Travelog Melayu
Travelogues, particularly those from yesteryear, serve as important reference documents that capture a slice of history and culture. These writings serve as sources of information about different places, cultures and communities as encountered by writers at different points in time. This article focuses on some of the most popular Malay-language travelogues available in the National Library collection and highlights several well-known accounts from the 19th century to more recent times.
(Clockwise from top left) Melawat Negara Tetangga, Meninau Ka-Negara Sham, Melawat KB-Paris, Chatetan Ka-Tanah Suchi and Kunjongan Ka-Indonesia 1954 were all written by Harun Aminurrashid.
“Bahwa ini peringatan sahaya berlayar dari negeri Singapura dalam kapal Syeikh ‘Abdul Karim yang bernama Subla’s-salam, yaitu kepada tarikh sanat 1270 tahun, kepada 29 hari bulan Jamadilawal, yaitu kepada tarikh Masehi 1854, yaitu setuju kepada sehari bulan Cina tahun baharu.
Maka dengan tolong Allah dua hari ketiga sampailah ke laut Melaka, tetapi tiada singgah. Maka berlayarlah juga dengan angin utara. Maka diberi Allah tiga hari keempatnya sampailah ke Pulau Pinang, itupun tiadalah juga singgah, lalu juga berlayar. Maka kepada hari Ahad tujuh hari bulan, pada malam pukul sembilan turunlah angin utara kencang terlalu; maka ombak dan gelombang terlalu besar. Maka kapal sebesar itu menjadi seperti kulit sabut di tengah laut, dihempaskan gelombang itu timbul tenggelam. Maka segala peti2 dan barang2 di kapal, yang di kiri datang ke kanan dan yang di kanan ke kiri, sehingga sampailah pada pagi. Maka ada pukul sebelas redahlah angin itu. Maka dilayarkanlah juga, maka sampailah kira2 pukul empat petang bertentangan Pulau Perak. Adapun pulau itu tiadalah sehelai rumput atau pohon2 melainkan batu sahaja bertimbun putih kelihatan dari jauh rupanya seperti perak. Maka sebab itulah dinamakan orang Pulau Perak.”
Amin Sweeney
Kisah pelayaran Abdullah bin Abdul Kadir
Munsyi dari Singapura sampai ke Mekah.
Travelog atau kisah pengembaraan mempunyai peranan yang tersendiri dalam memperkenalkan sesuatu negeri atau tempat asing yang dilawati penulis kepada yang lain. La juga boleh menjadi dokumen penting dalam memberikan maklumat tentang budaya dan persekitaran masyarakat yang dikunjungi. Seperti genre-genre sastera yang lain, travelog Melayu juga mempunyai sumbangan yang tersendiri dalam membantu kita memahami falsafah kehidupan masyarakat Melayu. Oleh itu catatan tentang kehidupan masyarakat yang dilawati, diamati atau dilalui di dalam travelog menjadi rakaman sejarah sosial budaya masyarakat itu sebagai bahan rujukan. Melalui bukunya, Chatetan Ka Tanah Suchi (1960). Harun Aminurrashid mengatakan,
“Segala apa yang dilihat, didengar dan dirasai, kalau dicatit dengan jujur dan betul, ayat adalah menjadi catitan sejarah yang amat penting, untuk pengetahuan orang-orang yang akan dating. Catitan yang betul akan terus hidup untuk selama-lamanya.”
Travelog Melayu telah mula dihasilkan seawal abad ke-19. Antara yang masyhur ialah kisah-kisah pelayaran Abdullah, yang merupakan catatan kembara Abdullah Munsyi di Semenanjung Tanah Melayu seperti Kelantan. Selain dari itu terdapat juga travelog-travelog Harun Aminurrashid seperti “Chatetan Menjelajah ka-Eropah”, “Melawat ka-paris”, “Menggembara ka-Andalusia”, “Meninjau ka-Negara Sham”, “Melawat Negara Tetangga” dan “Kunjongan ka-Indonesia”.
Berdasarkan kepada teks-teks yang ada antara tempat-tempat pengembaraan yang sering dilawati dan ditulis dalam bahasa Melayu sejak abad ke-19 hingga kini banyak meliputi kembara ke negeri-negeri sekitar Nusantara seperti Indonesia, Kelantan dan Terengganu. Bagi catatan pengembaraan sebegini selain dari yang ditulis oleh penulis Melayu, terdapat juga yang ditulis oleh pegawai-pegawai Kolonial yang mencerminkan tanggapan dan pandangan mereka terhadap masyarakat peribumi beserta keadaan alam sekeliling yang mereka lawati.
