Saya dan Bulan Bahasa
Saya diminta menulis tentang memori saya mengenai pelibatan saya dalam kegiatan dan perayaan Bulan Bahasa di Singapura. Sepanjang ingatan saya, dengan nama Bulan Bahasa, kegiatan dan perayaan melestari dan menggunakan bahasa itu di Singapura telah dimulai semenjak tahun 1959. Hanya nama bahasa itu yang berubah-ubah sesuai dengan rasa, selesa dan kuasa yang selari dengan fenomena hidup di Singapura pada masa itu: 1959 – 1966 disebut bahasa Kebangsaan; 1966 – kini disebut bahasa Kedua; 1982 – kini disebut semula bahasa Melayu, atau bahasa ibunda.1 Dalam tulisan ini akan saya cuba sedapat-dapatnya menyatakan pengalaman dan keterlibatan saya dalam kegiatan dan perayaan bulan-bulan bahasa itu.
Award-winning author and Malay language expert, Mr Muhammad Ariff Ahmad reminisces about his experience and involvement in the activities of the Malay Language Month since 1959. Inaugurated as the National Language Month, the campaign to promote the Malay language was initially targeted at the non-Malays. With the adoption of the bilingual education policy in 1966, Malay was taught as a second language in Singapore schools with the objective of preserving the culture and traditions of the Malay ethnic group. By the 1980s, community leaders found it necessary to encourage Malays to use their mother tongue when interacting with one another.
Muhammad Ariff also shares interesting anecdotes such as the time when his novelette Sarah pengarang kecil was used as a textbook by the Adult Education Council; writing the lyrics to the theme song of the Malay Language Month in 1982 (which is still used today) and coming up with a suitable slogan for Malay Language Month after being inspired by a Japanese saying.
Bahasa Kebangsaan 1959
Apakala Parti Tindakan Rakyat (PAP) menang pukal dalam pilihan raya umum pada Mei tahun itu, Singapura telah diberi kuasa pemerintahan sendiri dalam negeri; manakala ehwal luar negerinya masih dicengkam British.
Pada Jun 1959 Pemerintah Singapura telah mengangkat bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan Singapura, dengan pengertian bahawa bahasa Kebangsaan itu adalah bahasa pertuturan dan perhubungan antara rakyat Singapura yang terdiri daripada pelbagai etnik.
Itulah sebabnya maka lagu kebangsaan Singapura Majulah Singapura itu dinyanyikan dalam bahasa Kebangsaan, dan kekata perintah dalam perbarisan dan upacara tentera disebut dalam bahasa Kebangsaan – bukan bahasa Melayu; manakala bahasa Inggeris akan terus digunakan sebagai bahasa pemerintah dan bahasa kerja.
Saya ditanya orang: apa bedanya bahasa Melayu dengan bahasa Kebangsaan? Saya jawab: bahasa Melayu itu bahasa (pertuturan) orang Melayu, bahasa interaksi antara sesama Melayu yang berlatarkan budaya Melayu; manakala bahasa Kebangsaan pula ialah bahasa (pertuturan) rakyat Singapura, bahasa interaksi bagi pelbagai etnik warga negara Singapura.
Untuk menghidupkan bahasa kebangsaan itu, berpuluh-puluh ribu orang dewasa bukan Melayu, dengan sukarela telah masuk belajar di kelas-kelas bahasa Kebangsaan yang dianjurkan Lembaga Gerakan Pelajaran Dewasa (LGPD) atau yang dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat Singapura.
Kira-kira 300 orang guru Melayu yang wujud pada masa itu, tidak cukup untuk mengajar di kelas-kelas bahasa Kebangsaan itu. LGPD telah mengambil banyak mata-mata (pegawai polis), kerani, juruhebah radio dan orang Melayu awam yang mampu, menjadi tenaga pengajar di kelas-kelas yang dianjurkannya.
Teachers’ Training College (TTC) telah mengadakan mengadakan kelas bahasa Kebangsaan khas bagi guru-guru bukan Melayu hingga lulus ‘darjah dua’ (sukatan pelajaran pemerintah). Kepada guru-guru ini diajarkan bahasa Kebangsaan, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Novelet saya Sarah Pengarang Kecil yang diterbitkan Pustaka Melayu pada 1957 telah dijadikan teks kesusasteraan bagi peperiksaan Darjah 1 LGPD.
