Sastera Melayu Singapura Pasca 1965
Librarian Juffri Bin Supa’at examines the growth and development of Singapore Malay Literature after 1965.
— Hadijah Rahmat, Sastera & Manusia Melayu, Kumpulan esei & wawancara, ms. 137
Singapura pernah menjadi pusat perkembangan sastera Melayu moden. Ini dapat dilakukan dengan begitu berkesan sekali kerana Singapura ketika itu juga berfungsi sebagai pusat penerbitan dengan terdapatnya alat-alat percetakan moden yang dibawa masuk dari barat. Secara tidak langsung, menjadi daya tarikan kepada bakat-bakat dari seluruh rantau ini yang bercita-cita untuk mengembangkan dan meluaskan peluang penulisan mereka.
Gelombang kesusasteraan Melayu ini menjadi begitu terkesan terutama dengan tertubuhnya Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS ’50) pada 6 Ogos 1950 yang dianggotai oleh para penulis muda ketika itu seperti Masuri S.N., Muhammad Ariff Ahmad, Keris Mas dan Asraf yang berperanan sebagai pemacu gerakan sastera di rantau ini ketika itu.
Akan tetapi, selepas tahun 1965, tahun Singapura berpisah dengan Malaysia dan menjadi sebuah negara merdeka, ramai orang beranggapan bahawa dunia kesusasteraan Melayu Singapura seakan-akan mengalami kelesuan. Anggapan ini dikukuhkan lagi apabila perpisahan ini mengakibatkan ramai penulis Melayu seperti Usman Awang dan Keris Mas yang “berhijrah ke Singapura kembali ke kampung halaman mereka masing-masing” dan “dengan sendirinya pusat perkembangan sastera Melayu berpindah dengan pulangnya para penulis Melayu yang berasal dari Tanah Melayu ke tanahairnya” (A. R. Kemalawati, 1984).
Meskipun ramai yang bertanggapan begitu, sastera Melayu di Singapura tetap berkembang. Walaupun perkembangan tersebut tidak serancak sebelum perpisahan tetapi “malangnya perkembangan kesusasteraan Melayu Singapura selepas peristiwa ini tidak banyak diketahui dan tidak banyak diperkatakan orang” (Mohd Latiff Mohd, 1982).
Masih terdapat karya-karya sastera yang masih terus dilahirkan walaupun menurut Masuri (1983), kebanyakan karya sastera Melayu di Singapura, terutama yang dihasilkan pada tahun 1965–1969 masih lagi terikat dan terkait dengan sastera Melayu di Malaysia. Hal ini berlaku kerana pada tahun-tahun awal perpisahan ini para penulis karya kreatif di Singapura “masih terus merasakan bahawa mereka adalah sebahagian dari masyarakat penulis di Malaysia” kerana penggunaan bahasa dan media yang sama. Oleh itu, kegiatan penulisan ini masih lagi diteruskan “secara sebadan dan senyawa dengan perkembangan sastera Melayu dalam erti yang seluas-luasnya”.
Selain pengaruh bahasa, budaya dan hubungan Singapura dan Malaysia yang masih terkait, kehadiran para penulis seperti Masuri, Harun Aminurashid (Har) dan Muhammad Ariff Ahmad (Mas) daripada generasi awal masih terus mempengaruhi lapangan kesusasteraan tanahair. Oleh itu, corak identiti sastera Singapura masih tidak banyak perbezaan. Antara karya sastera yang dihasilkan pada masa ini ialah drama Adam Kena Hujan oleh Mas, kumpulan puisi Bunga Pahit oleh Masuri S.N. dan novel Sultan Mahmud Shah Melaka dan Peristiwa Laksamana Cheng Ho ka-Melaka oleh Har.
Novel Mail Mau Kawin yang terbit pada tahun 1976 merupakan novel yang pertama ditulis oleh penulis Singapura selepas tahun 1965 dan mempunyai tema dan latar berkisar kehidupan moden di Singapura. Novel Mail Mau Kawin tulisan Mas telah menyentuh kehidupan generasi muda Singapura yang cuba mencari tempat dalam arus pesat perbandaran dalam mengejar impian mereka. Tema yang sedemikan mungkin sebagai cerminan keadaan pada tahun 70-an; tahun-tahun pembangunan bandar. Pada masa yang sama, masyarakat Melayu cuba menyesuaikan diri dengan keadaan hidup yang berbeza; perpindahan dari kampung ke rumah pangsa serta perubahan lanskap ekonomi Singapura ketika itu yang bergerak ke arah perindustrian.
Pada tahun-tahun 70-an juga muncul kumpulan penulispenulis muda seperti Mohamed Latiff Mohamed, Djamal Tukimin, Haron Abdul Majid, Noor Hidayat, Bahri Rajib dan Ajaki yang melahirkan karya-karya yang agak berbeza dengan penulis-penulis generasi sebelumnya.