Terdapat catatan kembara yang menarik ditulis dalam bentuk puisi syair, contohnya “Syair Peri Tuan Raffles Pergi ke Minangkabau” yang telah ditulis pada tahun 1818 (Raimy Che-Ross, 2003). Permulaan syair ini memberikan pembaca pengenalan tentang siapa Tuan Raffles yang pergi ke Padang dengan diiringi isterinya yakni “Madamnya yang arif buniman”. Selain itu bait-bait awal ini juga menyentuh beberapa usahanya untuk merubah dan membuat raformasi sosial seperti membasmi perjudian dan sabung ayam di “Bangkahulu”.
Bismillah itu permulaan baca
Alhamdulillah puji yang nyata
Berkat Muhammad Penghulu kita
Hatiku terbuka di dalam dada
Inilah karangan suatu kisah
Mengatur nazam syair yang indah
Dari kerana berhati susah
Kepada Tuan besar disandarkan madah
Inilah asalnya telah tersurat
Pekerjaan Tuan Besar dijadikan Hikayat
Di negeri Bangkahulu dibaikinya adat
Sabung dan dadu dia-nya hemat
Sedikit lama perantaraan
Tuan Besar itu hendak berjalan
Serta Madamnya yang arif budiman
Ke negeri Padang dia-nya kerjaan
Hatta dengan Takdirullah
Pekerjaannya itu dikehendak Allah
Akalnya baik tangannya murah
Madamnya majlis rupanya indah
Belayarlah Tuan Besar dari Bangkahulu
Dengan kapal namanya perahu
Serta Madamnya yang baik laku
Ke negeri Padang dia-nya rindu
Tuan Besar berjalan meriam berbunyi
Di Pulau Tikus kapal menanti
Kelasi berdayung tidak berhenti
Tiba di kapal di kasi ordi.
Selain itu, terdapat juga catatan perjalanan yang seumpamanya, “Syair Perjalanan Sultan Lingga dan Yang Dipertuan Muda Riau Pergi ke Singapura dan Peri Keindahan Istana Sultan Johor Yang Amat Elok”, yang dikarang oleh Hamba Allah yang aat [sic] fakir yaitu Khalid Hitam bin Raja Hasan al-Haji Riau dan tercetak di Mathaba’at al-Riauwiyah Pulau Penyengat pada tahun 1311 Hijrah atau 1891 Masihi.
Sebagaimana tajuknya, syair ini menceritakan tentang perjalanan Sultan Lingga ke Singapura seperti digambarkan dalam bait-bait berikut:
Syahdan manakala bertemu sempurna
ketiga kapal tiadalah landa
beriringan di lautan sana
tiada didatangi suatu bencana
Hingga sampai pukul empat
Singapura telah didapat
berlabuhlah kapal Sultan bersifat
di laut Teluk Belanga tempat
Waf Borneo konon namanya
di situ beratur kapat ketiganya
kerana di situ mudah atasnya
menaikkan segalanya perempuan ahlinya
Kira-kira hampir pukul lima
Engku Khalid turun bersama
Tungku Said muda seksama
melewati kedatangan Sultan Kusuma
Amtener beberapa pula
pegawai Johor kepala
mengiringkan kedua Tengku terala
pakaian berhias sedikit tak cela
Kemudian dihadirkan ketika itu
lima betas kereta bukan suatu
beraturlah ia menanti di situ
berangkatlah Sultan usul yang tentu
Bersama ayahnda bunda
diringkan mereka mana yang ada
laki perempuan tua dan muda
jalan berlomba kereta kuda
Yang dipertuan raja yang bakti
jalan berlomba kereta kuda
segala pengiringnya sama menuruti
beristirahat di sana bersenang hati
Sultan Lingga yang maha mulia
di rumah Wan Sharif tempatnya sedia
beserta sekalian pengiring dia
bersamalah tudia di situ saja
Melainkan Raja Muhammad hakimnya
tinggal di kapal kerajaannya
Raja Zainal saudara sepupunya
di kampung Gelam konon tempatnya
(hlm 10-11)
Benua Eropah juga antara tempat menarik yang menjadi bahan catatan sebilangan travelog Melayu. Antara ciri yang menarik perhatian para penulis catatan-catatan di benua Eropah ialah tentang alam sekitarannya terutama sekali keindahan atau kelainan cuaca empat musim serta ketenangan di kawasan-kawasan pergunungan dan luar kota. Keadaan geografi yang berbeza mungkin telah memberi inspirasi kepada mereka untuk melestarikannya di dalam tulisan. Tidak keterlaluan rasanya apabila catatan-catatan ini menunjukkan sedikit kekaguman terhadap amalan menjaga alam sekitar di sana. Ini adalah antara kesan-kesan lawatan sepertl yang tertinta di dalam buku “Menggembara ka-Andalusia” (1964) oleh Harun Aminurrashid.
