Sumbangan Cendekiawan Peranakan Arab Persuratan Melayu: 1900 an Hingga 1960 an
Senior Librarian Sundusia Rosdi explores the contributions of several Arab immigrants in the literary fields of Malay journalism, publishing and printing from the 1900s to the 1960s.
Dari Hadhramaut dan Mekah ke Nusantara
Sebahagian besar pendatang-pendatang Arab ke rantau ini berasal dari Hadhramaut, Yemen atau Mekah, Saudi Arabia. Mereka telah dahulu merantau ke kepulauan Indonesia sebelum ke Singapura. Antara yang terawal tiba dari Palembang, Sumatra ialah dua orang pedagang kaya; Syed Mohamed bin Harun Aljunied dan anak saudaranya, Syed Omar bin Ali Aljunied.1 Kedua-duanya kemudian menjadi peniaga-peniaga terkemuka dan dihormati masyarakat tempatan dan pemerintah Inggeris. Sir Stamford Raffles sendiri, yang tiba di Singapura pada 1819, telah menggalak pendatang Arab yang mahir berdagang untuk meneruskan kegiatan mereka di Singapura.
Di samping ahli keluarga suku Aljunied, suku-suku lain seperti Syed Mohammed Alkaff, Syed Abdul Rahman Alsagoff dan Syed Massim Aljufrie turut menyumbang di bidang ekonomi Singapura dengan menguasai khidmat urusan “Syaikh atau Broker Haji” dan dagangan runcit kain batik termasuk mengimpot barangan Arab Saudi, selain dari di sektor perkapalan, hartanah serta pinjam-meminjam wang yang menjadikan mereka hartawan-hartawan terkenal. Status perniagaan masyarakat Arab Singapura terserlah dengan terlantiknya ahli keluarga Aljunied menganggotai Dewan Perniagaan (ditubuhkan pada 1837) yang selama ini dikuasai oleh golongan berbangsa Eropah.2
Masyarakat Arab yang mewah mampu menghantar anakanak mereka belajar di luar negara terutama ke Mekah atau ke Yemen, sedang ulama-ulama dari negara Arab dibawa ke sini untuk mengajar di madrasah-madrasah di serata Malaya.3 Golongan pelajar yang pulang dari luar negara inilah yang kemudiannya memegang jawatan penting di jabatan pemerintah selain menjadi guru-guru agama.
Penerbitan Sebagai Pemangkin Kesedaran Masyarakat Melayu
Sumbangan masyarakat Arab pada kemajuan ekonomi Singapura amnya dan pada masyarakat Melayu khususnya adalah sangat ketara. Dari aspek mengongsi dan mengagihkan (wakaf) harta, golongan ini bersifat dermawan dengan menaungi banyak pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan membiayai pembinaan masjidmasjid, sekolah-sekolah serta lain-lain kemudahan awam untuk masyarakat Melayu/Islam setempat.
Menjelang abad ke 20, ramai orang-orang Arab telah dapat bergaul dengan masyarakat Melayu dan mereka telah menerima serta menganggap Malaya sebagai negara mereka seperti yang diakui oleh Syeikh Mohd. Salim AlKalali dalam akhbar AlImam, 23 Julai 1906 :4 “sudah minum kami akan air susunya dan telah tumbuh daripadanya daging darah kami dan telah terbit daripadanya nikmat perhatian kesenangan kami. Tidakkah jadi terhutang kami kepada negerinya dan anak-anaknya?”5
Hakikat ini menyebabkan, golongan cendekiawan Arab merasa bertanggung jawab untuk membangunkan masyarakat Melayu yang dikatakan mundur berbanding masyarakat lain. Mereka melihat keperluan menyediakan satu media untuk penyebaran idea reformasi dan sebagai wadah bagi tuntutantuntutan kepada pemerintah British. Justeru bertujuan untuk membimbing dan memberi petunjuk kepada orang Melayu, Syed Sheikh al-Hadi bersama-sama beberapa cendekiawan Arab dan reformis Melayu telah mengasaskan akhbar Al-Imam (1906–1908) sebagai medan untuk melaungkan aspirasi masyarakat Melayu.
Terbitnya akhbar pertama reformis Melayu ini merupakan titik-tolak peranan penting cendekiawan Arab dalam evolusi penyebaran penulisan berkaitan reformasi berpengaruh Islam. Ia diserapi dan dialirkan di kalangan orang-orang celik-huruf Melayu yang mula peka tentang persuratan dan ehwal Melayu. Al-Imam turut melahirkan kekesalan pada kedudukan bahasa Melayu yang digunakan ramai orang Islam tetapi masih tidak mempunyai buku tentang sejarah Islam sebagai panduan dan teladan atau rujukan.6
Meskipun Al-Imam dianggap membosankan kerana bersifat terlalu didaktik membincang kepincangan masyarakat, namun ia telah berjaya mencetus satu fenomena sastera dan kewartawanan dengan penglahiran bibit-bibit daya fikir yang serius tentang isu kemunduran bangsa beserta huraiannya.
Syed Sheikh Ahmad al-Hadi (1867–1934)
Lahir di Melaka pada 22 November 1867, keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Beliau pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir yang banyak mempengaruhinya dengan idea-idea tokoh reformis Mesir, Muhammad Abduh (1849–1905).
