Lembaran Akhbar Silam: Jawi Peranakkan, 1876–1895
Senior Librarian Sudusia Rosdi highlights some of the earliest surviving issues of the first Malay newspaper, the Jawi Peranakkan, published between 1876 and 1895.
Abstract
This article highlights some of the earliest surviving issues of the first Malay newspaper published between 1876 and 1895. Jawi Peranakkan, published in Jawi (a Malay script derived from Arabic), was financed, run and edited by a group of Jawi Peranakans (local-born Indian Muslims). With the aim to give its readers the latest news both local and foreign, it appeared every Monday with general news of events, government notices, some advertisements, an editorial and syair (poetry) corner. Besides discussing the weaknesses of the Malay community, it was also the first Malay newspaper to criticise a British colonial policy. After some analysis and hypothesis on the role of Jawi Peranakkan newspaper, the writer concludes that it was one of the catalysts and sources of Malay intellectualism. Its influence enabled the Singapore of yesteryear to be the hub of Malay literature in the region.
Akhbar Merakam Peristiwa Semasa: Sumber Sejarah Penting
Akhbar memainkan peranan yang amat penting bukan saja untuk menyiarkan berita, memberi penerangan, mendidik masyarakat atau mengembangkan kebudayaan terutama bahasa dan kesusasteraan tetapi juga sebagai wadah yang merakam kehidupan masyarakat dan menjadi sumber sejarah yang amat penting sesebuah negara. Menurut Prof. Khoo Kay Kim, sejarawan Malaysia, “bukan hanya pendapat bahagian masyarakat yang mengeluarkan atau membaca akhbar yang dapat dikesani melalui akhbar bahkan perkembangan dalam masyarakat yang sama dapat di ikuti melalui akhbar. Ini memberikan suatu asas yang kukuh kepada seseorang sejarawan yang mahu mengkaji masyarakat tersebut”.1
Kajian pensejarahan media di rantau ini menunjukkan bahawa penerbitan akhbar tempatan muncul semasa penjajahan British yang memperkenalkan teknologi percetakan dan pekerja-pekerja mahir ke rantau ini di awal abad ke 19. Singapura telah dijadikan pusat percetakan bagi Negeri-Negeri Selat dan sejarah kemunculan akhbar-akhbar tempatan dirumuskan sebagai: “In Singapore, the beginning of the press dates back to the British colonial times when the first newspapers, in English fortnightly, was started in 1824. Vernacular newspapers appeared much later, with the Malay press printing its first newspaper 52 years later in 1876, the first Indian newspaper surfaced in the same year, while the pioneer Chinese newspaper started in 1881.”2
Kebanyakan sejarawan bersetuju bahawa era kewartawanan Melayu berputik sejak kelahiran akhbar tempatan “Jawi Peranakkan” hasil usaha masyarakat Jawi Peranakkan di Singapura.3 Akhbar ini dikatakan sebagai akhbar Melayu pertama diterbitkan di rantau ini kerana ia merupakan satu-satunya akhbar Melayu seluruh Malaya, Singapura dan Indonesia di kala itu. Pada tahun 1992, Dr B.A. Hussainmiya, seorang pensyarah Melayu Sri Lanka menyangkal persetujuan dapatan ini dan menyatakan bahawa “the first Malay newspaper is ‘Alamat Langkapuri’ (the address of Sri Lanka), first published in Jun 1869. The four-page newspaper, circulated among the Malay community in Sri Lanka and written in Jawi form was published by Baba Ounus Saldin, a Sri Lankan Malay who lived from 1832 to 1906”.4 Tetapi, pendapat ini juga diragui kerana 13 tahun sebelum kemunculan Alamat Langkapuri, sebuah akhbar berjudul Soerat Khabar Bahasa Melaijoe diterbitkan di Surabaya pada 12 Januari 1856. Walaubagaimanapun Jawi Peranakkan merupakan akhbar Melayu yang tertua pernah diterbitkan di Malaya.5
Masyarakat Jawi Peranakkan
Penghijrahan pendatang India Muslim dari India Selatan ke Singapura bermula dari tahun 1819. Hasil perkahwinan campuran mereka dengan wanita Melayu tempatan telah melahirkan keturunan India Peranakan. Mereka menjadi pesaing kepada orang-orang keturunan Arab di Singapura kerana berupaya berbahasa Melayu dan senang berasimilasi dengan budaya Melayu. Segolongan mereka yang berpendidikan Melayu dan Inggeris menceburi bidang perniagaan serta penulisan dan percetakan atau menjadi pegawai pemerintah, kerani, jurubahasa juga guru.
