Di Balik Pintu: Seksualiti di dalam Sastera Melayu
Bilik 69 tulisan Ahmad Lutfi diterbitkan Qalam Publisher pada tahun 1949.
This article examines the treatment of sex and sexuality in Malay literature and how these subjects are represented in both traditional and modern literary texts. In traditional Malay society, as in most conservative societies, sex and anything related to it is generally avoided or at best spoken about in hushed tones. Through the decades, Malay writers from the sharply observant Ahmad Lutfi (Pelayan [1948] and Bilik 69 [1949]) to contemporary scribes such as Isa Kamari (Kiswah [2002]) have pushed the envelope and explored sex and sexuality in their works by employing literary devices such as symbolism and euphemism.
“Suami isteri ini macam pakaianlah. Suami pakaian isteri, isteri pakaian suami. Kalau pakaian tentulah yang cantik-cantik, berwarna dan dibuat dari benang yang halus dan baik. Pakaian juga mesti padan. Suami sebagai pakaian mestilah padan untuk isteri. Begitu juga isteri sebagai pakaian mestilah padan untuk suami. Kalau pakaian tak padan, macam mana nak pakai.”
–Tok Guru, hlm 72
(Kiri) Siapa Sangka tulisan Mas diterbitkan Geliga Limited pada tahun 1958. (Kanan) Kiswah tulisan Isa Kamari diterbitkan Pustaka Nasional pada tahun 2002.
Seks dan seksualiti jarang diperkatakan di dalam sastera Melayu sama ada dalam sastera tradisional ataupun sastera moden. Seksualiti sering menjadi tajuk yang agak terlarang atau tabu untuk ditulis apalagi dibincangkan atau dihidangkan kepada masyarakat umum. Oleh itu maka tidaklah menjadi satu kehairanan jika setiap sastera Melayu yang menampilkan hal-hal sedemikian akan ditanggap sebagai sesuatu yang sensasi atau mungkin dianggap sebagai karya-karya yang harus dibaca di tempat-tempat yang tertutup atau tersembunyi dari khalayak ramai. Seks dan seksualiti bukanlah perkara yang mudah ataupun selesa dibicarakan secara terbuka sejak sekian lama.
Namun seks dan seksualiti telah lama wujud dalam teks sastera Melayu. Artikel ini akan hanya menyentuh beberapa contoh-contoh yang terdapat dalam sastera-sastera Melayu seperti pantun, syair dan juga novel walaupun karya-karya ini tidak banyak dibincangkan.
Pantun merupakan sastera rakyat yang telah digunakan dengan agak luas di dalam masyarakat Melayu. Ia juga mengandungi falsafah hidup masyarakat Melayu serta merupakan salah satu wadah yang penting dalam meluahkan dan menyampaikan hasrat serta manifestasi pemikiran mereka. Oleh itu bertepatanlah pandangan Omardin, (1960), bahawa sekiranya “bahasa itu jiwa bangsa”, maka pantun adalah salah satu daripada urat sarafnya. Antaranya pantun-pantun yang menyentuh tentang hal seksualiti ini ialah seperti berikut:
“Di mana kuang bertelur?
Di atas lata, di ruang batu
Di mana abang nak tidur?
Di atas dada, di ruang susu!
Sakit kaki ditikam jeruju
Jeruju ada di dalam paya
Sakit hati memandang susu
Susu ada di dalam kebaya.”
Pantun Melayu
A. W. Hamilton
Di dalam pantun-pantun sedemikian, pengucapan tentang seks masih lagi beralas dan diselaputi dengan kata-kata yang tersusun rapi.
Syair Seratus Siti (2004), merupakan satu lagi teks tradisional, yang memaparkan tentang hal seksualiti kepada khalayak. Syair Seratus Siti merupakan karya klasik yang mengisahkan Sultan Mansur yang menjadi khalifah di Baghdad. Baginda telah memerintahkan supaya dibina sebuah istana yang dilengkapi seratus bilik. Perintah raja ini menjadi tanda tanya para pembesar dan rakyat baginda. Namun persoalan itu terjawab apabila baginda meminta dicarikan seratus orang gadis candik untuk menghuni bilik-bilik di istana itu sebagai gundik baginda.
Di dalam teks Syair Seratus Siti ini, kita dapat melihat pemaparan seksualiti dalam sastera dalam penyampaian yang halus. Hal-hal seksualiti telah disampaikan melalui syair ini sebagai pemaparan tingkah laku Sultan. Elemen-elemen seksualiti ini dimasukkan oleh penulis sebagai menambahkan keindahan karya dan juga berfungsi untuk memberitahu khalayak tentang tindak tanduk Sultan dalam memenuhi keinginannya.