Selain menjadi penyunting terawal akhbar Al-Imam, Syed Sheikh al-Hadi turut menerajui penerbitan akhbar, Al-Ikhwan (1926–1931) yang membicarakan isu Islam, emansipasi wanita serta pendidikan anak-anak. Beliau menubuhkan syarikat percetakannya sendiri Jelutong Press di Pulau Pinang (1927–1932). Akhbar lain terbitannya; Saudara (1928–1941) menjurus kepada berita dan komen umum agama. Syed Sheikh al-Hadi juga pernah menjadi pembimbing pada wartawanwartawan muda seperti Abdul Rahim Kajai dan Ahmad bin Mohamed Rashid Talu. Roff (1993) berpendapat bahawa dalam bidang penulisan sumbangan Syed al-Hadi menerusi akhbar ini telah berupaya membawa pusat reformasi pemikiran, persuratan dan kesusasteraan Melayu dari Singapura beralih ke Pulau Pinang disekitar 1920–an.7
Walaupun novel pertamanya, Hikayat Faridah Hanum (Hikayat Setia Asyik kepada Maashok-nya) (1926) merupakan karya saduran dari novel Mesir, Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) (1941) menganggapnya sebagai perintis Melayu bagi genre novel “Syed Syeikh’s tales at least point the way for new tales to be written on similar lines or even on more native lines. He was the first Malay writer in the Peninsula to introduce novel, and in consequence the rising generating are taking up story writing, while generally avoiding his Arabisms”.8 Pengkritik sastera, Yahaya Ismail “hanya menerima Hikayat Faridah Hanum sebagai karya yang menjadi pembuka jalan ke arah penciptaan novel Melayu yang asli, iaitu tidak lagi dalam bentuk saduran ataupun terjemahan”.9
Pembaca Melayu memberi sambutan hebat kepada novel ini kerana berasa terkesan dengan tema baru yang segar lagi kreatif serta menyimpang dari isu terdahulu tentang agama dan sastera klasik. Maka bermulalah satu tahap penting dalam perkembangan sastera Melayu moden kerana aspek perwatakan yang berlatarbelakangkan kehidupan sebenar masyarakat Islam Mesir. Kepopularan novel ini telah memberangsangkan penulisnya, lantas lahirlah karya-karya lainnya seperti Hikayat Chinta Berahi (1928) serta siri Mata-Mata Gelap Rokambol.
Sebagai seorang ulama’, beliau juga menulis buku-buku agama termasuk “Al Tarikh al-Islami” (1922), Tafsir Juz Amma (1927) juga beberapa karya terjemahan seperti; Tafsir al-Fatihah (1928). Beliau yang prihatin terhadap pendidikan keIslaman anak-anak telah mendirikan Madrasah al-Ikbal al-Islamiyyah di Singapura (1908) yang merintis penubuhan Madrasah al-Mashoor di Pulau Pinang (1916) dan madrasah-madrasah lain di serata Malaya.
Wajarlah nama Syed Syeikh al-Hadi, yang meninggal dunia pada 20 Februari 1934 dipahat dalam sejarah persuratan Melayu kerana sumbangannya sebagai yang diiktiraf Roff (1993), “Though in the course of his long and varied career, he (al-Hadi) became a Shariah lawyer, educator, merchant and publisher, it was in journalism and literature that he excelled and for which he is best remembered today. His role in the formation of al-Imam’s policy has perhaps been over-estimated, owing largely to his later reputation as a writer, but there is no question that many of the most vigorous and outspoken articles in its column came from his pen.”10
Syed Alwi al-Hadi (1893– 1970)
Anak Syed Sheikh Ahmad al-Hadi ini adalah seorang wartawan serta penyunting akhbar-akhbar Saudara (1930, 1934–1935), Warta Malaya (1933) dan Lembaga Malaya (1936–1941). Beliau lahir di Melaka pada tahun 1893 serta mendapat pendidikan Melayu di Riau and Sekolah Kampong Gelam di Singapura dan kemudian melanjutkan pelajarannya di sekolah Inggeris, Victoria Bridge School sebelum menyambung pelajarannya di Beirut dan Syria.
Beliau bukan seorang reformis tetapi meneruskan ideologi ayahandanya. Sebagai penyunting akhbar Saudara, pembaca diberi peluang menulis di ruangan “Halaman Sahabat Pena” nya untuk bertukar fikiran sambil menambah pengetahuan.
Akhbar Saudara telah menubuhkan kumpulan Sahabat Pena (7 April 1934) dan kemudian menjadi persatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) (11 November 1934) yang bertindak meniup semangat kesedaran dan cinta bahasa dan sastera yang menyumbang dalam meningkatkan kadar literasi di kalangan masyarakat Melayu ketika itu.11 Ahli-ahlinya digalak membaca, menulis serta berkongsi membaca akhbar Saudara dengan sesiapa yang tidak mampu membelinya. Melalui aktiviti ini, penggunaan bahasa Melayu menjadi semakin meluas di seluruh Malaya sebagaimana yang dihasratkan oleh ayahandanya Syed Sheikh al-Hadi di ruangan Sahabat Pena nya untuk “membantu bangsa Melayu melalui bahasa dan kebudayaan ke arah yakin diri dan menjadi ahli masyarakat Melayu-Muslim yang moden”.12
Ahmat Adam (1994) merumuskan bahawa “Syed Alwi alHadi memandangnya [Sahabat Pena] sebagai sebuah badan yang dapat menggembeling dan menolong orang Melayu melalui bahasa dan kebudayaan untuk menjadi masyarakat yang lebih berkeyakinan diri, tabah dan maju”.13 Kamal Shukri (2003) pula berpendapat “kesedaran dari penubuhan Sahabat Pena dan PASPAM telah memangkinkan tertubuhnya banyak lagi persatuan persuratan lain seperti Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS ’50) dan Lembaga Bahasa Melayu Singapura yang bertujuan untuk meningkatkan mutu penulisan dan memperkembangkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di kalangan masyarakat setempat”.14
Sebagai pencinta bahasa dan budaya Melayu, Syed Alwi al-Hadi turut menghasilkan beberapa buku termasuk Adat Resam dan ‘Adat Istiadat Melayu (1960) (buku pertama diterbitkan mengenai adat istiadat masyarakat Melayu) serta Panduan Meshuarat (1956) dan Panduan Berucap (1963).
