Shair Saudara Boyan: Menyingkap Sejarah Masyarakat Bawean
Shair Saudara Boya (Poem of the Baweanese; 1930) is a significant 49-page poetry collection written in Malay using Jawi script. Senior Librarian Sundusia Rosdi shows how it offers a portrait of the Baweanese community and sheds light on their social values and aspirations.
Syair Sebagai Wacana Periwayatan
Kamus Dewan (2005) mendefinisikan syair sebagai “karangan bersajak yang mana tiap-tiap rangkap terdiri daripada empat baris yang sama bunyi hujungnya”.1 Menurut Teeuw (1966), kebanyakan penulis bersetuju bahawa syair terbit dari perkataan Arab syi’r yang bererti puisi secara umum dan makna sya’ir ialah penulis puisi atau penyairnya. Tidak diketahui pula bila dan mengapa perkataan Arab ini berubah makna menjadi syair seperti yang dimaksudkan dalam bahasa Melayu kini.2
Dari tanah Arab dan Parsi, gubahan syair Melayu mula diperkenalkan oleh Hamzah Fansuri, seorang ahli sufi Aceh, pada abad ke 16 yang juga merupakan pengarang Sha’er Perahu, Sha’er Burong Pingai dan Sha’ er Dagang.3 Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, tokoh bapa kesusasteraan Melayu moden turut dikenali dengan Syair Singapura Terbakar dan Syair Kampung Gelam Terbakar yang termuat dalam bukunya Hikayat Abdullah (1849).4
Gubahan-gubahan syair banyak dikumpulkan di Singapura melalui ruangan tetap di Jawi Peranakkan (1876–1895) iaitu akhbar mingguan terawal, kemudian oleh Utusan Melayu (1907–1921) hingga ke Warta Malaya (1930–1941) yang menyiarkan hasil kiriman pembaca. Genre syair ini terus popular dan diminati hingga menjadi sebahagian khazanah puisi masyarakat Melayu Nusantara.
Lembaga Perpustakaan Negara Singapura menyenaraikan beberapa karya syair mengenai Singapura antaranya Syair Tantangan Singapura Abad Kesembilan Belas (1835), Syair Singapura Terbakar (1843), Syair Kampung Gelam Terbakar (1847) atau Syair Singapura Dimakan Api (1860), Shair Bah Singapura (1891), Shair Saudara Boyan (1930) dan lain-lain.
Shair Saudara Boyan
Shair Saudara Boyan sangat menarik perhatian penulis kerana syair itu merupakan antara sumber utama yang terdapat di dalam bahasa Melayu mengenai masyarakat Bawean di Singapura selain Shair Kampong Boyan Dimakan Api (1883) terbitan Persatuan Jawi Peranakkan, Singapura.
Shair Saudara Boyan telah dikarang oleh Ahmad bin Haji Tahir. Ia mengandungi 491 rangkap dalam aksara Jawi dan dicetak oleh Malaya Press, Singapura pada tahun 1930.
Buku kumpulan syair sebanyak 49 lembaran ini selesai dikarang pada 15 Ramadan 1348 Hijrah (14 Februari 1930 ). Naskhah aslinya diterima dan disimpan di British Muzium sejak 26 November 1930. Salinan mikrofilemnya terdapat di Perpustakaan Negara, Singapura dan Monash University Library, Australia.
Di halaman akhir karya tersebut tercatat peringatan, “Adapun syair Boyan ini telah diregisterkan di Pejabat Kerajaan Singapura menurut Undang-Undang Straits Settlements. Oleh yang demikian tidak dibenarkan mengecap atau meniru syair ini melainkan dengan izin pengarang.”5
Setelah membaca Shair Saudara Boyan ini, penulis merasa terpanggil untuk menelitinya kerana moyang penulis merupakan antara perantau dari Pulau Bawean dan penulis sendiri pernah menziarahi Pulau Bawean pada tahun 1993 untuk menjejak akar susur-galurnya.
Cabaran Transliterasi Aksara Jawi Ke Rumi
Penulis akan menggunakan perkataan Bawean (bukan sebutan Boyan) kerana kaum ini berasal dari Pulau Bawean, Indonesia. Sebenarnya sebutan “Boyan” dimulakan oleh penjajah Barat, kerana pegawai-pegawai zaman kolonial itu lebih selesa untuk menyebut Orang Bawean sebagai Orang Boyan. Oleh kerana pada hakikatnya orang Eropah merupakan tuan kepada pekerja-pekerja Bawean yang tidak tahu menulis serta membaca dan ditambah lagi dengan cara hidup mereka ketika itu, mereka menerima istilah yang dianggap tidak sesuai ini tanpa ada bantahan sedikitpun.6
Penulis juga mengalami masalah ketika proses mentransliterasi syair-syair ini kerana kualiti tulisan Jawi di layar mikrofilem itu kurang jelas dan amat mencabar baginya. Misalnya terdapat banyak ayat yang berbayang dan bertindan lapis dari lembaran sebelumnya. Ini menyukarkan pembacaan walaupun setelah dicetak foto dari mikrofilemnya.