“Pertengahan perjalanan hendak ka-Cordoba itu kita akan menempoh kawasan yang bergunung-gunung, yang ada berbatu, tetapi hampir semua kawasan itu menjadi ladang pokok zaitun. Saya tiada melihat hutan langsung, kalau hendak dikatakan hutan ialah hutan pokok zaitun iaitu ladang zaitun yang sangat elok aturan susunan tanamannya. Mengikut keterangan orang Sepanyol sendiri, ladang zaitun itu telah beratus-ratus tahun lamanya, dan dikatakan ada yang dapat hidup lebih daripada seribu tahun. Saya lihat lading-ladang zaitun itu, mana-mana yang pokoknya telah rosak atau mati ditanam semula dengan pokok baru. Dengan sebab itu ladang zaitun itu sentiasa penuh.”
(Harun Aminurrashid, Mengembara ka-Andalusia, hlm 144-145)
Hal yang sama tentang keindahan dan ketenangan tempat yang dilawati terutama di kawasan luar bandar terdapat di dalam travelog “Warkah Eropah” (1991) tulisan A. Samad Said dan “Kembara Sastera” (2012) nukilan Nisah Haron. Melalui pengalaman dan pengamatan mereka, pembaca dapat turut sama merasakan sesuatu yang cantik dan damai yang dikongsi penulis seperti berikut,
“Pemandangan di Manchester nampaknya banyak juga yang tenang dan indah. Ada bahagian yang menyamai pemandangan rural di Perancis – barangkali sedikit kurang berwarna-warni. Landscape di Perancis, rasanya, lebih banyak yang direncana; landscape di Manchester barangkali banyak yang menjadi sendiri. Curna kambing biri-biri kelihatan lebih sering di sini – terkadang-kadang nampak seperti gumpalan kapas yang berselerak di atas hamparan permaidani hijau. Beberapa buah kampung atau pekan yang saya lalui nampaknya agak moden – tidak terasa atau tertihat iklim atau suasana medieval – kuno – seperti desa-desa di Perancis. Ini hanya mata seorang tourist.”
(Warkah Eropah, A Samad Said hlm 139).
“Sampai di pinggir tasik ini saya sungguh terpegun dan terasa seperti mahu menangis melihat keindahan tempat ini. Sesungguhnya, apabila kita menjaga alam, Tuhan akan balas dengan sebaik-baiknya. Tasiknya dan kawasan bukitnya cantik tidak tergambar oleh kata-kata. Semuanya bagai tidak terusik oleh tangan manusia. Betapa besarnya wakaf yang telah ditinggalkan oleh pengarang-pengarang seperti Beatrix Potter untuk tempat ini dinikmati oleh generasi hari ini.”
(Kembara Sastera, Nisah Haron, hlm 13)
Timur Tengah merupakan sebuah lagi benua yang sering dilawati dan kemudiannya menjadi catatan kembara. Mesir, Syam (Syria), Tunisia dan Maghribi adalah antara negeri-negeri yang pernah ditulis sebagai travelog.
Kembara Sastera, written by Nisah Haron, was published in 2012 by Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad. Kepustakaan Populer Gramedia published Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, Jilid 3, Hikayat Abdullah by Amin Sweeney in 2008.
Warkah Eropah by A. Samad Said was published in 1991 by Dewan Bahasa and Pustaka.
Paling popular sudah tentu perjalanan setiap Muslim yang digalakkan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup iaitu perjalanan agung mengerjakan ibadat Haji. Namun, setiap pahit maung dalam perjalanan, terutama sekali semasa belum terdapat kemudahan moden, seringkali diiringi dengan rasa syukur setiap penggembara, seperti yang diungkapkan oleh Harun Aminurrashid apabila sampai ke kota suci Mekah dan melihat Kaabah,
“Setelah selesai makan, kami pun dibawa oleh oang yang menjadi pandu itu masuk ke Masjidil Haram iaitu masuk dari Babus-salam. Tak dapat hendak saya katakan bagaimana detik jantung saya ketika saya memasukkan badan ke dalam masjid yang berseprah serta terpandang kepada bangunan Ka’abah tersergam hitam empat persegi di tengah-tengah masjid itu. Hanya ucapan Allahu-Akbar, Allahu-Akbar terus terpancar dari mulut saya.”