Syed Hussein Ali Alsagoff (1903–1976)
Era 1920-an menyaksikan kesinambungan peranan penting yang diterajui oleh golongan cendekiawan Arab dalam bidang penerbitan dan persuratan Melayu. Mengimbau pencapaian mereka di Singapura ketika itu, Turnbull (2009) mengulas “during the 1930s Singapore’s Malay-language press was controlled by the Arab community. The Alsagoff family launched the Warta Malaya, which was published daily from 1930 to 1941 and initially edited by Onn bin Jaafar. In 1934, Onn with Arab financial backing founded and edited Lembaga Malaya, which was published in Singapore until 1937, after which it moved to Johor Bahru”.15 Roff (2009) menganggarkan antara tahun 1925 hingga 1939 sebanyak 16 akhbar Melayu telah dipimpin oleh golongan Arab.16
Nama Syed Hussain Ali Alsagoff, penguasa Anglo-Asiatic Press (1930) dan Warta Malaya Press Limited (1934) yang juga pengasas harian Warta Malaya tidak harus dipinggirkan bila memperkatakan tentang akhbar Melayu. Beliau lahir di Mekah pada Oktober 1903 dan berhijrah ke Singapura ketika berumur tujuh tahun. Pendidikan Arab, Melayu dan Inggeris dari Madrasah Alsagoff dan Raffles Institution, Singapura melayakkan beliau memegang jawatan-jawatan penting sebagai ketua pengarang akhbar-akhbar terbitan syarikatnya; Warta Malaya (1938–1941), Warta Ahad (1935) dan Warta Jenaka (1936).
Warta Malaya (Januari 1930 hingga 1941) yang memperjuangkan pengembalian kekuasaan politik Melayu telah menyokong tuntutan agar Melayu diberi tempat dalam kerusi pemerintahan. Menurut Samat Buang (1993) “orang Melayu melihat kelahiran akhbar ini sebagai satu detik baru dalam kegiatan akhbar Melayu kerana ia merupakan akhbar pertama yang bebas daripada pengaruh kerajaan penjajah Inggeris”.17
Persaingan antara akhbar dan majalah begitu hebat ketika itu dan penggunaan bahasa kewartawanan menjadi urusan persendirian. Masing-masing membentuk kata istilah dan ungkapan baru untuk memodenkan bahasa Melayu menerusi penerbitan mereka. Kepelbagaian bahasa ini telah mengelirukan pembaca dan atas inisiatif akhbar Warta Malaya, beberapa wartawan terkemuka antaranya Za’ba, telah membentuk senarai daftar istilah sebagai usaha penyelarasan kerja-kerja penterjemahan kekata asing ke bahasa Melayu. Disinilah timbulnya istilah “kapal perang penjelajah” bagi destroyer, “tetuang udara” bagi radio, “kereta kebal” bagi tank dan lain-lain lagi.18
Hubungan sesama wartawan Melayu pula diteruskan dengan Warta Malaya mempengerusikan satu pertemuan pertama di Singapura dalam pertengahan tahun 1938. Sungguhpun kongres ini tidak berjaya melahirkan sebuah persatuan wartawan, ia telah memberi peluang dan ruang bagi wartawan-wartawan Malaya untuk bertemu serta bertukar-tukar fikiran.19
Sementara itu syarikat penerbitan Syed Hussain Ali Alsagoff, Warta Malaya Limited Press turut menerbitkan hasil-hasil tulisan terjemahan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu ataupun sebaliknya dan mengambil upah menjilid kitab-kitab agama disamping menerbitkan akhbar-akhbar.20
Pendudukan tentera Jepun telah menamatkan penerbitan Warta Malaya. Syed Hussain Ali Alsagoff kemudiannya berkhidmat bersama Qalam Press Limited (1953) sebelum terlibat dalam penerbitan akhbar Melayu Semenanjung (1958) dan majalah Lembaga Islam terbitan S.I.O. Alsagoff. Pengalamannya yang luas, menjadikannya seperti seorang “mentor” kepada wartawanwartawan muda kerana “hasil bimbingan dan tunjuk ajar beliau melalui penerbitan-penerbitan tadi, berjaya melahirkan ramai wartawan Melayu terkemuka kemudiannya. Kebanyakan pula yang memegang berbagai jawatan penting dalam perkembangan bahasa dan persuratan Melayu dan jabatan-jabatan pemerintah”.21
Sebagai menghargai sumbangan Syed Hussein Ali Alsagoff terhadap persuratan Melayu, Sultan Johor ketika itu, Mejar-General Sir Ibrahim telah menganugerahkan keanggotaan Persatuan Persuratan Melayu Diraja Johor.22 Syed Hussein Ali Alsagoff yang dikenali dengan gelaran “Cik gu” meninggal dunia di Mekah pada tahun 1976.