Menurut Rahimah Hamdan (2015), di dalam Hikayat Syair Seratus Siti ini, kita akan dapat melihat seksualiti dimanifestasikan wanita dalam bentuk berikut:
Wanita sebagai Isteri
“Duduklah ia berdiam diri
Menahan hari sehari-hari
Sehingga kuru dengan diri
Madu dipandang kanan dan kiri.”
Isteri yang taat dan bertanggungjawab
“Kepada dayang puteri bersabda
Panggil seratus Siti yang muda
Ajak bermain ke taman syahda
Memenggal bunga-bungaan mana yang ada.”
Wanita sebagai Gundik
“Tiga bulan berkasih-kasihan
Dengan puteri bersuka-sukaan
Datanglah masa beroleh kedukaan
Kepada gundiknya baginda nan haiwan.
Siti seratus dibawa bersama
Dibawa baginda bercengkerama
Terlebih pada laku yang lama
Barang ke mana bersama-sama.”
Pada akhir tahun-tahun 40an dan awal 50an pula, muncul novel-novel alternatif yang bertemakan, cinta kasih sayang yang menjadi bahan-bahan bacaan popular terutama di kalangan anak-anak muda. Unsur-unsur seks dan erotik menjadi sebahagian elemen yang disulami di dalam novel-novel ini. Antaranya ialah novel Pelayan (1948) dan Bilik 69 (1949) karya Ahmad Lutfi, Tidaklah Saya Datang Kemari (1957), karya Iskandar Muda, Siapa Sangka (1958) dan Di Rumah Ibu Ayam (1958) karya Mahadi.
Sebahagian karya-karya sastera dan kritikan yang menyorot tentang Seks dan Seksualiti.
Novel-novel ini memaparkan realisme sosial ketika itu yang agak berantakan terutama selepas melalui zaman-zaman perang dan pendudukan Jepun. Di dalam menjalani kesempitan hidup itu tentulah terselit kisah-kisah wanita yang terpaksa memperdagangkan diri dan menjadi pelayan untuk menampung hidup. Muhammad Haji Salleh (2008) memberi contoh Ahmad Lutfi misalnya, walaupun dianggap sebagai penulis yang serius yang menyampaikan mesej moral tetapi beliau lebih terkenal sebagai penulis novel-novel “seks” kerana novel-novelnya yang popular banyak yang berkisar dengan kisah-kisah sedemikian.
Di dalam pembicaraan tentang seksualiti, maka penulis Ayu Utami tidak dapat tidak, harus diketengahkan. Saman, novel yang pernah memenangi Sayembara penulisan pada tahun 1998 oleh Ayu Utami mengundang pelbagai tengkarah kerana pemaparan isu tersebut dalam karyanya itu. Walaupun ia mengundang kontroversil, tetapi menurut Muhamad Salihin (2000) “novel ini adalah sebuah cerita tentang seks, cinta, politik dan agama serta perasaan, sebebas-bebasnya.” Ia dianggap karya intelektual yang menyentuh emosi.
Walaupun penceritaan tentang seks di dalam novel ini ditulis secara terang-terangan, ia dianggap sebagai “prosa yang menyegarkan” dan mendapat komen yang agak memberangsangkan daripada Sapardi Djoko Damono yang menganggapkan karya yang agak luar biasa dan penampilan yang baru seperti yang ditukil berikut:
“Dasyat… mempamerkan teknik komposisi yang sepanjang pengetahuan saya – belum pernah dicuba pengarang lain di Indonesia.”
Tetapi ada juga pengkritik yang berpandangan bahawa Ayu Utami telah berani menulis tentang hal-hal yang terselindung di balik kelambu dan tentang “trauma pada seksualitasnya hingga ke bawah sedar yang agak ekstrim” pada pandangan umum. Selain daripada menulis novel Saman yang kontroversil ini, ada yang menganggap tulisan Ayu Utami lebih condong ke arah kebebasan seks.