Saya telah ditugaskan mengajarkan kebudayaan di kelas darjah dua di TTC. Ketika mengajar bagaimana menyebut atau menulis nama orang Melayu, saya beritahu pelajar dikelas itu: orang Melayu menyebut atau menulis nama anaknya lengkap dengan bin atau bintinya, misalnya: Muhammad Ali bin Abu atau Salminah binti Kemat.
Tetapi, kata saya: ada saya jumpa pada sijil persekolahan seorang anak teman saya tertulis namanya “Sulaiman Rohanah binte”. Ini, luar biasa dan tidak mengikut cara kebudayaan Melayu menyebut nama Melayu.
Tiga hari kemudiannya, saya dipanggil penolong pengetua sekolah TTC kerana beliau menerima surat aduan dari seorang guru besar sekolah menengah Inggeris yang melaporkan bahawa saya telah mengganggu pertadbiran sekolahnya.
Saya jelaskan kepada penolong pengetua sekolah apa yang sebenarnya telah saya beritahu kelas saya tentang nama Melayu itu. Beliau bersetuju dengan tindakan saya dan dijawabnya surat aduan guru besar itu; hingga sekarang tak saya dengar ungkitan kisah tersebut.
Di samping mengajar (pada pagi dan petang) di TTC, dan di beberapa kelas anjuran LGPD (pada waktu malamnya), selama dua tahun saya tulis skrip pelajaran bahasa Melayu/kebangsaan yang disampaikan kepada pendengar radio Singapura – pelajaran bahasa Melayu melalui bahagian Melayu, dan pelajaran bahasa kebangsaan melalui bahagian Cina. Selain itu, saya juga tulis makalah untuk ruangan “Belajar bahasa Kebangsaan” di majalah dua mingguan Mentor yang diterbitkan Singapore Teachers’ Union untuk para anggotanya.
1959–1962
Selama lima tahun, saya tulis satu siri buku belajar bahasa Melayu/Kebangsaan yang saya namakan Bahasa Negaraku. Buku itu diterbitkan Marican & Sons memenuhi kepentingan pelajar bukan-Melayu di Singapura dan di Persekutuan Tanah Melayu (PTM).
Berdasarkan rumusan Kongres Pwersuratan Bahasa Melayu Ketiga tahun 1956 – yang diadakan di Singapura dan ditutup di Johor Bahru - sesuai dengan keputusan Kongres Persuratan Melayu Malaya Kedua (bahawa perkembangan seterusnya kesusasteraan Melayu Malaya harus dilaksanakan dalam tulisan rumi) Jawatankuasa Bersama Ejaan Malaya (PTM dan Singapura) dan Team Ejaan Indonesia untuk membaku dan menyekatakan ejaan bagi kededua wilayah bahasa serumpun itu telah dibentuk.
Jawatankuasa bersama itu telah bekerjasama selama 6 tahun (1957–1963), lalu merumuskan semacam ejaan baru yang disebut ejaan Melindo (Ejaan Melayu-Indonesia) yang dijangka akan mula digunakan di kededua wilayah bahasa serumpun itu bermula dari Januari 1964.
1962
Dewan Bahasa dan Kebudayaan (DBK) Singapura telah menganjurkan musyawarah penulis-penulis Malaya (PTM dan Singapura). Penulis-penulis empat bahasa (Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris) dari seluruh Malaya telah berhimpun di DBK Singapura membincangkan tentang pewujudan dan pengembangan kesusasteraan Malaya di masa depan. Sebagai Pengerusi Lemabag Tetap Kongres (LTK) Singapura, saya telah diberi tugas mempengerusikan musyawarah seksi yang membincangkan bahasa dan kebudayaan Melayu.
1963
Penubuhan Malaysia (Persatuan NegaraNegara PTM, Singapura, Sabah dan Sarawak) pada September 1963 telah menyebabkan kegagalan pelaksanaan cadangan Jawatankuasa Ejaan Melayu/Indonesia (Melindo) itu sehingga tahun 1966 apabila Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia berakhir.