Pada akhir tahun 1876, golongan ini menubuhkan persatuan Jawi Peranakkan dan sebuah pejabat percetakan bergelar “Syarikat Jawi Peranakkan”. Ia dianggap sebagai syarikat percetakan ceparas (letterpress) pertama didirikan oleh masyarakat Melayu-Islam Singapura dan menerbitkan akhbar Melayu; “Jawi Peranakkan”.
Akhbar Mingguan Jawi Peranakkan
Akhbar milik Gulam Al-Hindi ini merupakan akhbar mingguan tulisan Jawi terbitan setiap hari Isnin selama 609 minggu dari tahun 1876 hingga April 1895. Penerbitan akhbar ini termaktub dalam Straits Settlement Government Gazette (SSGG) hanya selepas sebelas tahun keluaran pertama nya iaitu pada 12 Ogos 1887. Berukuran lebar 11 inci, panjang 17.1 inci dan mengandungi 8 halaman yang kemudiannya menjadi 4 lembar (double sided). Ia dicetak dalam huruf timah oleh Matba’ Al-Saidi (percetakan Muhammad Said) di No. 431, Victoria Street (Kampung Gelam), Singapura.
Dalam tahun pertama penerbitannya, ia menggunakan tulisan manuskrip dan litograf. Pada edisi dua tahun terakhir sebelum ditutup, ia dicetak dengan lebih jelas menggunakan mesin cetak Melayu (Jawi) dari England. Penyunting pertamanya, Munsyi Mohammed Said Dada Muhyiddin telah digantikan oleh Munsyi Muhammad Alie Golam Al-Hindi dari tahun 1885 hinggalah tahun 1895.
Berharga 30 sen senaskah atau 5 Ringgit untuk langganan setahun. Harganya kemudian dikurangkan kepada 15 sen kerana berkemungkinan untuk menyaingi penjualan dan pembacaan akhbar-akhbar semasa seperti, Sekolah Melayu (terbit 1888) dan Bintang Timor (terbit 1894).
Kandungan Jawi Peranakkan
Penulis telah meneliti beberapa salinan akhbar dalam bentuk digital (tarikh 28 Mac 1881), salinan fotokopi (tarikh 18 April 1891), dan gelung mikrofilem (tarikh 3 Januari 1887–22 April 1895) dari Koleksi Perpustakaan Negara Singapura (salinan dari British Library) mengesahkan pemerhatian Pendeta Zaaba mengenai format akhbar ini; “It is no. 38 of the first volume bearing the date 15 Oct 1877. From this copy which unfortunately has lost pages 3–6, it is clear that the paper at least in its earlier days, was an 8-page affair, each page of a foolscap size, and published every Monday. It was a lithograph production, and although judged by our present standard it can only be described as poor work, yet in those early days it must have been regarded as a Godsend. It is certainly a creditable pioneering effort.”6
Seperti akhbar-akhbar Inggeris terbitan Singapura, akhbar Jawi Peranakkan yang bertujuan untuk menyiarkan berita mutakhir ini, banyak menyiarkan berita dalam dan luar negeri, iklan-iklan, warta pemerintah British, ruangan lidah pengarang, surat pembaca dan juga syair.
Akhbar ini dicetak dengan edaran terhad iaini 250 naskhah (tahun 1880) dengan sasaran utamanya kepada golongan elit Arab, India dan Baba Peranakan yang boleh berbahasa Melayu.
Apabila Maktab Perguruan Melayu yang pertama dibuka di Singapura pada tahun 1878, ramai pelajar-pelajar yang melanggani akhbar ini. Pemerintah British menyokong dengan melanggannya untuk pelajar-pelajar sekolah Melayu sebagai bahan bacaan tambahan bagi menampung kekurangan bahan bacaan ketika itu.
Walaupun jumlah edaran terhad, akhbar ini dapat menjelajahi dunia melalui beberapa wakil pengedaran di London dan beberapa negeri di Malaya dan Indonesia.
Ruangan Tetap: Iklan dan Pemberitahuan
Pada tahun-tahun awal penerbitannya, halaman utama dikhaskan untuk iklan-iklan dagangan yang juga berfungsi sebagai maklumat seranta bagi syarikat-syarikat seperti Tanjong Pagar Ltd, dan Straits Ice Company. Terdapat juga iklan khidmat doktor gigi beralamat 25, South Bridge Road, iklan penjualan ubat-ubatan demam, minyak wangi serta air-batu.
Akhbar Jawi Peranakkan berperanan menggalakkan tabiat gemar membaca dengan mengiklankan buku-buku baru terbit. Pada tahun 1880, buat pertama kalinya tersiar iklan “Hikayat Abdullah telah dicap semula oleh Asiatic Society dan siapa berhajat memesannya boleh berhubungan dengan pihak yang berkuasa Rumah Gambar Singapura.”7 Juga iklan penjualan beberapa tajuk buku di kedai Haji Mohamad Sirat beralamat 43, Sultan Road, Singapura seperti “Hikayat Ganja Mara” dan “Hikayat Miskin” tercatat dalam beberapa keluaran akhbar ini.
