of Singapore. Singapore: Published under the sponsorship of the ASEAN Committee on Culture and Information. [RSING S821 POE]. (antologi bersama)
1987: Tiga Warna Bertemu: Antologi puisi penulis-penulis Singapura. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. [RSING S899.230081305 TIG]
1990: Words for the 25th – Readings by Singapore Writers. Singapore: UniPress. [RSING S820 WOR]. (antologi bersama)
1993: The Fiction of Singapore. Singapore: Unipress. [RSING S823.008 FIC] (antologi bersama)
Cerpen
1960: Lukisan rasa. Singapura : Malaya Publishing House. [RSING S899.2305 MAS]
1992: Dunia di sebalik dunia. Singapura: Persama Enterprise. [RSING S899.2305 MAS]
1999: Di luar dugaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. [RSING 899.283 MAS]
Esei
1965: Sekitar sajak dan perkembangan-nya. Singapore: Malaysia Publications. [RSING 899.230091305 MAS]
1968: Puisi moden. Singapura: Pustaka Nasional. [RSING S899.23009103 MAS]
1983: Pengakuan dan penglahiran seorang penulis. Kuala Lumpur: Adabi Publication. [R 899.2305 MAS]
1998: Sebibir suara. Singapura: Persatuan Wartawan Melayu. [RSING 899.284 MAS]
1998: Kreativiti dan kemanusiaan dalam kesusasteraan. Selangor: Fajar Bakti. [R 899.288 MAS]
2006: Dalam merenung dalam: Kumpulan esei dan kritikan 1977–2005. Singapura: Angkatan Sasterawan ’50. [RSING 899.28095957 MAS]
Summary
Masuri S N’s real name is Masuri Bin Salikun. He was born on 11 June 1927 in Singapore. Masuri was a very prolific poet, composing more than 1000 poems in his lifetime. He is regarded as a pioneer in modern Malay poetry. He also used the pen name Martina.
Masuri was brought up in Geylang Serai, Paya Lebar and Lorong K, Telok Kurau. He received his early education in Telok Kurau Malay School and was selected to further his studies in Sultan Idris Training College, Tanjung Malim, Perak. After completing his studies, he returned to Singapore to become a teacher in Telok Kurau Malay School from 1949 to 1954. He was a school principal from 1971 until he retired in 1981.
Masuri was appointed as a Research Fellow at the Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS) from 1984 to 1985. In 1986, he participated in an international writing programme for three months at the University of Iowa, and was appointed an Honorary Fellow. From 1991 to 1992, Masuri became a guest writer of Malay Studies Department, National University of Singapore (NUS).
Masuri’s earliest poems were “Bunga Ros” and “Ros Kupuja”, which were published in Berita Malai, a Japanese Occupation publication. After the war he continued to write and his poems were published in publications such as Kencana and Utusan Zaman.
A founding member and Chief from 2001 to 2005 of Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50), a leading Malay literary organisation in Singapore, Masuri held the belief that talent alone is not sufficient to make a person a successful writer. He strongly believed that hard work, interest, passion and sacrifices are the determining factors of a person’s success as a writer.
Masuri passed away on 6 December 2005.
SOURCE:
Masuri S N Biography. Retrieved from http://exhibitions.nlb.gov.sg on 25 May 2008.
All rights reserved, Geliga, 1958.
All rights reserved, Oxford University Press, 1967.
All rights reserved, Angkatan Sasterawan ‘50, 200.
All rights reserved, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1989.
All rights reserved, Persatuan Wartawan Melayu Singapura, 1998.
Associate Librarian
Lee Kong Chian Reference Library
National Library
RUJUKAN
Ali Haji Ahmad, “Penyajak Masuri S. N.: Satu Pengenalan Ringkas,” Dewan Bahasa 4, no. 10 (1960): 504–09. (Call no. Malay RCLOS 499.23 DB)
Azhar Ibrahim Alwee, “Kemanusiaan Membumi Melangit Tinggi: Masuri (1927–2005), KeSingapuraan dan Keuniversalannya” (Disampaikan di dalam seminar di Institut Pendidikan Nasional pada 7 Mac 2007), https://www.thereadinggroup.sg/Articles/Kemanusiaan%20Membumi%20Melangit%20Tinggi.pdf.
Biografi Masuri S. N. Diakses, http://www.poetry.sg/masuri-sn-bio.
Ismail Hussein, Pengarang-Pengarang Melayu Di-Singapura Selepas Perang Dunia II (1945–1958) [Singapura: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1959]. (Call no. Malay RCLOS 899.1092 ISM)
Mohamed Pitchay Gani Bin Mohamed Abdul Aziz, ed., Leksikon: Direktori Penulis Melayu Singapura Pasca 1965 (Singapura: Angkatan Sasterawan ‘50 & National Library Board, 2005), 88–89. (Call no. Malay RSING 899.280255957 LEK-[DIR])
S. N. Masuri, Awan Putih: Kumpulan Sajak2 (Singapura: Geliga Limited, 1958). (Call no. Malay RCLOS 899.281 MAS)
S. N. Masuri, Lukisan Rasa: Mengandongi Kumpulan 12 Cherita-Cherita Pendek Dari Tahun 1948 Hingga 1952 (Singapura: Malaya Publishing House, 1960). (Call no. Malay RSING S899.2305 MAS)
S. N. Masuri, Puisi-Puisi Pilihan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989). (Call no. Malay RSING S899.2305 MAS)
S. N. Masuri, Dalam Merenung Dalam: Kumpulan Esei & Kritikan 1977–2005 (Singapura: Angkatan Sasterawan ’50, 2006). (Call no. Malay RSING 899.28095957 MAS)