Terdapat perkataan-perkataan dan frasa yang sukar ditranskripkan secara langsung antaranya; “Di pondok ramai orang Traisi” (ms. 26) dan “Bila malam memakai pat-pat” (ms. 38). Masalah susunan aksara Jawinya yang kabur dan tanda-tanda seperti titik yang kurang lengkap sebagai menuruti konvensyen huruf-huruf Hijaiyah agak mengelirukan. Misalnya “Perintahlah dahulu terluca” (ms. 41). Di samping itu struktur barisan dari bait pertama hingga ke bait terakhir tidak dipisahkan secara berperenggan. Untuk memudahkan rujukan, penulis menomborkan setiap 1,964 baris. Bait-bait ini dikekalkan nombor halaman teks Jawi asalnya. Penulis mengatasi penguasaan bahasa Baweannya yang terhad dengan merujuk kepada saudara mara untuk menakrifkan frasa-frasa yang tidak dapat dihuraikan.
Focus Kajian
Penulis akan menganalisa karya syair ini dari aspek nilai-nilai yang tersirat di dalamnya, iaitu dari sudut kefahaman Islam, sosio-ekonomi dan sejarah masyarakatnya. Dan tidak lupa juga membandingkannya dengan fakta-fakta daripada penerbitanpenerbitan lain mengenai masyarakat Bawean yang terdapat di dalam Koleksi Perpustakaan Negara, Singapura.
Latarbelakang Kajian
Pulau Bawean terletak 120 km di utara Surabaya (Jawa Timur, Indonesia) di Laut Jawa. Keluasannya kira-kira 200 km persegi (tiga kali lebih kecil dari Singapura), terbahagi kepada dua daerah; Sangkapura dan Tambak dengan 30 kelurahan (desa) dan 143 kampung.7 Nama Bawean ini berasal dari perkataan Sanskrit yang bermakna “ada sinar matahari”.8
Pulau Bawean juga dikenali sebagai Pulau Puteri kerana kebanyakan penduduknya terdiri daripada kaum wanita. Lantaran kaum puteranya pula mula merantau apabila mencecah usia remaja. Masyarakat Bawean menganggap bahawa “seseorang lelaki Bawean belum dikira dewasa sehinggalah ia merantau ke luar negeri”.9
Singapura menjadi tumpuan kaum Bawean kerana menjadi pusat urusan Haji Nusantara ketika itu lantaran kemudahan pelayaran kapal wap yang membawa jemaah-jemaah haji ke Mekah. Kaum pendatang ramai ke Singapura untuk bekerja sambil mengumpulkan wang bagi menunaikan haji atau singgah ke sini dalam perjalanan pulang dari Mekah. Semasa persinggahan di Singapura, mereka bekerja untuk membayar hutang bagi perbelanjaan ke Mekah kepada ejen-ejen haji mereka.
Kaum Bawean juga beranggapan bahawa “kalau mahu enak-enak, pergi ke Jawa, kalau mahu di kubur, ke Malaya, tetapi kalau mahu cari wang dan pakaian ke Singapura.”10 Justeru, tujuan perantau-perantau ini ke Singapura adalah khusus untuk mencari kekayaan supaya dapat dibawa balik ke Pulau Bawean.
Kaum Bawean dipercayai mula merantau ke Singapura seawal tahun 1824 dengan menaiki kapal Bugis11 dan kemudian dengan kapal-kapal wap milik Belanda Koninklijke Pakketvaart Maatschappij (KPM) dan Heap Eng Moh Shipping Company (syarikat-syarikat pengendali pelayaran di kepulauan Indonesia).12
Analisis Kandungan Syair
Syair dimulakan dengan penceritaan tentang kehidupan kaum Bawean di Pulau Bawean sendiri dan rentetan peristiwa yang mendorong mereka merentas lautan dengan hanya menaiki perahu layar untuk merantau ke Singapura.
Tiada watak utama dalam naskhah syair ini walaupun ia menyentuh beberapa personaliti dan merupakan catatan umum kehidupan mereka di Singapura. Beberapa personaliti yang telah berjaya dianggap sebagai wira sering disebut sebagai penjana semangat contohnya seperti Pak Lurah (Penghulu); Dul Haris dan Pak Tarallah. Kebanyakan watak-wataknya disentuh secara umum dan hanya beberapa watak dikisahkan secara terperinci misalnya kisah pelawak terkenal Mat Nor Gelam (sepanjang 44 baris).