Ketara sekali adalah jadual pelayaran kapal api baru bernama “Seri Melaka” yang berulang alik tiga hari sekali dari pelabuhan Singapura ke Melaka dan Kelang diiklankan pada 5 Disember 1887. Pelayarannya bermula pada jam 7 pagi pada 21 November 1887 dengan tambangnya di antara satu hingga sepuluh Ringgit menurut destinasi dan jarak perjalanan.
Jawi Peranakkan juga menyiarkan Warta Pemerintah dan notis kerajaan seperti data statistik kelahiran dan kematian dalam Negeri-Negeri Selat pada tahun 1890 dengan ceraian terperinci bangsa dan umur. Akhbar keluaran 7 Julai 1891 melaporkan kadar bayi yang lahir pada tahun 1890 ialah seramai 10,010 orang sementara kematian adalah seramai 16,813 orang. Akhbar ini juga merumuskan; “Telah dibanding dengan kira-kira tahun 1889 maka adalah yang zahir di dalam tahun 1890 itu banyak kurang daripada tahun ini, 1889 seperti Singapura, Pulau Pinang, Seberang Prai banyak kurang atau Melaka pun kurang juga daripada tahun 1889.”
Dari segi ekonomi, ia menjadi bahan rujukan berguna tentang harga barang dagangan semasa seperti timah, gambir, rempah ratus dan barangbarang lain di pasaran Singapura. Kadar tukaran wang asing8 juga menjadi antara ruangan tetap setiap keluarannya.
Berita Tempatan dan Luar Negeri
Penyiaran berita tempatan dan luar negeri meliputi kejadian-kejadian yang berlaku di Malaya khususnya NegeriNegeri Selat, Indonesia juga Brunei.
William Roff, sejarawan Inggeris mengulas “Jika dibandingkan akhbar ini dengan akhbar-akhbar yang diterbitkan pada masa sekarang ini, dapat kita katakan bahawa Jawi Peranakkan ini amat membosankan.”9 Ini berkemungkinan kerana ketiadaan gambar atau illustrasi dan liputan beritanya pula merupakan berita seharian yang berkaitan masyarakat masa itu.
Berita luar negeri turut dimuatkan dalam ruangan “Perkhabaran dari Kawat/Telegram” seperti peperangan di Afghanistan dan persiapan 14,000 orang askar-askar China untuk berperang dengan askar-askar Jepun (bertarikh 12 Januari 1880 dan 22 Oktober 1894).
Liputan berita Singapura dari tahun 1881, 1887–1895 berkisar kepada kejadian jenayah, kemalangan dan kes-kes perbicaraan mahkamah. Hal pemberian tanah percuma di Havelock Road untuk keluarga Islam yang miskin tersiar dalam keluaran 7 Februari 1887, kebakaran rumah-rumah dan kedai-kedai seperti di Kampong Gelam pada bulan Disember 1881 dan berita tergempar penemuan seekor harimau di Punggol pada 23 Mac 1887 antara berita tempatannya. Selain itu terdapat juga berita tentang persekolahan seperti pembaikan Sekolah Melayu Kampong Gelam dalam bulan Mac 1881, tindakan ibu bapa mengeluarkan anak-anak mereka dari sekolah Raffles lantaran yuran sekolah naik pada tahun 1891,10 dan rancangan penutupan Sekolah Kampong Gelam pada bulan Ogos 1894.
Edisi Khas
Untuk meraikan kedatangan setiap bulan Ramadan, akhbar ini menerbitkan edisi istimewanya seperti edisi 29 Syaaban tahun Hijrah1304 bersamaan 23 Mei 1887 (yang pada hari lain dipenuhi iklan perniagaan) telah menyiarkan syair keislaman dengan hiasan “bingkai ilustrasi”.
Satu lagi maklumat penting terbitan akhbar ini ialah carta penyelarasan dan perbandingan Kalendar Masehi dengan Takwim Islam dan Kalendar Cina. Dalam keluaran akhbar ini dicatatkan tarikh 31 Ogos tahun 1891 itu bersamaan 30 Muharram 1309 Hijrah dan juga bersamaan bulan Cina, bulan 7, tahun Kongsu 17. Persatuan Jawi Peranakkan juga menerbitkan carta Takwin Bandingan ini dan dijual dengan harga 10 sen.