Syed Abdullah bin Abdul Hamid al-Edrus (Ahmad Lutfi) (1911–1969)
Syed Abdullah bin Abdul Hamid al-Edrus atau Ahmad Lutfi yang lahir 11 Julai 1911 di Banjarmasin, Indonesia ialah pemilik syarikat percetakan Qalam Press Limited sebuah syarikat percetakan paling produktif menerbitkan pelbagai genre persuratan Melayu pada akhir tahun 1940-an. Ahmad Lutfi terdorong untuk ke Singapura yang merupakan pusat suratkhabar, komunikasi dan intelektual Melayu waktu itu. Dia bermula sebagai pelatih pengatur huruf dan semasa menjadi penyunting di akhbar Warta Malaya, beliau mendalami teknik penulisan dan penerbitan melalui bimbingan wartawanwartawan veteran seperti Abdul Rahim Kajai, Dato’ Onn Jaafar Syed Alwi al-Hadi dan Ishak Haji Muhammad.
Peka dengan isu semasa, Ahmad Lutfi menggarap kepincangan masyarakat melalui karyanya yang menggunakan beberapa nama pena seperti “al-Edrus” dan “Cemeti al-Farouk”. Beliau dikatakan pengarang novel yang prolifik dengan menghasilkan 24 buah novel di antara tahun 1948 hingga 1951.23
Ahmad Lutfi dianggap pengarang dan penerbit yang pintar kerana menggunakan isu-isu kontemporari dalam karyanya seperti yang berjudul Malayan Union (1946) ditulis sewaktu isu Malayan Union hangat diperkatakan. Dalam pemilihan tema, beliau menepati cita rasa pembaca dengan menggunakan judul-judul sensasi yang berjaya melariskan penjualan.
Novel-novel erotik karyanya yang beberapa kali diulang cetak hanya dalam jangka masa yang singkat telah menjadi sasaran pengkritik misalnya Geylang Serai Karam (1949) dan Pelayan (1949) yang berlatarkan kejadian sebenar masyarakat tempatan.
Namun dalam karya-karyanya, Ahmad Lutfi turut menyelitkan unsur-unsur agama dalam gaya bersyarah dan komen khusus mengkritik watak-wataknya yang telah melanggar batas-batas kesusilaan dan budaya Timur, dengan maksud agar akhlak pembacanya dapat diperbaiki. Kendatipun demikian pada tahun 1949, dua novelnya; Janda (1949) dan Empat Kali Haram (1949) telah diharamkan oleh Mufti Johor, Syed Alwi bin Tahir al-Hadad kerana tema yang dipertikaikan.24
Terdapat novel-novel dengan tema patriotik dan umum yang dihasilkan seperti Bangkai Bernyawa (1949) dan dua buku bimbingan menulis; Surat Menyurat Jawi (1958) dan Surat Menyurat Rumi (1960).
Shahrom Hussein (1963) pula berpandangan “Ahmad Lutfi ialah pengarang, pengurus dan tuan punya syarikat akhbar dan terjumlah sebagai seorang daripada wartawan, pengarang, pengkritik dan ahli kebudayaan Islam yang terkenal dan pujangga kita yang tidak kurang khidmat baktinya terhadap aliran perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu di akhir kurun ke dua puluh ini”.25
Ahmad Lutfi juga mengasaskan majalah bulanan, Qalam (1950–1968) yang menggunakan aksara Jawi. Kandungannya mencakup berbagai tema agama, budaya, sastera serta politik dan penggunaan tulisan Jawi menjadi berkembang di kalangan pembaca Melayu. Penerbitan lain termasuklah akhbar Warta Masyarakat (1954), akhbar Warta (1953 –1955) dan majalah Kanak-Kanak (1953) yang agak pendek umur penerbitannya di masa itu.
Majalah hiburannya Aneka Warna (1954–1959) juga mendapat sambutan. Menurut Kartini Saparudin (2009) “due to its popularity, Aneka Warna managed to save Qalam Press from financial troubles. These financial troubles were incurred due to a political disagreement with Tengku Abdul Rahman. The editor, al-Edrus or known by him pen name Ahmad Lutfi reacted critically to the Tengku burning copies of Warta Masyarakat and Qalam in Johor Bahru (both his productions) by writing an angry piece in a December 1953 issue. He had to close his newspapers as a result Aneka Warna saved Qalam Press”.26
Ahmad Lutfi melalui nama samarannya; “Cemeti al-Farouk” lantang mengkritik atau menyindir isu-isu sosial masyarakat Melayu Islam. Beliau mengupas kepincangan masyarakat serta memerangi pengamal fahaman khurafat melalui majalah Qalam. Sebagai pendakwah dan menggunakan nama al-Edrus, buku-buku agamanya: Cerita-Cerita Sejarah (1958) dan Sejarah Ringkas Nabi Muhammad (1959) diterbitkan tetapi tidak pula mendapat sambutan.
Karya-karya Ahmad Lutfi juga dinilai Taib Samat (2002) sebagai “kelihatan Ahmad Lutfi meneruskan usaha Syed Syeikh al-Hadi dalam menerbitkan novelnovel saduran yang bernada romantik. Novel-novel seperti ini mudah mendapat pasaran. Ada persamaan antara perjuangan Ahmad Lutfi dengan Syed Syeikh al-Hadi. Tidak dapat ditolak kemungkinan bahawa Ahmad Lutfi menjadikan Syed Syeikh Al-Hadi sebagai model dalam perjuangannya dalam dunia kesusasteraan Melayu khususnya bidang novel”.27 Ahmad Lutfi meninggal dunia pada 20 Oktober 1969 dan Qalam Press Limited terpaksa ditutup.