Seperti koleksi syair-syair lain, pengarang memulakan karyanya dengan puji-pujian kepada Allah di halaman satu:
Bismillah itu mula dikata
Alhamdullilah puji semata
Telah takdir Tuhan yang satu
Tiada berbanding serta bersekutu
Pengarang syair memohon agar syairnya diberkati Allah serta dapat menghiburkan pembaca-pembacanya. Bermula bait ke 17 pula, beliau terus memulakan hal masyarakat di Pulau Bawean serta urutan catatan perantauan mereka ke Singapura. Selanjutnya, niat dan persiapan kaum Bawean untuk merantau, juga detik-detik pengalaman merentasi lautan selama sebulan sebelum sampai ke destinasi tujuan diceritakan (ms. 5).
Marilah belayar jangan berlat
Ke Singapura namanya selat
Pelayaran ada di dalam sebulan
Kurnia Tuhan
dengan kebetulan
Penempatan Awal Masyarakat Bawean
Setibanya di Singapura, kaum lelakinya menjual tikar anyaman Bawean di Kampung Jawa (Kampung Gelam). Sejak zaman Munshi Abdullah lagi mereka tinggal di rumah-rumah sementara di daerah Kampong Kapor (di pesisir Sungai Rochor yang terletak di antara Jalan Besar dan Syed Alwi Road).13 Kawasan ini seterusnya menjadi tumpuan pendatang Bawean lantas dikenali sebagai Kampung Boyan (ms. 7–17).
Kepada Melayu dapat bercampur
Berniaga Boyan di Kampong Kapor
Mulailah ramai Boyan Singapura
Di Kampong Kapor tempat ketara
Khabar keselesaan hidup di Singapura memang menggamit minat rakan taulan mereka di Pulau Bawean hingga akhirnya ramai turut berhijrah pada pertengahan abad ke 19. Banci Koloni Singapura tahun 1849 mencatatkan kehadiran 763 orang Bawean (720 lelaki dan 43 perempuan). Jumlah penghijrah ini terus meningkat tetapi kemasukan mereka ke sini dihadkan selepas Perang Dunia Kedua dengan penguatkuasaan “Citizenships Ordinance, 1957”.14
Institusi Pondok Bawean
Kaum Bawean yang berhijrah ke Singapura berasal dari pelbagai desa seperti Beluluar, Dekatagung, Padekek, Pakalongan, Tachung, Teluk Jati, Sakaoneng, Sokalela dan lain-lain. Tatkala sampai ke Singapura, mereka bersatu dan disediakan naungan di kediaman yang dikenali sebagai “ponthuk” (pondok) iaitu rumah bagi pendatang baru Bawean. Konsep pondok sebagai institusi sosial unik bagi memastikan keselesaan sosial dan keselamatan moral mereka15 terutama bagi yang masih menganggur atau sakit kerana konsep pondok juga nampaknya sangat mirip dengan konsep “kongsi” bagi pendatang-pendatang Cina ke rantau ini.16
Pondok selalunya merupakan rumah kedai bertingkat atau banglo dengan unit-unit bilik kecil untuk setiap keluarga, sementara ruang tamu, ruang solat, dapur serta bilik dikongsi bersama penghuni lain. Terdapat antara 10–30 buah keluarga hidup di bawah satu bumbung pondok. Nama setiap pondok di Singapura biasanya diberikan sempena desa asal di Bawean kerana kaum ini didapati amat tebal jati diri serta nilai etnosentrisme mereka. Mereka mahu dikenali sebagai orang dari desa asal mereka misalnya orang-orang Tambak, Gelam, Pakherbung dan lain-lain.
Di antara tahun 1940-an hingga 1950-an, catatan taburan 138 pondok didirikan di serata Singapura,17 antaranya Pondok Teluk Dalam di Dixon Road, Pondok Dedawang di Sophia Road dan Pondok Adam di Ann Siang Hill. Pondok terakhir dikenalpasti terletak di Sungei Road dan telah dirobohkan pada tahun 1981.18
Penghuni pondok dikenakan bayaran sewa bilik sebanyak $4 hingga $12 sebulan oleh Pak Lurah serta yuran keanggotaan sebanyak $1.50 sebulan.19 Sebagai imbalan, kebajikan keselamatan ahli mereka dijaga melalui sistem gotong royong sesama penghuni pondok itu.
Shair Saudara Boyan turut menyebut nama beberapa pondok yang terkenal melalui halaman-halaman 18 hingga 28.
Baik sebuah masjid yang tentu
Di Pondok Tachung tempat itu
Ketua bernama Encik Cak Cang
Semuanya Boyan di Gunong Lanceng
Ketika itu ia Pak Tarallah
Pakalongan ini jadi ceritalah
Sakaoneng pula saya nyatakan
Pondok ia di sebelah pekan
Setiap pondok diketuai oleh seorang Pak Lurah yang bertindak sebagai penghulu serta penasihat ahli pondok. Oleh kerana kebolehan Pak Lurah ini, penguasa polis sebelum Perang Dunia Kedua telah memberi mereka sedikit kuasa untuk menangani sendiri ahli-ahli pondok mereka jika ada yang mengganggu ketenteraman.20
Pengaruh besar seseorang Lurah pondok Bawean diakui oleh pemerintah Inggeris. Mereka dihormati kerana kebanyakannya terdiri dari golongan yang agak berada dan telah menunaikan fardhu haji.