Novel-novel Shahnon Ahmad juga banyak memaparkan elemen-elemen seksualiti seperti novel Tok Guru. Novel ini mengenengahkan tentang hubungan seks dan seksualiti melalui hubungan poligami dan bagaimana ia boleh disalahgunakan atau disalahtafsirkan dan diselewengkan. Melalui novel Tok Guru ini, mempunyai isteri yang lebih daripada satu merupakan lambang “kealiman” dan “ketaatan” kepada agama. Dan isteri yang “taat” dan “alim” seperti Mami, isteri Tok Guru rela dirinya dimadu dengan mencarikan isteri buat suaminya. Seorang isteri juga dianggap sebagai ladang, oleh itu,
“Dia mesti subur. Tanahnya tanah baik, bukan tanah gersang kering kontang. Kalau tanah tak baik, Nana nak tanam benih macam mana. Benih saja baik, tapi tak tumbuh kerana tanah tak baik.” (hlm 39)
Menurui Ooi Eng Lye (2005), dalam mesej yang menyentuh tentang soal poligami ini, novel Tok Guru “bukan sahaja menyelongkar perasaan wanita yang dimadukan, tetapi juga perasaan wanita yang telah menjadi madu kerana kedua-dua golongan tersebut telah dijadikan mangsa kepada penyalahgunaan poligami.
Menurut Ahmad J Hussein, (sebagaimana yang dibicarakan oleh Ooi, 2005),
“…Tok Guru lebih jelas sindiran Shahnon kepada ulama yang bertopengkan ilmu, jubah, serban serta tasbih untuk memuaskan nafsu. Hal tersebut dapat diperhatikan dengan jelas di mana tuk guru dalam Tok Guru telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan fahamannya mengenai seks. Cumbi dan Mami mewakili kaum wanita yang menjadi “pak turut” saja dalam masyarakat kita, yang inginkan balasan syurga daripada Allah apabila mati kelak, tetapi sebenarnya mereka adalah mangsa kegelojohan tuk guru dan orang-orang seperti Mamak yang tidak pernah puas terhadap kenikmatan seks.” (hlm 178)
Perbincangan tentang seksualiti dalam sastera Melayu masih lagi ditaburi dengan metafora dan eufemisme. Kiswah (2002) karya Isa Kamari boleh dikatakan satu percubaan yang berani untuk meneroka alam seksualiti. Tetapi Noridah (2006), bertanggapan bahawa “walaupun novel ini padat dengan adegan-adengan hangat, babak-babak tersebut disampaikan dengan cukup puitis dan sopan”.
Sebagai contoh, di dalam Kiswah, malam pertama Nazreen dan Iryadi telah dipaparkan dengan citra yang berseni. Adegan ranjang diisi dan disulami dengan penggunaan perkataan-perkataan yang mencetuskan suasana imaginasi yang mengesankan, umpamanya,
“Malam itu sebuah syikara menyusur keajaiban tasik yang gelap dan penuh rahsia. Semerbak teratai dan kembang epal menyusup ke dalam kamar dan memabukkan sepasang jiwa. Permukaan tasik yang tenang menyembunyikan gemuruh arus yang bersimpul di dasar kewujudan. Kehangatan kamar memuncakkan nikmat. Purnama meneteskan airmata apabila permukaan tasik yang suci diguris duri-duri teratai yang direntap angin malam.” (hlm 28)
Menurut Anuar (2002), “Seks, seperti yang ingin digembar-gemburkan oleh setengah pihak lewat novel ini, sebenarnya adalah bersih dan suci.”
Oleh itu, pemaparan seksualiti dalam sastera Melayu harus disampaikan dengan ungkapan kata-kata yang “bersastera” dan indah juga. Tidak perlu digunakan kata-kata yang dianggap kesat dan lucah kerana ia akan melunturkan keindahan karya sastera itu.
Babak erotika yang mengisi karya-karya masyarakat Melayu yang tidak dapat diadun dengan cermat dan penuh keprihatinan masih tetap menjadi semacam tabu dan terlarang dan ini akan meremehkan nilai seni karya tersebut. Setiap karya yang baik harus tetap diisi dengan pemikiran dan bukan sekadar memenuhi ruang keinginan pembaca yang tidak bermakna. Batas-batas garisan yang memisahkan keindahan dan kelucahan sesebuah karya agak tipis dan mudah bagi para penulis terbabas masuk ke lurahnya. Kalau ia dapat diadun dengan baik dan padu ia dapat menjadi rencah atau bumbu yang menarik.