Namun, karya-karya yang dihasilkan masih lagi berkisar kepada tema dan latar yang berkaitan dengan perpisahan dua negara tersebut. Hal ini mungkin berlaku disebabkan perpisahan yang agak mengejutkan itu. Banyak karya sama ada yang berbentuk cerpen atau puisi memaparkan kemiskinan dan ketegangan politik dalam tahun-tahun 60-an. Karyakarya yang mewarnai kehidupan masyarakat Melayu ketika itu hinggalah ke detik perpisahan seperti yang terdapat dalam antologi cerpen Dua Persimpangan.
Pada masa itu juga, kebanyakan penerbitan sastera tersiar di suratkhabar, surat berita persatuan-persatuan bahasa dan sastera selain dalam bentuk stensilan. Persatuan Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Singapura umpamanya telah menerbitkan Jejak Kembara yang “diketuai oleh Rasiah Halil dan Hadijah Rahmat” (Mana Sikana, 2003, ms. 24).
Sekumpulan penulis-penulis muda sudut penulis Perpustakaan Toa Payoh pula telah menerbitkan siri Gema Pustaka. Siri ini memuatkan tulisan ahli kumpulan tersebut menjadi wadah untuk mengasah “bakat ahli-ahli yang masih berada di tahap percubaan” (A Rahim Basri, 1985).
Pada akhir tahun-tahun 80-an dan 90-an, perkembangan yang menarik berlaku dengan kemunculan ramai penulis muda yang kebanyakannya dilahirkan selepas tahun 1965. Selain terlibat dengan kegiatan-kegiatan persuratan melalui pertubuhan yang sedia ada, tumbuh juga kumpulan-kumpulan seperti Kupuja (Kumpulan Pemuisi Remaja) yang juga merupakan anggota muda ASAS ’50 dan KAMUS (Kumpulan Angkatan Muda Sastera).
Pada tahun 1994, terbit beberapa buah novel yang dihasilkan daripada bengkel penulisan sastera remaja yang diadakan di Singapura pada November 1992 dan Februari 1993 anjuran Badan Kesenian Melayu Singapura, Mendaki dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Antaranya ialah Nazri Aswandi dan Rindu Emilia tulisan Mohd Rafi Abu Bakar dan Junaidah Mohd Sali. Tema novel-novel ini berkisar kehidupan remaja seperti konflik dalam persekolahan dan cinta yang berlatarkan kehidupan di kota Singa ketika itu.
Pada dekad ini juga beberapa orang penulis yang mula bergiat pada awal 80-an telah mula mengorak langkah dan memperlihatkan ketajaman mata pena mereka. Dua orang penulis daripada mereka ialah Isa Kamari dan Johar Buang. Isa Kamari membina tapak karya-karyanya bersandarkan sejarah yang mempunyai daya penceritaan tersendiri melalui novel-novelnya seperti Satu Bumi, Atas Nama Cinta dan Memeluk Gerhana. Johar Buang pula menjadi pengorak sastera berbentuk sufi melalui cerpen dan puisinya. Antara karya beliau termasuklah Kisah seorang zahid dan Perahu Melayu di lautan Khulzum.
Sayembara sastera yang sering dianjurkan pada dekaddekad kebelakangan ini juga merupakan satu dorongan untuk menggalakkan penghasilan karya seperti Sayembara Watan I & II serta Sayembara Novel Temasik. Novel-novel yang dihasilkan telah memaparkan berbagai isu masa kini yang menyentuh keadaan masyarakat, pendidikan dan ekonomi. Sayembara Novel Watan umpamanya telah menghasilkan lebih daripada 20 buah novel. Antara karyakarya yang ialah Kesal oleh Mohd Ikhlash Abdullah dan Kuman oleh Dehliez.
Kini, dengan pelbagai inisiatif untuk mengembangkan kesenian di Singapura, sudah tentu kita dapat menjangkakan hasil-hasil karya yang lebih menarik dan bermutu tinggi daripada para penulis kita pada masa hadapan. Mungkin juga terdapat ruang dan wadah untuk para penulis bereksperimen dan menggabungkan pelbagai media untuk melahirkan karya sastera yang lebih dinamik.
Yang pasti, kita dapat menjangkakan bahawa sastera Melayu di Singapura akan terus berkembang sebagaimana yang berlaku pada pasca 1965. Secara sedar atau tidak, kesinambungan ini telah membina laluan untuk mengembangkan jalur kesusasteraan Singapura. Meskipun berbeza, sastera Melayu Singapura tetap turut sama memberikan sumbangan bermakna dalam pembangunan sastera Melayu di nusantara disamping mencari peluang meneroka ruang-ruang persuratan di persada dunia.