Syair ini memaparkan nama beberapa Pak Lurah antaranya Pak Lurah Dul Haris dari Pondok Tachung yang berniaga menjual tiket-tiket kapal ke Pulau Bawean. Sebagai ketua yang berdedikasi serta bersifat patriotik kepada Singapura, beliau telah dianugerahkan pangkat Jaksa Pendamai (JP) (ms. 21) :
Kesempurnaan Jawa yang dihadapi
Gabenor memberi Pangkat JP
Sosio-Ekonomi dan Mata Pencarian
Tradisi orang Bawean yang berperawakan kuat dan garang serta bersifat rajin diperkatakan dalam syair ini. Sifat setiakawan, gotong royong, sabar serta tidak memilih pekerjaan telah menambat hati bangsa-bangsa lain (ms. 20–30):
Banyaklah bangsa pergi datang
Memuji Bawean tiada berpantang
Wang dikumpul yang digemari
Hendak dibawanya pulang ke negeri
Dalam bidang ekonomi, kebanyakan mereka terlibat dalam usaha kecil-kecilan seperti menjual atap, menganyam tikar Bawean, membuat terompah kayu dan parut sebagai sumber pencarian mereka (ms. 8).
Bawean berniaga terompah dan parut
Perniagaan maju tiada melorot
Umumnya terdapat semacam pengkhususan jenis pekerjaan di kalangan masyarakat pondok misalnya di Pondok Telok Jati, lelakinya cekap membelah rotan dan wanitanya mahir menjahit jala. Di samping itu menjadi nelayan dan kelasi memang popular kerana mereka sudah biasa dengan laut terutama bagi kaum lelaki dari Pondok Tambak (ms. 24–26).
Separuh di laut pula dihantar
Menjadi kelasi jurumudi berputar
Pekerjaan banyak menjadi kelasi
Di kapal kecil Hailam kongsi
Terdapat ramai lelaki Bawean yang menjadi pemandu kereta. Dan ini seolah-olah menjadi simbol datuk serta moyang mereka sebagai pemacu pedati kuda (ms. 24).
Tiada takut letih dan rugi
Niat menjadi coachman tinggi
Sebelum perang, masyarakat di Malaya dan Singapura selalu mengaitkan pengendali kuda atau joki secara automatik dengan orang Bawean.21
Sehubungan itu, kaum lelaki dari Pondok Gunong Lanceng pula ramai menjadi joki kuda (ms. 24).
Pekerjaan berlumpur kepala dan kaki
Sehingga ada menjadi joki
Selanjutnya tentang mata pencarian orang Bawean, ada segelintir yang bekerja di industri perfileman Malaya, dalam bidang hiburan sebagai penyanyi kabaret, sebagai guru, atau dalam jawatan pemerintah. Mereka tergolong kurang dari 1/10 masyarakat Bawean.22
Penglibatan kaum Bawean dalam bidang seni juga dibayangkan dalam syair seperti pelawak Mat Nor Gelam yang menjadi ahli kumpulan bangsawan (ms. 40):
Pekerjaan dia di wayang kompeni
Di Din Union semasa ini
Antara ciri paling dikenali yang berkaitan dengan masyarakat Bawean ialah kecenderungan mereka mengumpul emas (bukan mata wang). Kaum wanita mudah dikenali melalui perhiasan diri seperti memakai banyak gelang tangan, rantai, loket dan kerongsang emas. Di Pulau Bawean, mereka lazimnya menggunakan loket emas (paun) untuk berjual beli sawah ataupun rumah. Malah kekayaan seseorang itu diukur dengan jumlah loket emas yang dimiliki dan mereka sering berjimat untuk membeli loket emas.23 Kebiasaan wanita Bawean yang menghias diri dengan emas walau sekadar ke pasar digambarkan di halaman-halaman 11 dan 31:
Di pasar besi banyak bertempuh
Dapat kelihatan gelang bersepuh
Penuhkan paun di dalam ponjin
Supaya hajat boleh ditajin (keraskan)
Jangan lupa mencari wang
Kemudian mendapat intan dan gewang (siput mutiara)
Penyingkapan Budaya dan Tradisi
Seterusnya syair ini menggambarkan suasana di majlis walimatulurus anak Pak Lurah Tarallah di Pondok Pakalongan (ms. 27). Semua tetamu dijamu dengan nasi samin (nasi minyak), lauk kari dan juadah lain di samping pemberian penganan juadah (berkat pengantin). Majlis turut dimeriahkan dengan permainan gendang dan rebana. Kebiasaannya majlis perkahwinan Bawean merupakan pesta meriah yang berlangsung selama tiga hingga lima hari dan persiapannya dilakukan melalui budaya bergotong-royong.24
Satu hal yang menarik dalam catatan pengarang ialah istiadat keluarga pengantin melambungkan wang-wang syiling ke arah genting rumah hingga menyebabkan bunyi bising. Ini dilakukan oleh tuan rumah untuk menunjukkan kemewahan dan kemeriahan bunyi ch’ning (bejana tembaga). Ketika duit syiling dilambung jatuh bertaburan di lantai, ia menjadi rebutan sanak saudara yang memungutnya (ms. 28).