Syed Omar Abdul Rahman Alsagoff (1932–1991)
Seorang lagi cendekiawan yang bergiat dalam persuratan Melayu selepas Perang Dunia Kedua ialah Syed Omar bin Abdul Rahman Alsagoff. Lahir di Singapura pada 8 Oktober 1932 dan terdidik di Madrasah Aljunied serta Sekolah Monk’s Hill dan Victoria School, Singapura.
Pada awalnya, beliau menceburi bidang politik dan pernah dilantik sebagai Naib Presiden Parti Liberal Sosial, minatnya beralih ke bidang sastera setelah kalah dalam Pillihan Raya Konsul Bandaran tahun 1957. Syed Muhd. Khairudin (2009) mencatatkan; “Umar was, however more known for his contribution to literary efforts. His own house at Number 16 Nassim Road, Singapore became an established meeting place for literary activist and organisations in the 1950s and 1960s. Amongst these organisations were Persatuan Penerbit-Penerbit Melayu (Association of Malay Publishers), ASAS 50 and the Majlis Pelajaran Melayu (Malay Education Council, also known as the MEC).”28
Di era 1950-an, menyaksikan masyarakat Melayu Singapura begitu aktifdalam aktiviti persuratan dan budaya di samping agama dan politik. Ini menjadikan Singapura sebagai pusat kegiatan sastera yang juga menjana karya kreatif Malaya seperti tertubuhnya berbagai persatuan-persatuan persuratan. Melalui persatuan-persatuan beginilah Syed Omar menyumbangkan harta, masa dan tenaganya dan selaku seorang cendekiawan yang berkedudukan dalam Dewan Perniagaan Melayu serta dikuatkan lagi oleh jaringan ramai kenalan, beliau sering menjadi Bendahari dalam beberapa persatuan persuratan dan kerap membiayai aktiviti–aktiviti mereka.
Lanjutan daripada minatnya terhadap bahasa dan budaya Melayu, beliau telah menubuhkan syarikat percetakan; Geliga Press (1956) yang menerbitkan buku-buku teks, majalah, komik serta novel tulisan kebanyakan penulis Singapura seperti Buyong Adil, Mahmud Ahmad dan anggota-anggota ASAS ‘50 termasuk Hamzah Hussein, Abdullah Hussein dan Masuri S.N. Geliga Press dianggap syarikat besar di Singapura yang terkenal dalam dunia sastera Melayu-Indonesia di era itu.
Majalah hiburan terbitan Geliga Press ternyata sangat popular di kalangan masyarakat Melayu seperti yang dijelaskan Kartini Saparudin (2009); “The more popular men’s magazines in the 1950s were ‘Aneka Warna’, ‘Asmara’, ‘Album Asmara’ and ‘Album Bintang’. Syed Omar Alsagof published ‘Album Asmara’ on behalf of Geliga Publication Bureau (at 430 Orchard Road). This was a yearly edition for ‘Asmara’. ‘Album Asmara’ saw its inaugural print in 1955 and its final print in 1959.”29
Dermawan yang juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan ini telah kembali ke rahmatullah pada 9 Mei 1991.
Rumusan
Selepas Perang Dunia Kedua, generasi muda dari golongan asal Arab dapat menerima Malaya sebagai negara mereka, akibatnya penghayatan terhadap budaya asal Arab semakin meluntur di kalangan mereka . Sebilangan besarnya menganggap diri mereka sebagai kaum Melayu dan lebih selesa berbahasa Melayu serta mengamalkan gaya hidup seharian Melayu. Lebih istimewa bila masyarakat Melayu mempercayai dan menghormati mereka sebagai pemimpin kerana kemurahan hati dan kebijaksanaan golongan peranakan Arab ini.
Sumbangan mereka dalam menjana sifat berfikir, peningkatan intelek serta pemikiran kritikal orang Melayu telah meningkatkan tahap literasi dan kebangkitan semangat sosiopolitik masyarakat Melayu tempatan.
Justeru selama lebih enam dekad, golongan cendekiawan Arab telah mewarnai lanskap persuratan Melayu dengan mempelopori dan menerajui ehwal penerbitan, penulisan serta pembacaan masyarakat Melayu. Selain menyediakan wadah suara orang Melayu, ruang liputan berita dan rekod dokumen ehwal orang Melayu, peranan mereka mendedahkan pemikiran baru serta mengenalkan gaya penulisan moden khususnya, tidak sekali-kali dapat dipertikaikan dan sejarah telah membuktikannya.
Sememangnya masyarakat Melayu Malaya umumnya, amat berhutang budi atas jasa golongan pedagang dan cendekiawan peranakan Arab ini.
Contributions of Arab Intellectuals to Malay Literature
This article discusses the great contributions of several Arab immigrants in the literary fields of Malay journalism, publishing and printing from the 1900s to the 1960s. Arabs first came to Singapore in 1819 and had since been playing a prominent role in various trades. Owing to their economic status and educational accomplishments, they were able to start their own printing companies to publish newspapers, magazines, religious books and novels, which helped develop the Malay language and literature in Malaya. The roles played by five prominent Arab personalities – Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Syed Alwi al-Hadi, Syed Hussein Ali Alsagoff, Syed Abdullah bin Abdul Hamid al-Edrus (Ahmad Lutfi) and Syed Omar Alsagoff – in spurring intellectual thinking of the Malays were significant. Likewise, their efforts in encouraging the reading interest among the Malays through their writings and publications are commendable.