Before 1965, Singapore was the centre of publishing in the region. This was due in part to the wealth of modern printing equipment it owned in advance of its neighbours, which attracted Malay authors from far and wide who sought to expand their publishing opportunities. In this way, Singapore played a key role in the development of modern Malay literature. After the separation of Singapore from Malaysia in 1965, many anticipated that Singapore Malay literature would face a bleak future, especially with the departure of many literary giants in the community – such as Usman Awang and Keris Mas – who decided to leave Singapore for their home country. Instead, Malay literature in Singapore continued to flourish despite the initial slow pace of development, and we can expect it to continue to grow. Although differing from other bodies of Malay literature in the region, Singapore Malay literature makes a significant and meaningful contribution to the development of Malay literature as a whole, while simultaneously exploring opportunities on the global stage.
Penulis menghargai usahasama Tajudin Jaffar, Setiausaha, Majlis Bahasa Melayu Singapura, yang mengulas makalah ini.
Librarian
Lee Kong Chian Reference Library
National Library
RUJUKAN
A.R. Kemalawati, “Singapura Main Peranan,” Straits Times, 29 March 1984, 4. (From NewspaperSG)
Dehliez, Kuman (Singapura: Pustaka Nasional, 2002). (Call no. RSING 899.283 DEH)
Hadijah Rahmat, Sastera Dan Manusia Melayu Baru. Kumpulan Esei & Wawancara (Persatuan Wartawan Melayu Singapura, 1998)
Harun Aminurrashid, Sultan Mahmud Shah Melaka (Singapura: Pustaka Melayu, 1967). (Call no. Malay RSEA 899.13 HAR)
Harun Aminurrashid, Peristiwa Laksamana Cheng Ho ka-Melaka (Singapura: Pustaka Melayu, 1969). (Call no. Malay RCLOS 899.2305 HAR)
Haron A. Rahman, “Muncul Generasi Penulis Berjiwa Ke Singapuraan,”Straits Times, 18 January 1983, 4. (From NewspaperSG)
Isa Kamari, Satu Bumi (Singapura: Pustaka Melayu Publisher, 1998). (Call no. Malay RSING 899.28 ISA)
Isa Kamari, Atas Nama Cinta (Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings, 2006). (Call no. Malay RSING 899.283 ISA)
Isa Kamari, Memeluk Gerhana (Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings, 2007). (Call no. Malay R 899.283 ISA)
Johar Buang, Kisah Seorang Zahid (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992). (Call no. Malay RSING 899.2305 JOH)
Junaidah Mohd Sali, Rindu Emilia (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994(. (Call no. Malay RSING S899.2305 JUN)
Majlis Pusat Pertubuhan-pertubuhan Budaya Melayu Singapura, Sedekad Hadiah Sastera 1973–83 (Singapura: Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura, 1983). (Call no. Malay RSING q899.2300625957 SED)
Mana Sikana, Sastera Singapura Dan Malaysia Di Era Pascamoden (Singapura: Persama Enterprise, 2003). (Call no. Malay RSING 899.288 MAN)
Mas, Adam Kena Hujan (Kuala Lumpur: Marican, 1966). (Call no. Malay RCLOS 899.232 MAS)
Mas, Mail Mau Kawin (Singapura: Pustaka Nasional, 1976). (Call no. Malay RSING S899.2305 MAS)
S.N. Masuri, Bunga Pahit: Kumpulan Kedua Dari Suara Dan Dichara, Sajak-Sajak ilihan 1957–60 (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1967). (Call no. Malay RCLOS 899.2305 MAS)
Mohd Ikhlash Abdullah, Kesal (Singapore: Pustaka Nasional, 2002). (Call no. Malay RSING 899.283 MOH)
Mohd Latiff Mohd and Gunawan Jasmin, Dua Persimpangan: Satu Antologi Cerpen (Singapura: Solo Enterprises, 1977). (Call no. Malay RSING S899.2305 MUH)
Mohd Latiff Mohd, “Dua Penulis Muda Selepas 1965,” Straits Times, 14 December 1982, 24. (From NewspaperSG)
Mohd Latiff Mohd, “Hasil Karya Sastera Melayu Lepas 1965,” Straits Times, 30 November 1982, 4. (From NewspaperSG)
Mohd Rafi Abu Bakar, Nazri Aswandi (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994). (Call no. Malay RSING S899.2305 MOH)
Singapore. Perpustakaan Negara. Cawangan Toa Payoh. Sudut Penulis, Gema Pustaka 5 (Singapura: Perpustakaan Negara Singapura, 1985). (Call no. Malay RSING qS899.23008105 GEM)