Setelah Konfrontasi berakhir, dengan alasan permutu (slogan) “biduk lalu kiambang bertaut”, Jawatankuasa Ejaan Melindo bersatu semula dengan nama barunya Majlis Kebahasaan Indonesia/Malaysia (MABIM).2 Tugas majlis baru itu tidak lagi setakat menyekatakan ejaan semata-mata tetapi meluas hingga ke masalah bahasa.
Namun, oleh sebab Singapura telah merdeka (keluar) dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, maka Singapura tidak automatik menjadi anggota MABIM. Sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat, Singapura mempunyai dasar pemerintahan dan identitinya sendiri.
Khusus mengenai ejaan rumi Melayu moden yang sesuai digunapakai oleh penutur bahasa Melayu dan bahasa Kebangsaan di Singapura, semenjak merdeka pada Ogos 1965, Kementerian Kebudayaan Singapura telah melantik suatu Jawatankuasa Ejaan Rumi Melayu Singapura.
Sebagai Pengerusi LTK, saya telah dilantik menjadi salah seorang anggota Jawatankuasa tersebut. Jawatankuasa itu telah ditugaskan untuk memikirkan, membentuk kaedah dan merumuskan penggunaan sistem ejaan baru. yang dicadangkan itu.
Jawatankuasa itu telah menyemak dan memperbincangkan beberapa sistem yang pernah dipakai untuk mengeja rumi Melayu. Lakar ejaan Melindo yang tak jadi dilancarkan pada Januari 1964 telah dijadikan rujukan utama Jawatankuasa itu.
Lakar Ejaan Rumi (Melayu) baru, rumusan Jawatankuasa Ejaan Kementerian Kebudayaan telah dibentangkan di Kongres Bahasa Kebangsaan Singapura pada Ogos 1966 untuk dikaji dan dihalusi sebelum ia digunakan.
Bulan Bahasa Kebangsaan 1965
Menyediakan ruang dan memberi peluang sambil menggalakkan rakyat Singapura bertutur bahasa Kebangsaan, Kementerian Kebudayaan Singapura telah menganjurkan dua peristiwa bahasa Kebangsaan.
Bekerjasama dengan LTK Singapura, Kementerian Kebudayaan telah menganjurkan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan dalam tahun 1965.
Peristiwa Minggu Bahasa Kebangsaan diadakan pada Mei 1965 (semasa Singapura masih dalam Malaysia) dan peristiwa Bulan Bahasa Kebangsaan disempurnakan sepanjang September tahun itu (ketika Singapura baru keluar dari Malaysia).
Kedua-dua peristiwa bahasa itu telah diselenggarakan LTK dengan sokongan dan bantuan Kementerian Kebudayaan. Kementerian Kebudayaan memberikan kemudahan-kemudahan kepada penggiatpenggiat melaksanakan acara; manakala LTK menyelaraskan acara-acara Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa Kebangsaan itu.
Persatuan-persatuan bahasa dan kebudayaan kerabat LTK, institusi-institusi pemerintah dan bukan pemerintah, kelab-kelab masyarakat telah bersama-sama menjayakan perayaan Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa Kebangsaan itu.
Sebagai Pengerusi LTK, maka peranan saya dalam kegiatan minggu dan bulan bahasa Kebangsaan itu ialah Pengerusi Panitia yang bekerjasama dengan Cikgu Suri Muhyani dari DBK Singapura menyelaraskan kegiatan dan acara kededua peristiwa bahasa itu.
Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan itu telah diisi dengan acara-acara:
temasya – seperti bercerita dalam bahasa Kebangsaan; menyanyikan lagu-lagu berbahasa Kebangsaan; pesta pantun; mengeja dan menulis kekata bahasa kebangsaan; mendeklamasi sajak.
peraduan – seperti peraduan teka kata; soal-jawab bahasa; bercakap petah; berbalas pantun; berdebat/bahas dalam bahasa Kebangsaan.
pembelajaran – menyebarkan pengetahuan mengenai bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu menerusi ceramah; seminar; simposium.