Senior Librarian
Professional Services
National Library
REFERENCES
A.M. Iskandar Ahmad, Persuratkhabaran Melayu, 1876–1968 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980). (Call no. Malay RCLOS 079.595 AMI)
Abdullah bin Haji Jaafar, “Al-Imam,” in Lembaran Akhbar Melayu, ed. Khoo Kay Kim dan Jazamuddin Baharuddin (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1980), 7–32. (Call no. Malay RSING 070.9595 LEM)
Abdullah bin Haji Jaafar, “Al-Imam,” in Sejarah Masyarakat Melayu Moden, ed. Khoo Kay Kim (Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Universiti Malaya, 1985), 85–103. (Call no. Malay R 959.5 SEJ
Abu Bakar Hamzah, Al-Imam, Its Role in a Malay Society, 1906–1908 (Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1991)
Ahmad Saleh, “Peranan Surat Khabar Dalam Perkembangan Sastera Melayu,” Dewan Bahasa (April 1962), 164–69. (Call no. Malay RSEA 499.23 DB)
Ahmat Adam, Isu Bahasa Dan Pembentukan Bangsa (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994). (Call no. Malay RSEA 499.23 AHM)
Aktivis Melayu/Islam di Singapura, Diselenggarakan oleh Sulaiman Jeem dan Abdul Ghani Hamid (Singapura: Persatuan Wartawan Singapura, 1997). (Call no. Malay RSING 305.89928 AKT)
Alijah Gordon, ed., The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady: With Selections of His Writings by His Son Syed Alwi Al-Hady (Kuala Lumpur: Malaysian Sociological Research Institute, 1999). (Call no. RSEA 291.61 REA)
Ameen Ali Talib, “Hadramis in Singapore,” published November 1995, https://al-bab.com/hadramis-singapore
C.M. Turnbull, A History of Singapore, 1819–1975 (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1977). (Call no. RDLKL 959.57 TUR)
C.M. Turnbull, A History of Modern Singapore, 1819–2005 (Singapore: National University of Singapore Press, 2009). (Call no. RSING 959.57 TUR)
Hafiz Zakariya, “Sayyid Shaykh Ahmad Al-Hadi’s Contributions to Islamic Reformism in Malaya,” in Transcending Borders: Arabs, Politics, Trade and Islam in Southeast Asia, ed. Huub de Jonge and Nico Kaptein (Leiden: KITLV Press, 2002), 203–23. (Call no. RSING 305.8927059 TRA)
I. Proudfoot, Early Malay Printed Books: A Provisional Account of Materials Published in the Singapore-Malaysia Area Up to 1920 (Kuala Lumpur: Academy of Malay Studies and the Library, University of Malaya, 1992). (Call no. RSING 015.5957 PRO)
Ismail Hussein, Pengarang-Pengarang Melayu Di-Singapura Selepas Perang (Singapura: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1959). (Call no. Malay RSING 899.1092 ISM)
Ismail Hussein, “Singapura Sa-Bagai Pusat Kesusasteraan Melayu Sa-Lepas Perang,” Dewan Bahasa (November 1959), 539–52. (Call no. Malay RSEA 499.23 DB)
Kamal Shukri Abdullah Sani, “Syed Syeikh Al-Hadi: Peranannya Dalam Perkembangan Bahasa Melayu (Era Kolonial 1867–1934),” in Syed Syeikh Al-Hadi: Cendekia Dan Sasterawan Ulung, ed. Suhaimi Aziz (Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2003). (Call no. Malay R 899.28092 SYE)
Kartini Saparudin, “Malay Women’s and Men’s Magazines of the 1950’s in Singapore and Malaya,” BiblioAsia 4, no. 4 (January 2009), 25–30.
Khoo Kay Kim, Elinah Abdullah and Wan Meng Hao, Malays/Muslims in Singapore: Selected Readings in History, 1819–1965 (Subang Jaya: Pelandok Publication, 2006). (Call no. RSING 305.899205957 MAL)
Li Chuan Siu, Ikhtisar Sejarah Kesusasteraan Melayu Baru, 1830–1945 (Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1972). (Call no. Malay RSING 899.23008104 LI)
Lim Lu Sia, “The Arabs of Singapore: A Sociographic Study of Their Place in the Muslim and Malay World of Singapore” (Bachelor’s thesis, National University of Singapore, 1987)
Maimunah Tahir, Modern Malay Literary Culture: A Historical Perspective (Singapore: ISEAS, 1987). (Call no. RSING M899.24009305 MAI)
“Men of Property: The Enterprising Alsagoffs of Singapore,” in Singapore Days of Old (Hong Kong: Illustrated Magazine Pub., 1992), 56–57. (Call no. RSING 959.57 SIN)
Mohamed Saleeh Rohamad, Pencerekaan Dalam Novel Sejarah (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2005). (Call no. Malay R 899.28309 MOH)
Nik Ahmad Nik Hassan, “The Malay Press,” Journal of the Malaysian Branch Royal Asiatic Society 36, no. 1 (201) (May 1963): 37–61. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