Pengaruh Bahasa Arab dan Inggeris
Pengaruh Islam tersergam melalui slogan akhbar; “Tawakkal itu sebaikbaik bekal. Bagi orang-orang yang berakal. Peliharalah sampai kekal.” Ia merangsang pembacanya agar mempertingkatkan taraf hidup tanpa berserah kepada takdir sahaja. Pembaca diyakinkan dengan kewibawaan berita-berita yang disiarkan melalui jaminan di muka utamanya iaitu: “Adapun akhbar ini semata-mata benar pengkhabarannya dan akhbar inilah yang dijadikan Tuhan tauladan di antara akhbar Melayu yang lain-lain itu adanya.”
Pada awal penerbitannya, Jawi Peranakkan menggunakan banyak istilah Arab. Pendeta Zaaba menjelaskan, “True to its name, at least as the number before us shows, this paper seems to have been strongly influenced by Arabic journalistic terms and methods. It uses “’adad” instead of “bilangan” for number; and “qimal ul-akhbar” instead of “harga langganan” for subscription rates”.11 Beberapa perkataan Arab yang digunakan ialah; “imtihan” untuk peperiksaan, “mutalaah” untuk pembaca, Hari “Arba” untuk Hari Rabu, “tabiin” untuk sahabat, dan sebagainya. Akhbar ini mula menggunakan istilah bahasa Inggeris pada tahun-tahun 1880- an seperti perkataan-perkataan; “prestige” “list”, “scholarship”, “foreign office”, “contract”, “telegram” dan sebagainya.
Lidah Pengarang: Peniup Semangat Nasionalisme Melayu
Di tahun-tahun awal penerbitannya, akhbar ini banyak menyentuh isu-isu masyarakat, umpamanya terbitan 2 April 1888 menunjukkan keprihatinan tentang keengganan orang-orang kampung mendapatkan rawatan kesihatan di hospital ketika wabak kolera melanda Singapura. Penduduk-penduduk terutama wanita mengandung dan kanak-kanak dilaporkan telah meninggalkan kampung mereka di Tanjong Katong dan lari ke Changi kerana takut jangkitan wabak tersebut.12
Akhbar yang berorientasikan Islam ini membimbing dan memberi panduan keagamaan. Melalui ruangan khusus, dimuatkan doa-doa amalan seharian dan petikan hadis. Akhbar keluaran 31 Ogos 1891 mengandungi hadis yang mengatakan “Barang siapa yang makan dari makanan yang gugur dari hidangan itu dapat menghindarkan kemiskinan.”
Dakwah Islamiah, hukum hakam dan fatwa juga disertakan dalam kemusykilan agama. Akhbar ini pernah melaporkan berita tentang perselisihan faham antara seorang wanita dengan Haji Lebar, seorang kadhi Singapura. Wanita berkenaan, murid kadhi tersebut, ditegur tidak sah berpuasa pada hari Jumaat (10 Syawal 1311/ 1894). Wanita itu menyangkal teguran ini dan menegaskan bahawa jika puasa dan sembahyangnya tidak sah kerana berpuasa hari Jumaat, maka “sekelian orang-orang dalam Singapura itupun tiadalah juga sah puasanya”. Beliau lalu menyarankan supaya tokoh-tokoh agama membicarakan soal hukum dan pengajian Islam.13
Bertanggungjawab membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu walaupun polisi akhbar terhadap pemerintah British bersifat sederhana seperti komen Birch: “Towards Government its tone is not hostile, nor even critical: indeed in only one instance was anything like a burst of feeling given bent to: it was in the case of the recent ‘Holidays Ordinance’.”14 Keberanian akhbar ini mengkritik pemerintah British yang tidak peka dengan sensitiviti agama dan budaya orang Melayu menarik perhatian kerana “It was the first Malay newspaper to criticise a British colonial policy. i.e. for not declaring ‘Idilfitri and Idiladha as public holiday.”15
Dalam beberapa keluarannya, pengarangnya juga menegur pegawai-pegawai Inggeris yang menggunakan istilah “hang”, “engkau”, “aku”, “lu”, dan “gua” apabila bertutur kerana ia dianggap bertentangan dengan etika Melayu.