Peserta bukan Melayu melakukan acaraacara bahasa Kebangsaan; manakala peserta Melayu melakukan juga acara seni budaya Melayu.
Peserta bukan Melayu melakukan acaraacara bahasa Kebangsaan; manakala peserta Melayu melakukan juga acara seni budaya Melayu.
Bahasa Ibunda (Bahasa Kedua) 1966
Mulai tahun 1966, sistem pelajaran kebangsaan Singapura telah menetapkan bahawa bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa penghantar pelajaran di sekolah-sekolah dan disebut sebagai bahasa pertama; manakala bahasa-bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil yang disebut sebagai bahasa ibunda diajarkan juga kepada anak-anak etnik penutur bahasa masing-masing.
Bahasa ibunda yang disebut juga bahasa kedua, diajarkan di sekolah sebagai mata pelajaran wajib. Selain mendidik pelajar untuk menjadikan para lulusannya rakyat Singapura yang dwibahasa, pengajaran bahasa ibunda itu bertujuan untuk melestarikan budaya dan tradisi etnik penutur bahasa-bahasa tersebut.
Kongres Bahasa Kebangsaan 1966
Memenuhi kepentingan bahasa Kebangsaan dan bahasa ibunda Melayu, dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan dan bantuan Yayasan Asia, LTK telah menganjurkan Kongres Bahasa Kebangsaan Singapura pada 15–19 Ogos 1966. Beberapa pemerhati dari Malaysia dan Brunei telah hadir menyertai kongres tersebut.
Kongres telah membincangkan lakar Ejaan Melayu Baru Singapura yang dibentangkan Jawatankuasa Ejaan Rumi Singapura 1965; namun, memandang bahawa M ABIM pun sedang menghalusi ejaan bersama bagi kededua wilayah itu, maka Kongres mengambil sikap tidak segera membuat keputusan tentang ejaan itu – sikap yang diambil ialah “tunggu dan tengok”.
Kongres telah membincangkan juga tentang perkembangan bahasa dan sastera Melayu di Singapura. Beberapa kertas kerja mengenai bahasa Melayu baku; pelajaran bahasa dan kesusasteraan Melayu di kelas menengah telah dibincangkan.
Saya telah mengemukakan kertas kerja mengenai pengajaran kesusasteraan di kelas kelas menengah Melayu (yang ditumpangkan di 10 buah sekolah Menengah Inggeris).3
1977
Kementerian Pelajaran Singapura telah mengarahkan supaya pengajaran bahasa ibunda Melayu di sekolah-sekolah Singapura, menggunakan Ejaan Rumi Baru (ejaan baku) kaedah Malaysia yang ditetapkan MABBIM mulai awal semester persekolahan tahun 1977 setelah 5 tahun mantap dipakai di Malaysia.
Terdapat beberapa ejaan yang dipertahankan kededua pihak – Indonesia dan Malaysia – yang tidak dapat disekatakan, sama ada kerana sentimen atau kerana keyakinan terhadap kebenaran pendapat mereka, lantas ejaan yang mereka yakini itu disetujui digunapakai di wilayah masing-masing.*
bahawa
banteras
beza
kerana
sastera
Indonesia mengeja
bahwa
berantas
beda
karena
sastra
Ketetapan itu telah diputuskan rumusan KPBMM3 1956 yang berkata: bersetuju (terus menggunakan) hal-hal yang tidak disetujui.
Singapura pula mengambil sikap apabila tertembung dengan kelainan yang demikian itu, maka Singapura akan menggunakan apa-apa yang dipakai Malaysia.
1981
Setelah empat tahun menggunakan ejaan baku, Kementerian Kebudayaan telah menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras Ejaan Rumi Melayu pada Mei tahun itu, menggantikan Jawatankuasa Ejaan 1965. Jawatankuasa baru ini dipengerusikan seorang Setiausaha Parlimen. Setiausaha Parlimen yang mula-mula dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa itu ialah Encik Wan Hussin Haji Zoohri.
Selain memikul tugas memantau dan memastikan bahawa ejaan baku digunakan dengan betul di Singapura, Jawatankuasa itu telah juga menimbangkan kata-kata istilah yang sesuai dan juga mengenai penggunaan bahasa Melayu yang betul.