P. Trekker, “The Arab Pioneers of Singapore,” Beam (November 1995), 10–11.
“Philanthrophic Calls: The Pioneering Aljunieds,” in Singapore Days of Old (Hong Kong: Illustrated Magazine Pub., 1992), 54–55. (Call no. RSING 959.57 SIN)
Samat Buang, “Perkembangan Akhbar Dan Majalah (1901–1925),” Pelita Bahasa, 5, no. 5 (1993), 38–41. (Call no. Malay RCLOS 499.23005 PB)
Sejarah Kesusasteraan Melayu. Diselenggarakan oleh Safian Hussain, Mohd. Thani Ahmad, Johan Jaaffar (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006). (Call no. R 899.230009 SEJ)
Shahrom Hussain, Antara Pengarang-Pengarang Novel Melayu Dan Karyanya (Singapura: Pustaka Melayu, 1963). (Call no. Malay RCLOS 899.23009303 SHA)
Sohaimi Abdul Aziz, Syed Syeikh alHadi: Cendekia Dan Sasterawan Ulung (Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2003). (Call no. Malay R 899.28092 SYE)
Syed Alwi bin Sheikh Al-Hadi, Adat Resam Melayu Dan Adat Istiadat (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1960). (Call no. Malay RCLOS 390.09595) HAD
Syed Muhd. Khairudin Aljunied, “The Role of Hadramis in Post-Second World War Singapore – A Reinterpretation,” Immigrants & Minorities 25, no. 2 (2007), 163–83.
Syed Muhd. Khairudin Aljunied, “Hadhramis Within Malay Activism: The Role of Al-Saqqaf(s) in Post-War Singapore (1945–1965),” in Hadhrami Diaspora in Southeast Asia: Identity Maintenance or Assimilation? ed. Ahmed Ibrahim Abushouk and Hassan Ahmed Ibrahim (Leiden: Brill, 2009), 225–43. (Call no. RSEA 305.89275335 HAD)
Talib Samat, Ahmad Lutfi: Penulis, Penerbit Dan Pendakwah (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002). (Call no. Malay R 899.28092 TAL)
Ulrike Freitag, “Arab Merchants in Singapore: Attempt of a Collective Biography,” in in Transcending Borders: Arabs, Politics, Trade and Islam in Southeast Asia, ed. Huub de Jonge and Nico Kaptein (Leiden: KITLV Press, 2002), 109–41. (Call no. RSING 305.8927059 TRA)
Walter Makepeace, Gilbert E. Brooke, Roland St. J. Braddell, eds., One Hundred Years of Singapore, vols. 1 and 2 (London: John Murray, 1921). (Call no. RCLOS 959.51 MAK)
William, R. Roff, “The Malayo Muslim World of Singapore at the Close of the Nineteenth Century,” Journal of Asian Studies, 24, no. 1 (November 1964): 75–90. (From JSTOR via NLB’s eResources website)
William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu (Pulau Pinang: Saudara Sinaran Berhad, 1967). (Call no. Malay RCLOS 079.595 ROF)
William R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, 2nd ed. (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1994). (Call no. RSING 320.54 ROF)
William R. Roff, “Murder as an Aid to Social History: The Arabs in Singapore in the Early Twentieth Century,” in Transcending Borders: Arabs, Politics, Trade and Islam in Southeast Asia, ed. Huub de Jonge and Nico Kaptein (Leiden: KITLV Press, 2002), 91–108. (Call no. RSING 305.8927059 TRA)
William R. Roff, “In and Outs of Hadhrami Journalism in Malaya, 1900–1941: Assimilation or Identity Maintenance?” in Hadhrami Diaspora in Southeast Asia: Identity Maintenance or Assimilation? ed. Ahmed Ibrahim Abushouk and Hassan Ahmed Ibrahim (Leiden: Brill, 2009), 191–204. (Call no. RSEA 305.89275335 HAD)
Yahaya Ismail, “Syed Sheikh Al-Hadi: Pembuka Zaman Baru Dalam Bidang Novel,” Dewan Bahasa, 18 (November 1974), 549–76. (Call no. Malay RSEA 499.23 DB)
Zainal Abidin Ahmad, “Modern Development of Malay Literature,” Journal of the Malayan Branch of the Royal Society, 19, no. 2 (October 1941): 244–50. (From JSTOR via NLB’s eResources website); Also published in: Abdullah Hussain, Pendeta Za’ba Dalam Kenangan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), 242–70. (Call no. Malay R 499.2800924 ABD)
Zulkipli bin Mahmud, Warta Malaya, Penyambung Lidah Bangsa Melayu, 1930–1941 (Bangi: Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1979). (Call no. Malay R 079.595 ZUL)
NOTES
-
C.M. Turnbull, A History of Modern Singapore, 1819–2005 (Singapore: National University of Singapore Press, 2009), 34. (Call no. RSING 959.57 TUR) ↩
-
Lim Lu Sia, “The Arabs of Singapore: A Sociographic Study of Their Place in the Muslim and Malay World of Singapore” (Bachelor’s thesis, National University of Singapore, 1987), 23. ↩
-