Untuk pertama kali nya dalam sejarah, pengarang nya juga mengkritik tentang kelemahan bahasa Melayu dalam keluaran 6 Februari 1893; “The factors which weaken our language are; first there is no work on grammar, second, there is no dictionary; and third; no thought has been given to the questions of its teachers and schools”.16
Wadah untuk Persuratan dan Kesusasteraan Melayu
Akhbar ini berusaha untuk menyeragamkan penggunaan bahasa Melayu seperti pandangan Pendeta Zaaba “the main advantage of Jawi Peranakkan as ‘settling the language’ and giving a uniformity to the various dialects of Malay”.17
Sistem ejaan Jawi yang digunakan setanding dengan sistem ejaan dalam Kitab Pemimpin Johor; buku panduan tulismenulis terbitan tahun 1878. Sistem ejaan ini mengekalkan peraturan yang tidak memakai abjad vokal pada suku kata akhir terbuka dan pada suku akhir tertutup dalam perkataan-perkataan yang sudah mantap, manakala dalam perkataan-perkataan yang lain terutama perkataan baru, abjad vokal digunakan pada posisi demikian.18
Walaubagaimanapun terdapat penggunaan beberapa ejaan yang tidak konsisten umpamanya perkataan “cina” dieja sebagai “ ” dan “ ”. Menyedari kelemahan sistem ejaan ini, pengarangnya telah mengambil inisiatif untuk penyeragaman sistem ejaan Jawi yang betul. Akhbar bertarikh 23 Julai 1894 telah memperkenalkan satu ruangan baru “Pemimpin Ejaan” iaitu satu rujukan khas senarai glosari ejaan Jawi yang betul. Pengarangnya menyarankan “usahlah dipakai lagi huruf-huruf saksi, memadailah kalau tiada berbaris dibawah dan diatas didalam padahal itupun kalau bunyinya yang panjang patut jua memakai akan tetapi pula mau ditimbang lagi iaitu jikalau dua huruf saksi hendaklah ditinggalkan satu”. Beliau juga menyeru agar pembaca-pembacanya menyebarkan pengetahuan tentang ejaan Jawi yang betul ini terutama kepada kanak-kanak yang baru belajar. Antara perkataan-perkataan yang disenaraikan dalam glosari ini ialah “apabila” sepatutnya dieja sebagai “ ” bukan “ ”, “runtuh” sebagai “ “ bukan “ “ serta ejaan tepat untuk “bilik” sebagai “ “ dan bukan “ “ dan sebagainya.
Dari sudut persuratan, akhbar ini menggalak orang Melayu supaya akif dalam kehidupan moden dengan menyediakan wacana kesusasteraan Melayu. Melalui ruangan surat kiriman dan sastera kreatif, pembaca-pembaca digalakkan berkarya di samping mempelajari struktur dan susur galur bahasa Melayu dan ciri-ciri syair yang betul. Gaya penulisan syairsyair terbitan akhbar ini mempunyai kesan-kesan bercerita tentang kehidupan seharian seperti syair berunsur satira kiriman pembaca yang disiarkan dalam keluaran 6 Julai 1891 berikut:
“Hai kera yang tiada mengetahui
Cubalah membaca hikayat atau membeli
Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi
Kerana di dalamnya banyak pengajaran diri”
Kesedaran Sikap dan Sifat Orang Melayu
Sepanjang penerbitannya, Jawi Peranakkan berperanan untuk menyatukan orang-orang Melayu dengan meniup semangat kesedaran kebangsaan mereka. Dengan pembacaan akhbar, mereka akan lebih peka tentang dunia luar, dapat menghakis semangat kedaerahan dan memberi mereka peluang mengenal Melayu jati diri.
Akhbar ini lantang mengkritik dan menegur kelemahan orang Melayu serta menekankan kepentingan pelajaran sebagai kunci kemajuan bangsa. Dalam keluaran 28 Mac 1891, pengarangnya menulis bahawa akibat kekurangan ilmu, orang Melayu telah dijajah. Perasaan ini diluahkan dalam rencana mengenai keadaan sosial masyarakat; “Lihatlah tuan, beberapa lain bangsa yang mengambil faedah ilmu kita hingga pandai ia di dalam bahasa kita seperti Inggeris. Mereka belajar hingga ditawan segala Melayu yang bodoh, daripada faedah ilmu Melayu”. “Shahadan kalau orang Melayu kita boleh bilang sepuluh satu atau sepuluh dua yang dapat ilmu Melayu itu beberapa banyak yang telah mendapat malu sebab tiada mereka mempusakai faedah ilmu. Ayat hanya dipusakakan segala kejahatan dunia ini seperti mabuk, judi, curi dan sebagainya”.
Akhbar keluaran yang sama juga menarik perhatian pembaca tentang kelemahan sikap orang Melayu seperti pemalas, menghisap ganja dan mencuri seperti tertera dalam syair ini;
“Banyak ku lihat kita Melayu
Hati beku, masygul menjadi sayu
Kerjanya berat meramu kayu
Lama tak lama badan pun layu
Setengah memakan opium dan madat
Sayang malam tiada syahadat
Hatib konon itu ibadat
Di dalam neraka ia terpadat”
Akhbar Jawi Peranakkan memberi inspirasi kepada khalayak senarai pembacanya supaya terus menuntut ilmu dengan menyiarkan penerima-penerima “scholarship” untuk pelajarpelajar Melayu Singapura yang mendapat markah melebehi 77% dalam ujian kelayakan (akhbar terbitan 10 Oktober 1887). Tiga pelajar yang dapat meraih biasiswa ini; Awang bin Osman dari Sekolah Telok Saga, Mohamed Salih bin Ambob dari Sekolah Kampong Jagoh dan Kandi bin Kacong dari Sekolah Kampong Gelam mendapat biasiswa sebanyak $36 setahun daripada pemerintah.