Bulan Bahasa Melayu 1982
Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura telah menubuhkan Jawatankuasa Bulan Bahasa Melayu pada April tahun itu. Diberi nama Bulan Bahasa Melayu kerana kempen itu dikhususkan untuk masyarakat Melayu sendiri.
Jawatankuasa yang dipengerusikan Presiden Majlis Pusat, Haji Mohd Yusof Ahmad itu dianggotai Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) dan Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD).
Encik Yusnor Ef ialah Setiausaha Jawatankuasa itu dan Encik Mohd Raman Daud adalah Penolong Setiausahanya. Setiausaha Parlimen Perdagangan dan Perusahaan merangkap Hal Ehwal Masyarakat, Haji Sidek Saniff dan Setiausaha Parlimen Kesihatan dan Kebudayaan, Encik Wan Hussin Haji Zoohri telah dilantik sebagai Penaung Jawatankuasa itu. Manakala Anggota Parlimen Kampung Kembangan, yang juga Setiausaha MENDAKI4 Haji Mansor Haji Sukaimi dan saya (Haji Muhammad Ariff Ahmad) telah dilantik sebagai Penasihat kepada Jawatankuasa tersebut.
Mencari permutu untuk kempen bulan bahasa Melayu (yang pertama) yang dilaksanakan dalam bulan Ogos tahun itu, saya sarankan kalimah ajakan yang sederhana “gunakanlah bahasa Melayu”. Saya terilham oleh kalimah Jepun yang menggalakkan penduduk Syonan-to menggunakan Nipon-Go. Kata kalimah itu: manabé, tsukaé Nipon-Go wo (pelajari, gunakanlah bahasa Nippon). Saya tidak bermaksud memerintah supaya mereka belajar; tetapi mengajak mereka menggunakan bahasa ibunda kerana pada masa itu (dekad 1980an) bilangan orang Melayu yang mula segan berbahasa Melayu bertambah.
Kempen penggunaan bahasa Melayu itu telah diisi dengan acara peraduan-peraduan bercakap petah; mendeklamasikan sajak; menulis sajak dan cerpen; mengeja cepat dan tepat, yang ditumpukan kepada para pelajar. Majlis-majlis ceramah, simposium, seminar dan pameran buku diadakan juga sebagai sumber penyebaran ilmu untuk menambah pengetahuan tentang bahasa Melayu.
Melalui ucapan saya, selaku tetamu terhormat, ketika merasmikan pameran buku-buku Melayu di Perpustakaan Toa Payoh pada 14 Ogos 1982 dulu, telah saya sarankan bahawa sebuah Jawatankuasa Bertindak untuk mempastikan pengamalan Bahasa Melayu yang berterusan di kalangan masyarakat Melayu di sini, perlu dibentuk Majlis Pusat. Jawatankuasa Bertindak itu bolehlah bekerjasama dengan Jawatankuasa Penyelaras Ejaan Melayu yang dilantik Kementerian Kebudayaan, Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan Dewan Perniagaan Melayu Singapura. Saya sokong kuat ura-ura Majlis Pusat menubuhkan Jawatankuasa tetap yang berfungsi untuk mengembang dan menatarkan bahasa Melayu di kalangan orang Melayu, seperti yang diumumkan Presiden Majlis Pusat ketika merasmikan Bulan Bahasa Melayu itu.
1983
Tugas Jawatankuasa Penyelaras Ejaan telah diperluas hingga mencakup bidang bahasa, menyentuh aspek peristilahan; tatabahasa dan sebutan baku. Maka namanya dipinda menjadi Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura ( JBMS). Lama juga kegiatan berbulan bahasa “mengambil rehat”. Enam tahun lamanya, kita tidak berbulan bahasa.
Bulan Bahasa Melayu 1988 dan Seterusnya
Menurut urutannya, Bulan Bahasa Melayu yang dilaksanakan pada kali ini, sebenarnya, ialah perayaan Bulan Bahasa Melayu yang kedua. Namun, oleh kerana perayaan itu diselenggarakan JBMS yang dipengerusikan Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pelajaran (sekarang: Pendidikan) Haji Sidek Saniff; dan akan menjadi projek berterusan yang akan diselenggarakan tiap dua tahun sekali, maka Bulan Bahasa Melayu Singapura (BBMS) 1988 itu ditandai dengan nama BBMS pertama.