Bila datang jemputan menempuh
Wang ditabur ch’ning nak repuh
Sehingga ch’ning pontang panting
Wang dilambung ke atas genting
Budaya Penghayatan Islam
Di Kampung Kapor, Weld Road pernah tersergam Masjid Boyan yang didirikan oleh hartawan Bawean pada tahun 1932. Begitu juga sebuah surau di Minto Road yang telah dibina lebih 100 tahun lalu dan dibiayai oleh masyarakat Bawean. Terkenal sebagai kaum yang patuh mengamalkan ajaran Islam, anakanak Bawean seawal empat tahun sudah dididik mengaji alQuran melalui kelas-kelas yang ada di setiap pondok. Pak Lurah sendiri menjadi imam ketika solat berjemaah. Suasana dan gaya hidup Islam terpancar dengan kegiatan-kegiatan agama antaranya, bacaan al-Quran, berzanji dan qasidah serta sambutan hari-hari kebesaran Islam (ms. 32–35).
Banyak orang pergi mengaji
Sehingga ada yang naik haji
Boyan pun sangat muliakan agama
Serta mengerjakan waktu yang lima
Apabila wabak melanda Kampong Kapor (ms. 42), kaum Bawean mengadakan upacara membaca bacaan berzanji dan ratib beramai-ramai kerana mereka menganggap bahawa jin dan syaitan merupakan penyebab wabak tersebut.
Perihal penyakit tiada terkira
Banyaklah mati Boyan saudara
Beratur sekelian yang mana haji
Di pinggang pula kitab berzanji
Kemenyan dikekalkan bertalam-talam
Menghalau penyakit biar tenggelam
Hilanglah jin puaka musibat
Melihat ratib manusia bertobat
Walaupun masyarakat Bawean ini jelas sangat kuat pegangan agama mereka, namun terdapat satu pandangan yang negatif mengenai kaum Bawean dahulu iaitu mereka sering dikaitkan sebagai pengamal ilmu hitam. Mereka dikatakan menggunakan ilmu sihir untuk menyebabkan sakit yang melarat, keguguran bayi, lemah syahwat dan kematian.25
Setelah sistem pondok berakhir, stigma ini kekal pada sebahagian orang-orang muda Bawean kini sehingga ada yang malu mengakui bahawa mereka asal keturunan Bawean.
Penggunaan Bahasa dalam Syair
Pengarang telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam penulisan syair ini dan diselang-selikan dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Arab, bahasa Inggeris, bahasa Madura, serta bahasa Bawean sendiri. Gaya bahasa yang digunakan agak mudah lagi santai. Namun beberapa rangkap kelihatan indah dengan bunga-bunga bahasa dan perbandingan yang tepat (ms. 21).
Nyatalah sudah Boyan nan maju
Akal pun datang semangkin laju
Sehingga berubah pakaian baju
Semua pekerjaan boleh setuju
Dari sudut pemilihan perkataan, perbendaharaan bahasa pengarang sangat luas, beberapa perkataan seperti “gelurat” (ms. 1) dan “geharap” (ms. 34), tidak dapat saya tafsirkan walau setelah merujuk kepada kamus. Menarik juga bila terdapat beberapa bahasa pasar harian yang diselitkan seperti “jotos” ( ms. 28) dan “bini” (ms. 8).
Pengaruh bahasa Arab ketara sekali seperti penggunaan Alhamdulillah (ms. 1), Khalik-ul alam (ms. 5) dan Walimatulurus (ms. 28). Pengarang juga menyelitkan ungkapan-ungkapan Inggeris berejaan Melayu misalnya: Bersekutu dengan bandar dan market (ms. 42), Ke Kampong Kapor menuju target (ms. 23) dan Berpaip sigret asap barbus (ms. 32).
Di beberapa rangkap ala pantun turut disisipkan frasa bahasa Madura seperti Adu ambuk (aduh nenek) dan bahasa Bawean seperti emok (sibuk), phiyeng (ibu), serta Tak kabesanyo’on pahi’ (terima kasih yang tidak terhingga) (ms. 28). Pengarang turut meluahkan perasaannya dengan berpantun dalam bahasa Bawean di bahagian penutup syair ini (diterjemahkan secara bebas di ms. 48).