Penutupan Akhbar
Selain menjadi akhbar Melayu perintis di nusantara dan yang paling lama bertahan penerbitannya di Malaya di abad ke sembilan belas, Jawi Peranakkan berjaya menyemarakkan penerbitan Melayu tempatan yang lain kerana rata-rata 17 majalah-majalah terbitan antara tahun 1876 dan 1905 telah ditaja atau disunting oleh pegawai-pegawai dari akhbar Jawi Peranakkan.
Dibawah skim latihan anjuran Syarikat Jawi Peranakkan, pelajar-pelajar lepasan sekolah Melayu dan Inggeris dilatih bekerja di Jabatan Percetakan syarikat ini. Mereka kemudiannya menjadi kakitangan di syarikat percetakan lain yang memberi sumbangan penting kepada percetakan buku-buku Melayu di rantau ini.
Walaupun akhbar ini dapat bertahan hampir 20 tahun, syarikatnya kemudian menghadapi masaalah kewangan kerana ramai pelanggan dan wakil penjualnya berhutang yuran langganan terutama selepas kematian pengarangnya, Munysi Muhammad Said pada tahun 1885.
Penutupan akhbar ini juga dikaitkan dengan sebab-sebab berikut:
1 Kekurangan sumbangan berita daripada pembacanya. Dalam iklan akhbar bertarikh 29 Oktober 1888, pengarangnya telah merayu pembaca-pembaca supaya menyumbangkan berita dan karya sastera.
2 Ketiadaan penyunting/pengarang yang berkaliber
3 Pentadbiran yang sering bertukar sejak kematian Munsyi Said menjejas kesinambungan dalam pengurusan. Seramai 5 orang telah memegang jawatan pengurus di antara Julai 1888 dan Januari 1894.
4 Terdapat persaingan daripada beberapa akhbar berbahasa Melayu lain seperti Seri Perak, Bintang Timor, Tanjong Penagri dan akhbar dwi bahasa, Melayu dan Inggeris; The Straits Chinese Herald.
Akhirnya, setelah menjadi penggerak masyarakat Melayu-Islam selama hampir dua dekad, akhbar Jawi Peranakkan telah menamatkan penerbitannya dengan edisi terakhir terbitan bulan April 1895.
Penilaian
Walaupun isi kandungannya kurang menarik untuk penilaian masa kini, Roff mengakui bahawa: “Tak dapat disangkakan bahawa suratkhabar Jawi Peranakkan ini menjadi suatu lidah atau suara yang amat penting di negeri Singapura pada masa itu.”19
Dalam tahun 1880-an pula, ia telah menjadi bahan rujukan dan sumber berita kepada akhbar luar negeri di rantau ini. Akhbar Indonesia seperti, Selompret Melajoe memetik berita Singapura dari Jawi Peranakkan dan sebaliknya Jawi Peranakkan juga mengambil berita-berita dari Selompret Melajoe, Sinar Terang dan Bintang Barat.
Mengenai gaya pemberitaan akhbar ini yang berbeda dengan laporan akhbar-akhbar terbitan semasa, pengarangnya menggunakan gaya didaktik yang memberi penilaian pendapat pribadinya dan komen di akhir berita. Satu laporan tentang kecelakaan jalan biasanya disertai dengan kecaman keras terhadap jurutera atau pihak bertanggungjawab di jalan raya. Laporan dalam berita terbitan bulan Januari 1887, tentang kecurian di Kampung Gelam dilanjutkan kepada keadaan serba senang pesalahpesalah di penjara Singapura seolah-olah mendorong lebih ramai orang cenderung melakukan jenayah.20
Jawi Peranakkan juga telah menjadi salah satu pemangkin kegiatan pemberitaan dan keintelektualan orang Melayu. Kehadiran akhbar ini telah menyemarakkan sastera Melayu dan menjadikan Singapura sebagai pusat kesusasteraan di rantau ini sehingga Perang Dunia pertama apabila peranan ini diambilalih oleh Indonesia.