(Chatetan ka-Tanah Suchi, hlm 67)
Travelog-Travelog sebegini merupakan catatan perjalanan ilmu dan sering menjadi petunjuk atau panduan kepada pencinta ilmu. Catatan-catatan ini membuka pandangan pembaca kepada keadaan dan persekitaran serta gambaran sosio budaya masyarakat setempat yang dilawati. Selain itu, terdapat juga perbandingan-perbandingan yang diujarkan dan kritikan-kritikan tajam yang menuntut pembaharuan atau saranan perubahan.
Akhir kata, travelog-travelog Melayu yang pernah diterbitkan ini merupakan bahan rujukan penting dalam memperkenalkan masyarakat kepada maklumat di sesuatu tempat asing. la merupakan dokumen utama yang merakam peradaban masyarakat di kala ia dikunjungi. Maka seperti genre-genre sastera yang lain, travelog Melayu juga mempunyai sumbangannya yang tersendiri.
Juffri Supa’at is a Senior Librarian with the National Library of Singapore. He has curated several exhibitions that feature the works of literary pioneers such as Masuri S.N., Muhammad Ariff Ahmad and Abdul Ghani Hamid. Juffri has compiled poetry selections by Muhammad Ariff Ahmad and Suratman Markasan, and has put together bibliographies on Singapore Malay literature and its pioneer writers.
Rujukan
A Samad Said. (1991). Warkah Eropah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Putaska. (Call no.: Malay R 899.2305 ABD)
Farid Rashid. (2011). Travelog debu-debu kota 1000 menara. Kuala Lumpur: Must Read. (Call no.: Malay R 916.204 FAR)
Han, M.L. (2003, October). From travelogues to guidebooks: Imagining colonial Singapore, 1819–1940. Sojourn: Journal of Social Issues in Southeast Asia, 18 (2), 257–278. Retrieved from JSTOR via NLB’s eResources website.
Harun Aminurrashid. (1953). Melawat ke Paris. Singapura: Royal Press. (Call no. Malay RCLOS 944.36 HAR)
Harun Aminurrashid. (1961). Chatetan ka-tanah suchi. Singapura: Pustaka Melayu. Available via PublicationSG.
Harun Aminurrashid. (1961). Terbang ka-barat. Singapura: Pustaka Melayu. (Call no. Malay RSING 942.085 HAR)
Harun Aminurrashid. (1961). Meninjau ka-negara Sham. Singapura: Pustaka Melayu. (Call no.: Malay RSEA 956 HAR)
Harun Aminurrashid. (1963). Kunjongan ka-Indonesia 1954. Singapura: Pustaka Melayu. (Call no.: Malay RSING 959.803 HAR)
Harun Aminurrashid. (1964). Chatetan menjelajah ka-Eropah. Singapura: Pustaka Melayu. (Call no.: Malay RCLOS 940 HAR)
Harun Aminurrashid. (1965). Mengembara ka-Andalusia. Singapura: Pustaka Melayu. (Call no.: Malay RSING 946.8 HAR)
Harun Aminurrashid. (1965). Melawat negara tetangga. Singapura: Pustaka Melayu. (Call no.: Malay RCLOS 915 HAR)
Khalid Hitam bin Raja Hasan. (2002). Bahwa inilah Syair perjalanan Sultan Lingga dan yang Dipertuan Muda Riau pergi ke Singapura dan peri keindahan istana Sultan Johor yang amat elok. Pekanbaru, Riau: Proyek Pembinaan Bahasa dan Sastra Daerah Riau, Dinas Kebudayaan, Kesenian dan Pariwisata. (Call no.: Malay R 899.281 KHA)
Lucchesi, F. (1996, January). Geographic memories in travelogue literature: The Australian landscape in the writing of Italian travellers. GeoJournal, 38 (1), 129–136. Retrieved from JSTOR via NLB’s eResources website.
Nisah Haji Haron. (2012). Kembara sastera Nisah Haron: United Kingdom dan Dublin. Kuala Lumpur: ITBM. (Call no.: Malay R 899.2809 NIS)
Raimy Che-Ross. (2003). Syair Peri Tuan Raffles pergi ke Minangkabau A Malay account of Raffle’s second expedition to the Sumatran Highland in 1819: Based partially on prefatory material by the Hon. Dudley Francis Amelius Hervey CMG JP, Resident Councillor Malacca (1882–1893). Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 76 (2) (285), 25–80. Retrieved from JSTOR via NLB’s eResources website.
Sweeney, A. (2005). Karya lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Jilid 1, Kisah pelayaran Abdullah ke Kelantan: Kisah pelayaran Abdullah ke Mekah. Jakarta: Kepustakaan Populer Gramedia. (Call no.: Malay RSING 959.5 KAR)