Ka tasik ka nosa-nosa
Cukok tambhen kuring aken
Bule achek eka sosa sosa
Syair Pebhiyan e tamat aken
Ke tasik ke pulau Nusa
Ikan tamban digorengkan
Jangan saya di susah susah
Syair Bawean akan ditamatkan
Nasihat, Doa dan Harapan Pengarang
Semasa mengakhiri syairnya, pengarang turut menyertakan permohonan doa dan harapan agar Allah menyempurnakan dan menyelamatkan kehidupan kaum Bawean serta menghindari mereka dari kelalaian dan sentiasa maju dalam kehidupan (ms. 46 hingga 48).
Berdoa selamat kepada sekelian wali
Boyan bangkit janganlah khali (lalai)
Ya Allah Khalik al Bokhari
Dijauhkan bala kanan dan kiri
Sempurnakan kaumku disana sini
Ku doakan selamat saat berani
Nostalgia Kaum Bawean
Zaman telah berubah, selepas lebih 80 tahun syair ini dikarang, masyarakat Bawean terus maju selari dengan arus perkembangan pesat negara Singapura. Masjid Kampong Boyan, surau di Minto Road dan pondok-pondok Bawean telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan perbandaran. Mereka telah berpindah ke rumah-rumah pangsa dan nama-nama pondok hanya tinggal kenangan kepada generasi yang pernah menghuninya sahaja. Pada tahun 2000, Lembaga Warisan Negara (NHB) telah mewartakan Pondok Peranakan Gelam (berdaftar pada 4 April 1932) iaitu satusatunya pondok di Chinatown yang beralamat 64, Club Street sebagai Bangunan Warisan Negara ke-44. Pondok rumah kedai dua tingkat ini kemudiannya dibaikpulih dan didiami oleh penyewa baru.26
Kini dialek Bawean amat jarang dituturkan, kecuali sebagai ucapan khas sesama warga tua dan beberapa nama panggilan seperti obek, mamang dan sebagainya. Beberapa lagu Bawean seperti La A Obe (Dah Berubah) dan Nga Lompak A Go Go (Melompat dan ber-A Go Go) dendangan penyanyi popular 1960-an, Kassim Selamat bersama kugiran The Swallows sesekali berkumandang di radio dan terutamanya di majlis-majlis keramaian masyarakat Bawean.
Persatuan Bawean Singapura
Dalam usaha mengenal jati diri serta melestarikan bahasa dan budaya Bawean, Persatuan Bawean Singapura (didaftarkan pada 1946) pernah menganjurkan kegiatan-kegiatan seperti kelas-kelas bahasa Bawean pada tahun 2007 serta kelas-kelas memasak juadah tradisi Bawean. Wisata ke Pulau Bawean juga dianjurkan supaya generasi baru dapat mengenali negeri asal usul mereka. Persatuan ini turut mengiktiraf individu Bawean yang terbilang mengharumkan nama masyarakatnya dengan penganugerahan Bawean Teladan, Bawean Budiman, Bawean Jasawan dan Bawean Cemerlang.27
Karya Nadir Beharga
Mungkin amat sedikit sekali pembaca masa kini yang berminat membaca syair panjang dalam aksara Jawi lama terutama dari paparan gulungan filem. Namun usaha pengarangnya merakamkan cebisan kisah masyarakat Bawean Singapura ini sangat penting dan harus dihargai. Beliau amat prihatin akan kaumnya sehingga dapat mengarang kisah dalam bentuk syair iaitu suatu karya yang amat sukar dan jarang dilakukan orang lain. Usaha terpuji ini mungkin dilupakan jika tidak didokumentasi dengan sewajarnya misalnya dijadikan antara sumber kajian tentang diaspora masyarakat dan etnik Nusantara.
Dalam konteks kesusasteraan Melayu dan sejarah Singapura umumnya, koleksi syair ini merupakan bahan nadir mengenai kaum-kaum perantau pada era 1920-an hingga sebelum Perang Dunia Kedua. Selain usia karya ini, isinya berkisar tentang keadaan sebenar masyarakat Bawean pada itu. Bentuk karya bersyair-pantun begini tentang orang Bawean boleh mengimbau nostalgia generasi lama perantau Bawean. Sementara kaum muda dapat menyusur galur salasilah mereka melalui rakaman gambaran puisi berirama.
Rumusan
Sekarang yang tinggal hanya nama bangsa Bawean yang tercatat dalam kad pengenalan dan surat lahir seramai 51,849 orang Bawean Singapura menurut laporan Banci Penduduk tahun 2000.28 Mungkinkah mereka ini yang meneruskan aspirasi generasi awal perantau-perantau yang mengharungi gelombang ombak samudera semata-mata untuk mengecap kehidupan lebih selesa?
Ramai cendekiawan Bawean telah menyumbangkan kepakaran tenaga untuk kemajuan Singapura antaranya Encik Ridwan Dzafir, mantan Direktor-Jeneral, Lembaga Pembangunan Perdagangan (Trade Development Board) dan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) (1986–1989) dan Encik Hawazi Daipi, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga Manusia.29
Generasi baru masyarakat Bawean harus mengetahui dan mengenang jasa generasi nenek moyang mereka kerana wawasan dan keberanian mereka menyerantau.