Senior Librarian
Professional Services
National Library Board
REFERENCES
Abdullah Hussain and Khalid M. Hussain, Pendeta Za’ba Dalam Kenangan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000). (Call no. Malay R 899.28092 ABD)
Ahmat Adam, Sejarah Dan Bibliografi Akhbar Dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas (Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1992). (Call no. Malay RSEA 079.59 AHM)
Ahmad Salleh, “Peranan Surat Khabar Dalam Perkembangan Sastera Melayu Moden,” Dewan Bahasa 6, no. 4 (April 1962): 164–69. (Call no. RCLOS 499.23 DB)
Annabel Teh Gallop, “Early Malay Printing,” Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society 63, no. 1 (258) (1990): 85–124. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
E.W. Birch, “The Vernacular Press in the Straits,” in Singapore 150 years, ed. Mubin Sheppard (Singapore: Times Books International, 1982), 204–07. (Call no. RSING 959.57 SIN-HIS) (Originally published in Journal of the Malaysian Branch Asiatic Society 42, no. 1(215) (July 1969): 192–95. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994), 1032. (Call no. RSEA 959.003 ENS)
Hashim Haji Musa, Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999). (Call no. R 499.2811 HAS)
Hassan Ahmad, “Shaer,” Dewan Bahasa 6, no. 1 (January 1962): 20–31. (Call no. RCLOS 499.23 DB)
Ian Proudfoot, Early Malay Printed Books: A Provisional Account of Materials Published in the Singapore-Malaysia Area Up to 1920 (Kuala Lumpur: Academy of Malay Studies and the Library, University of Malaya, 1993). (Call no. RSING q015.5957 PRO)
Iskandar Ahmad, Persuratkhabaran Melayu, 1876–1968 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973). (Call no. RSEA 079.595 AMI)
Jeman Sulaiman, “The Rise of Malay Newspaper,” Straits Times, 7 November 1988, 6. (From NewspaperSG)
Kamsiah Abdullah, Benih Budiman: Suatu Analisis Sosiosejarah Persekolahan Melayu Singapura (Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2007). (Call no. RSING 371.8929992809597 KAM)
Kennard Allington, “An Account of Early Malay Press and Periodicals,” Straits Times, 12 February 1973, 18. (From NewspaperSG)
Khoo Kay Kim and Jazamuddin Baharuddin, eds., Lembaran Akhbar Melayu (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1980). (Call no. RSING 070.9595 LEM)
Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan & Percetakan Buku Melayu, 1807–1960 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998). (Call no. R 070.5095951 MD)
Mohd. Yusof Hussain, Mass Media in Selected Muslim Countries, 2nd ed. (Kuala Lumpur: International Islamic University Malaysia, 2008). (Call no. R 302.23 MAS)
Mubin Sheppard, ed., Singapore 150 years (Singapore: Times Books International, 1982). (Call no. RSING 959.57 SIN-HIS)
Nik Ahmad bin Haji Nik Hassan, “The Malay Press,” Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society 36, no. 1 (201) (May 1963): 37. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Rahmah Hashim, “Citra Wanita Dalam Akhbar Zaman Kolonial: Analisis Kandungan Akhbar Jawi Peranakkan Dan Utusan Melayu,” Sari, no. 15–16 (July 1998): 71–99.
Samat Buang, “Sejarah Perkembangan Akhbar Melayu Abad Ke-19 (Bahagian Satu),” Pelita Bahasa (February 1993): 44–45.
Sulaiman Jeem, “Alam Kewartawanan Akhbar Melayu,” Straits Times, 18 March 1982, 4. (From NewspaperSG)
Sulaiman Jeem, “The Rise of Malay Newspapers,” Straits Times, 7 November 1988, 6. (From NewspaperSG)
Tan Yew Soon and Soh Yew Peng, The Development of Singapore’s Modern Media Industry (Singapore: Times Academic Press, 1994). (Call no. RSING 338.4730223 TAN)
Tuminah Sapawi, “Pioneer of Malay News,” Straits Times, 26 August 1992, 9. (From NewspaperSG)
William Roff, “Guide to Malay Periodicals 1876–1941, With Details of Known Holdings in Malaya,” (Singapore: Eastern Universities Press, 1961). (Call no. RSING q016.059991 ROF)
William Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu (Pulau Pinang: diterbitkan dengan kerjasama Sinaran, 1967). (Call no. RSEA 079.595 ROF)
Zainal Abidin Ahmad, “Malay Journalism in Malaya,” Journal of the Malayan Branch of the Royal Society 19, no. 2 (October 1941): 244–50 (From JSTOR via NLB’s eResources website). Also published in Abdullah Hussain and Khalid M. Hussain, Pendeta Za’ba Dalam Kenangan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), 295–302. (Call no. R899.28092 ABD)
Zakiah Hanum, “Jawi Peranakan,” Dewan Budaya 21, no. 2 (February 1999): 46. (Call no. RCLOS 301.205 DB)
Web Resources
Darwis Harahap, “Sejarah Pertumbuhan Bahasa Melayu,” (Malay Concordance Project, May 1992), https://mcp.anu.edu.au/papers/darwis/Utama.html.