William, R. Roff, “The Malayo Muslim World of Singapore at the Close of the Nineteenth Century,” Journal of Asian Studies 24, no. 1 (November 1964): 75–90. (From JSTOR via NLB’s eResources website) ↩
-
Abdullah bin Haji Jaafar, “Al-Imam,” in Sejarah Masyarakat Melayu Moden, ed. Khoo Kay Kim (Kuala Lumpur: Jabatan Penerbitan Universiti Malaya, 1985), 86. (Call no. Malay R 959.5 SEJ) ↩
-
Sheikh (Syed) Mohd. Salim al-Kalali merupakan teman seperjuangan Syed Sheikh Ahmad al Hadi dan Sheikh Tahir Jalaludin yang menganjurkan dan mendokong penerbitan alImam. Mereka digelar “Kaum Muda” dan bergiat menyebarkan fahaman baru tentang Islam. Al-Imam diterbitkan dalam tulisan Jawi sebanyak 31 keluaran dari 23 Julai 1906 hingga bulan Disember 1908 di Singapura. Menurut Proudfoot (1992), al-Imam pernah dicetak sebanyak 5,000 naskah iaini jumlah pencapaian percetakan tertinggi oleh akhbar Melayu sebelum Perang Dunia ke Dua. ↩
-
Abdullah bin Haji Jaafar, “Al-Imam,” in Lembaran Akhbar Melayu, ed. Khoo Kay Kim dan Jazamuddin Baharuddin (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1980), 12. (Call no. Malay RSING 070.9595 LEM) ↩
-
William R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, 2nd ed. (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1994), 82. (Call no. RSING 320.54 ROF) ↩
-
Zainal Abidin Ahmad, “Modern Development of Malay Literature,” in Abdullah Hussain, Pendeta Za’ba Dalam Kenangan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000), 262. (Call no. Malay R 499.2800924 ABD) ↩
-
Sejarah Kesusasteraan Melayu. Diselenggarakan oleh Safian Hussain, Mohd. Thani Ahmad, Johan Jaaffar (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006), 138. (Call no. R 899.230009 SEJ) ↩
-
Roff, Origins of Malay Nationalism, 63. ↩
-
Li Chuan Siu, Ikhtisar Sejarah Kesusasteraan Melayu Baru, 1830–1945 (Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1972), 80. (Call no. Malay RSING 899.23008104 LI) ↩
-
Kamal, “Syed Syeikh Al-Hadi, 150. ↩
-
Adam, Isu Bahasa Dan Pembentukan Bangsa, 53. ↩
-
Kamal Shukri Abdullah Sani, “Syed Syeikh Al-Hadi: Peranannya Dalam Perkembangan Bahasa Melayu (Era Kolonial 1867–1934),” in Syed Syeikh Al-Hadi: Cendekia Dan Sasterawan Ulung, ed. Suhaimi Aziz (Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2003), 148. (Call no. Malay R 899.28092 SYE) ↩
-
Turnbull, History of Modern Singapore, 154. ↩
-
William R. Roff, “In and Outs of Hadhrami Journalism in Malaya, 1900–1941: Assimilation or Identity Maintenance?” in Hadhrami Diaspora in Southeast Asia: Identity Maintenance or Assimilation? ed. Ahmed Ibrahim Abushouk and Hassan Ahmed Ibrahim (Leiden: Brill, 2009), 197. (Call no. RSEA 305.89275335 HAD) ↩
-
Samat Buang, “Perkembangan Akhbar Dan Majalah (1901–1925),” Pelita Bahasa, 5, no. 5 (1993), 43. (Call no. Malay RCLOS 499.23005 PB) ↩
-
Li, Ikhtisar Sejarah Kesusasteraan Melayu Baru, 101. ↩
-
Li, Ikhtisar Sejarah Kesusasteraan Melayu Baru, 101. ↩
-
Zulkipli bin Mahmud, Warta Malaya, Penyambung Lidah Bangsa Melayu, 1930–1941 (Bangi: Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1979), 4. (Call no. Malay R 079.595 ZUL) ↩
-
Aktivis Melayu/Islam di Singapura, Diselenggarakan oleh Sulaiman Jeem dan Abdul Ghani Hamid (Singapura: Persatuan Wartawan Singapura, 1997), 404. (Call no. Malay RSING 305.89928 AKT) ↩
-
Aktivis Melayu, 406. ↩
-
Ismail Hussein, “Singapura Sa-Bagai Pusat Kesusasteraan Melayu Sa-Lepas Perang,” Dewan Bahasa (November 1959), 547. (Call no. Malay RSEA 499.23 DB) ↩
-
Talib Samat, Ahmad Lutfi: Penulis, Penerbit Dan Pendakwah (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002), 13. (Call no. Malay R 899.28092 TAL) ↩
-
Shahrom Hussain, Antara Pengarang-Pengarang Novel Melayu Dan Karyanya (Singapura: Pustaka Melayu, 1963), 271. (Call no. Malay RCLOS 899.23009303 SHA) ↩
-
Kartini Saparudin, “Malay Women’s and Men’s Magazines of the 1950’s in Singapore and Malaya,” BiblioAsia 4, no. 4 (January 2009), 29. ↩
-
Samat, Ahmad Lutfi, 6–7. ↩
-
Syed Muhd. Khairudin Aljunied, “Hadhramis Within Malay Activism: The Role of Al-Saqqaf(s) in Post-War Singapore (1945–1965),” in Hadhrami Diaspora in Southeast Asia: Identity Maintenance or Assimilation? ed. Ahmed Ibrahim Abushouk and Hassan Ahmed Ibrahim (Leiden: Brill, 2009), 240. (Call no. RSEA 305.89275335 HAD) ↩
-
Saparudin, “Malay Women’s and Men’s Magazines,” 29. ↩