Ahmad Haji Tahir wrote Shair Saudara Boyan (Poem of the Baweanese) in 1930. This significant 49-page poem collection, written in Malay using Jawi script, offers a portrait of the Baweanese community and sheds light on their social values and aspirations, extending lessons that the present generation of Baweanese in Singapore may find instructive. Through this work, one may gain insight into the history of the Baweanese (Indonesian) immigrants in Singapore. The Baweanese-Singaporeans of today owe much of their success to their ancestors’ determination, industriousness and courage to emigrate.
Penulis menghargai usahasama Dr Roksana Bibi Abdullah, Associate Professor, National Institute of Education, Nanyang Technological University, yang mengulas makalah ini.
Senior Librarian
Professional Services
National Library Board
REFERENCES
A. Teeuw, “The Malay Shair: Problems of Origin and Tradition,” Bijdragen tot de Taal – Land-en Volkenlunde 122, no. 4 (1966): 429–46. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Abdullah Baginda, “Our Baweanese People,” Intisari 2, no. 4 (1964–67): 15–60. (Call no. RCLOS 959.5005 INT)
Ahmad Haji Tahir, Shair Saudara Boyan (London: Reprographic Section, Reference Service Division, British Library, 1930). (Call no. RCLOS 305.89928 AHM)
Amin Sweeney, ed., Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Jilid 2: Puisi Dan Ceretara (Jakarta: Kepustakaan Populer Gramedia, 2006). (Call no. RSING 959.5 KAR)
Arnold Wright and H.A. Cartwright, eds., Twentieth Century Impressions of British Malaya: Its History, People, Commerce, Industries, and Resources (Singapore: Graham Brash, 1989), 126. (Call no. RSING q959.5 TWE)
“Boyanese,” in Singapore: The Encyclopedia, ed. Tommy Koh et al., (Singapore: Editions Didier Millet in association with the National Heritage Board, 2006), 70. (Call no. RSING 959.57003 SIN)
C. M. Turnbull, A History of Singapore, 1819–1988 (Singapore: Oxford University Press, 1989), 23, 43. (Call no. RSING 959.57 TUR)
Dhoraisingam S. Samuel, “Baweanese Pondok,” in Singapore’s Heritage Through Places of Historic Interest (Singapore: Elixir Consultancy Service, 1991), 45, 54–55. (Call no. RSING 959.57 SAM)
Hassan Ahmad, “Sha’er,” Dewan Bahasa 6, no. 2 (January 1962): 20–31. (Call no. RCLOS 499.23 DB)
Jacob Vredenbregt, “Bawean Migrations,” Bijdragen tot de Taal – Land-en Volkenkunde, 120, no. 1 (1966): 109–39. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
Jacob Vredenbregt, Bawean Dan Islam, trans. A.B. Lapian (Jakarta: INIS, 1990). (Call no. RSEA 305.89922 VRE)
Kamus Dewan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005). (Call no. R 499.283 KAM)
Mansor bin Haji Fadzal, “My Baweanese People,” Intisari 2, no. 4 (1964–67): 11–14. (Call no. RCLOS 959.5005 INT)
Ridzwan Dzafir, Ridzwan Dzafir: From Pondok Boy to Singapore’s ‘Mr ASEAN’: An Autobiography (Singapore: Editions Didier Millet, 2009). (Call no. RSING 352.63092 RID)
Roksana Bibi Abdullaj, “Pengalihan Bahasa Di Kalangan Masyarakat Bawean Di Singapura: Sebab Dan Akibat,” in Bahasa: Memeluk Akar Menyuluh Ke Langit, ed. Paitoon M.Chaiyanara et al., (Singapore: Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Nasioanl, University Teknologi Nanyang, 2006), 285–303. (Call no. RSING 499.2809 BAH)
Sundusia Rosdi, “Bila Lima Generasi Family Bawean Bertemu,” Berita Minggu, 27 July 2003.
Syed Naguib al-Attas, The Origin of the Malay Sha’ir (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1968). (Call no. RSEA 899.2300911 ATT)
Walter Makepeace, Gilbert E. Brooke, Roland St. J. Braddell, eds., One Hundred Years of Singapore, vol. 1 (Singapore: Oxford University Press, 1991). (Call no. RSING 959.57 ONE-[HIS])
Zulfa Usman, Cerita Rakyat Dari Bawean (Jawa Timur) (Jakarta: Grasindo, 1982)
USM Lelaman Web
Endah Vision, “The Baweanes Corner, blog, 22 August 2010, endahvision.blogspot.com.
Nor-Afidah Abdul Rahman and Marsita Omar, The Baweanese (Boyanese), Singapore Infopedia, published October 2020.
Persatuan Bawean Singapura, https://opengovsg.com/corporate/S34SS0001G.