Menurut Mohd Zariat Abdul Rani (2011), sesuatu,
“cerita khususnya manifestasi dan babak seks yang menjadi bumbu cerita itu dimantapkan lagi dengan manipulasi unsur ketegangan. Sebahagian besar novel memanfaatkan keupayaan unsur ini untuk mencetus, menarik serta mengekalkan minat terhadap cerita melalui cara garapannya yang berdikit-dikit. Analisis mendapati bahawa dengan cara ini, novel mengejapkan lagi paksi cerita tentang kejahatan seks serta melihara focus tersebut dalam keseluruhan cerita. Ini jelas apabila pendedahan yang berdikit-dikit itu dapat menimbulkan suspen melalui kemungkinan-kemungkinan seks, dan ini sekaligus meningkatkan intensiti cerita sepanjang perjalanan ke kemuncak, apabila babak-babak seks itu diserlahkan sepenuhnya.” (hlm 479)
Elemen-elemen seks dan seksualiti dalam sastera harus dinilai dengan teliti. Seksualiti dalam sastera bukanlah sesuatu asing. Yang menjadi perbezaan adalah cara ia disampaikan atau dipaparkan dalam sesuatu karya itu. Ia tidak seharusnya dihidangkan kepada khalayak semata-mata untuk memikat pembaca dan mengautkan keuntungan sahaja. Sastera tetap mempunyai peranan untuk membina tamadun dan penulis bertanggungjawab untuk tidak menyalahgunakannya.
Juffri Bin Supa’at is a Senior Librarian with the National Library of Singapore. He has curated several exhibitions featuring the works of Malay literary pioneers such as Masuri S. N., Muhammad Ariff Ahmad and Abdul Ghani Hamid. Juffri has also compiled poetry selections by Muhammad Ariff Ahmad and Suratman Markasan, and has put together bibliographies on Singapore Malay literature and its pioneer writers.
RUJUKAN
Ahmad Lutfi. (1948). Pelayan. Singapura: Qalam Publisher. (No. panggilan: RCLOS 899.283 AHM)
Ahmad Lutfi. (1949). Bilik 69. Singapura: Qalam Publisher. (No. panggilan: RCLOS 899.283 AHM)
Anuar Othman. (2002, Oktober 5). Sensasi Kiswah bukan pada seks. Berita Harian, hlm 19. Diambil dari NewspaperSG.
Ayu Utami. (2001). Saman. Jakarta: Kepustakaan Popular Gramedia. (No. panggilan: R 899.2213 UTA)
Ayu Utami. (2004). Si parasit lajang: Seks, sketsa & cerita. Jakarta: GagasMedia. (No. panggilan.: R 959.8 UTA)
Hamilton, A.W. (1951). Malay pantuns = Pantun mělayu. Australian Publishing Co Pty Ltd. (No. panggilan.: RCLOS 899.281 HAM)
Isa Kamari. (2002). Kiswah. Singapura: Pustaka Nasional. (No. panggilan: RSING 899.283 ISA)
Iskandar Muda. (1957). Tidaklah saya datang kemari. Singapura: Geliga Limited. (No. panggilan.: RCLOS 899.2305 ISK)
Junaini Kasdan (penyelenggara). (2004). Syair seratus Siti. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (No. panggilan.: R 899.28109 SYA)
Mas. (1958). Siapa sangka. Singapura: Geliga Limited. (No. panggilan.: RCLOS 899.283 MAS)
Mahadi. (1958). Di rumah Ibu ayam. Singapura: Geliga Limited. (No. panggilan.: RCLOS 899.2305 MAH)
Mohd Zariat Abdul Rani. (2011). Seksualiti dalam Novel Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia. (No. panggilan.: R 899.283)
MOH Muhammad Haji Salleh. (2008). An introduction to modern Malaysian literature. Kuala Lumpur: ITBM. (No. panggilan.: RSEA 820.99595 MUH)
Muhamad Salihin Sulaiman. (2000, Jun 17). Karya berani tapi kontroversil. Berita Harian, hlm 18. Diambil dari NewspaperSG.
Noridah Kamari (2006, Mei 4). Kiswah garap seksualiti secara puitis, bersopan. Berita Harian, hlm 14. Diambil dari NewspaperSG.
Ooi, E.L. (2005). Novel terpilih Shahnon Ahmad: Satu kajian pendekatan gender. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (No. panggilan.: R 899.2809 OOI)
Rahimah Hamdan. (2015, March). The king who loves sex: The functions of literature in traditional Malay poetry. International Journal of Social Science and Humanity, 5 (3), 291–298.
Shasel. (1995, September 24). Saster bina manusia: Bahan Binaan perlu murni. Berita Harian, hlm 10. Diambil dari NewspaperSG.