Jawi Peranakkan, 26 Mar 1881 (4 pages of digitized copies), http://econtent.elibraryhub.com/SHC/BL/34/_OP434.pdf.
John A. Lent, “Malaysia’s National Language Mass Media: History and Present Status,” South East Asian Studies 15, no. 4 (March 1978), https://kyoto-seas.org/pdf/15/4/150408.pdf.
Ratnala Thulaja Naidu, Jawi Peranakan, Singapore Infopedia, published 2016.
Jawi Peranakkan
3 Jan 1887–1 Aug 1887 (Microfilm NL10607)
8 Aug 1887–29 Dec 1890 (Microfilm NL10608)
5 Jan 1891–25 Jun 1894 (Microfilm NL10609)
2 Jul 1894–22 Apr 1895 (Microfilm NL10610)
NOTES
-
Khoo, Kay Kim and Jazamuddin Baharuddin, eds., Lembaran Akhbar Melayu (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1980), 3. (Call no. RSING 070.9595 LEM) ↩
-
Tan Yew Soon and Soh Yew Peng, The Development of Singapore’s Modern Media Industry (Singapore: Times Academic Press, 1994), 1. (Call no. RSING 338.4730223 TAN) ↩
-
John A. Lent, “Malaysia’s National Language Mass Media: History and Present Status,” South East Asian Studies 15, no. 4 (March 1978): 598, https://kyoto-seas.org/pdf/15/4/150408.pdf. ↩
-
Tuminah Sapawi, “Pioneer of Malay News,” Straits Times, 26 August 1992, 9. (From NewspaperSG). Akhbar ini menyiarkan berita luar negeri yang dipetik dari akhbarakhbar Inggeris. Mengenai berita tempatan, ia memuatkan berita luar biasa seperti bencana alam serta tentang keluarga masyarakat Melayu di Kuala Kertel dan kawasan lain di Sri Lanka. Penerbitan akhbar ini dihentikan pada tahun 1870 kerana kurang sokongan dari pelanggan tempatan. Penerbitannya disambung kembali pada 1877, tetapi terpaksa dihentikan sekali lagi pada tahun berikutnya kerana sebab yang sama. ↩
-
Samat Buang, “Sejarah Perkembangan Akhbar Melayu Abad Ke-19 (Bahagian Satu),” Pelita Bahasa (February 1993): 45. Akhbar terbitan H. Fuhri ini mempunyai kandungan yang berorientasikan hal perniagaan. ↩
-
Zainal Abidin Ahmad, “Malay Journalism in Malaya,” Journal of the Malayan Branch of the Royal Society 19, no. 2 (October 1941): 244–50 (From JSTOR via NLB’s eResources website). Also published in Abdullah Hussain and Khalid M. Hussain, Pendeta Za’ba Dalam Kenangan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), 295. (Call no. R899.28092 ABD) ↩
-
E.W. Birch, “The Vernacular Press in the Straits,” in Singapore 150 years, ed. Mubin Sheppard (Singapore: Times Books International, 1982), 206. (Call no. RSING 959.57 SIN-HIS) (Originally published in Journal of the Malaysian Branch Asiatic Society 42, no. 1(215) (July 1969): 192–5. (From JSTOR via NLB’s eResources website) ↩
-
Pada tahun 1881, satu pound sterling sama nilainya dengan $5.40 sen tetapi pada tahun 1896, satu pound sterling sama nilainya dengan $10. ↩
-
William Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu (Pulau Pinang: diterbitkan dengan kerjasama Sinaran, 1967), 9. (Call no. RSEA 079.595 ROF) ↩
-
Rahmah Hashim, “Citra Wanita Dalam Akhbar Zaman Kolonial: Analisis Kandungan Akhbar Jawi Peranakkan Dan Utusan Melayu,” Sari, no. 15–16 (July 1998): 83. ↩
-
Zainal, Pendeta Za’ba Dalam Kenangan, 295. ↩
-
Nik Ahmad bin Haji Nik Hassan, “The Malay Press,” Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society 36, no. 1 (201) (May 1963): 38. (From JSTOR via NLB’s eResources website) ↩
-
Hashim, “Citra Wanita Dalam Akhbar Zaman Kolonial,” 89. ↩
-
Birch, “Vernacular Press,” 205. ↩
-
Mohd. Yusof Hussain, Mass Media in Selected Muslim Countries, 2nd ed. (Kuala Lumpur: International Islamic University Malaysia, 2008), 48. (Call no. R 302.23 MAS) ↩
-
Nik Ahmad, “Malay Press,” 41. ↩
-
Lent, “History and Present Status,” 599. ↩
-
Hashim Haji Musa, Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999), 171. (Call no. R 499.2811 HAS) ↩
-
Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, 9. ↩
-
Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, 9. ↩