“Pondok Peranakan Gelam Club,” https://www.roots.gov.sg/en/places/places-landing/Places/historic-sites/pondok-peranakan-gelam-club.
NOTES
-
Kamus Dewan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005), 1557. (Call no. R 499.283 KAM) ↩
-
A. Teeuw, “The Malay Shair: Problems of Origin and Tradition,” Bijdragen tot de Taal – Land-en Volkenlunde 122, no. 4 (1966): 433. (From JSTOR via NLB’s eResources website) ↩
-
Hassan Ahmad, “Sha’er,” Dewan Bahasa 6, no. 2 (January 1962): 21. (Call no. RCLOS 499.23 DB) ↩
-
Amin Sweeney, ed., Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Jilid 2: Puisi Dan Ceretara (Jakarta: Kepustakaan Populer Gramedia, 2006), xiv. (Call no. RSING 959.5 KAR) ↩
-
Ahmad Haji Tahir, Shair Saudara Boyan (London: Reprographic Section, Reference Service Division, British Library, 1930), 50. (Call no. RCLOS 305.89928 AHM) ↩
-
Mansor bin Haji Fadzal, “My Baweanese People,” Intisari 2, no. 4 (1964–67): 11. (Call no. RCLOS 959.5005 INT) ↩
-
Jacob Vredenbregt, “Bawean Migrations,” Bijdragen tot de Taal – Land-en Volkenkunde, 120, no. 1 (1966): 110. (From JSTOR via NLB’s eResources website) ↩
-
Zulfa Usman, Cerita Rakyat Dari Bawean (Jawa Timur) (Jakarta: Grasindo, 1982), 3. ↩
-
Roksana Bibi Abdullah, “Pengalihan Bahasa Di Kalangan Masyarakat Bawean Di Singapura: Sebab Dan Akibat,” in Bahasa: Memeluk Akar Menyuluh Ke Langit, ed. Paitoon M.Chaiyanara et al., (Singapore: Jabatan Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Nasioanl, University Teknologi Nanyang, 2006), 287. (Call no. RSING 499.2809 BAH) ↩
-
Vredenbregt, “Bawean Migrations,” 128. ↩
-
“Boyanese,” in Singapore: The Encyclopedia, ed. Tommy Koh et al., (Singapore: Editions Didier Millet in association with the National Heritage Board, 2006), 70. (Call no. RSING 959.57003 SIN) ↩
-
Vredenbregt, “Bawean Migrations,” 128. ↩
-
“Boyanese,” 70. Di bawah “Citizenships Ordinance, 1957” kerakyatan Singapura dan Malaya diberikan kepada penduduk yang lahir di kedua-dua negeri ini pada tahun 1957. ↩
-
Vredenbregt, “Bawean Migrations,” 127. ↩
-
Abdullah Baginda, “Our Baweanese People,” Intisari 2, no. 4 (1964–67): 32. (Call no. RCLOS 959.5005 INT) ↩
-
Mansor bin Haji Fadzal, “My Baweanese People,” Intisari 2, no. 4 (1964–67): 12. (Call no. RCLOS 959.5005 INT) ↩
-
Roksana, “Pengalihan Bahasa Di Kalangan Masyarakat Bawean Di Singapura,” 291. ↩
-
Jacob Vredenbregt, Bawean Dan Islam, trans. A.B. Lapian (Jakarta: INIS, 1990), 99. (Call no. RSEA 305.89922 VRE) ↩
-
Fadzal, “My Baweanese People,” 2. ↩
-
Fadzal, “My Baweanese People,” 11. ↩
-
Vredenbregt, “Bawean Migrations,” 131. ↩
-
Baginda, “Our Baweanese People,” 47. ↩
-
Jacob Vredenbregt, Bawean Dan Islam, trans. A.B. Lapian (Jakarta: INIS, 1990), 106. (Call no. RSEA 305.89922 VRE) ↩
-
Baginda, “Our Baweanese People,” 51. ↩
-
“Boyanese,” 70. Kelab Pondok Peranakan Gelam merupakan symbol keharmonian masyarakat berbilang kaum di Singapura. Semasa rusuhan kaum yang dicetuskan oleh gurila-gurila Parti Komunis Malaya (Bintang Tiga) di Singapura pada tahun 1947, masyarakat Bawean di kawasan ini dilindungi oleh jiran-jiran Cina mereka di daerah in, “Pondok Peranakan Gelam Club,” https://www.roots.gov.sg/en/places/places-landing/Places/historic-sites/pondok-peranakan-gelam-club. ↩
-
Sejarah Persatuan Bawean Singapura. Retrieved 2024, April 17, from https://muziumpbs.blogspot.com/p/persatuan-bawean-singapura.html ↩
-
Nor-Afidah Abdul Rahman and Marsita Omar, The Baweanese (Boyanese), Singapore Infopedia, published October 2020. ↩