8 Julai 1988, saya tulis di kolum “bahasa jiwa bangsa” Berita Harian:
Permutu BBMS kali ini merupakan penataran permutu BBMS Majlis Pusat 1982 yang mengajak orang Melayu menggunakan bahasa Melayu. JBMS bukan sahaja mahukan orang berbahasa Melayu (apabila bertemu sesama Melayu; lebih-lebih lagi dalam pertemuan rasmi, misalnya dalam mesyuarat dan majlismajlis), bahkan mahukan mereka bertutur dalam bahasa yang betul.
Sebagai mercutanda BBM itu, Pengerusi JBMS telah meminta saya menuliskan senikata lagu BBMS yang muziknya telah disediakan oleh Cikgu Abdullah Lamat. Nampaknya lagu itu masih dinyanyikan hingga sekarang, meskipun kedengaran macam ada perubahan kecil telah dilakukan ke atas lagu itu.
BBMS 1988 itu telah diisi dengan majlismajlis ceramah; dialog mengenai ilmu bahasa; peraduan bahas dan mengarang; deklamasi sajak dan pesta pantun, diramaikan juga dengan persembahan seni budaya Melayu.
BBMS 1990 dilaksanakan bersekali dengan Bulan Budaya Melayu. Dalam rencana menyambut 25 tahun Kemerdekaan Singapura, selaras dengan cita-cita bahasa menjunjung budaya, JBMS bekerjasama dengan Majlis Pusat melaksanakan bulan bahasa dan bulan budaya, dengan JBMS menyelenggarakan bulan bahasa dan Majlis Pusat menyelenggarakan bulan budaya.
BBMS 1990 mula memperkenalkan sebutan baku bahasa Melayu (menyebut kekata sebagaimana dieja) menerusi majlis-majlis dialog dan ceramahnya. Usaha Jawatankuasa Bahasa Melayu semakin fokus kepada sebutan baku.
Memandangkan tugas Jawatankuasa Bahasa itu semakin luas, dalam beberapa mesyuaratnya telah saya sarankan supaya nama JBMS dipinda menjadi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).
BBMS 1992 telah dilaksanakan dengan tema “Ke Arah Penyempurnaan Bahasa Melayu Baku”. Sayangnya, pada masa itu, apabila kita menyebut bahasa Melayu Baku, yang difahami umum ialah sebutan bakunya sahaja; padahal yang dikatakan bahasa baku termasukklah tatabahasanya, ejaannya, peristilahannya, dan sebutannya. Sebutan itu hanya satu sahaja daripada aspek bahasa.
Dalam Simposium Sebutan Baku yang dianjurkan JBMS pada November 1992, nama Majlis Bahasa Melayu Singapura diisytihar dan dirasmikan menggantikan nama JBMS. Pada tahun itu, Majlis Bahasa Melayu telah menganjurkan seminar besar-besaran mengenai sebutan baku. Pakar-pakar sebutan baku dari Malaysia telah diundang memimpin bengkel sebutan baku bagi guru-guru bahasa Melayu di Singapura.5
MBMS telah merubah musiman bulan bahasa. Kini dilaksanakan pada tiap tahun genap bagi kegiatan-kegiatan bahasa, manakala tahun ganjil bagi kegiatan-kegiatan kesusasteraan. Pada tahun-tahun kesusasteraan disampaikan anugerah dan hadiah sastera.
Dua anugerah, Anugerah Tun Seri Lanang dan Anumerta Tun Sri Lanang, disampaikan kepada para sasterawan yang dianggap layak menerimanya. Penganugerahan itu dimulai dari tahun 1993. Saya telah menerima Anugerah Tun Sri Lanang pada 1993; Masuri SN pada 1995; Abd Ghani Hamid pada 1997; Suratman Markasan pada 1999 dan diikuti lain-lain sasterawan yang diiktiraf.
REFERENCES
Acara2 Bulan Bahasa siap utk Sabtu ini. (1982, August 13). Berita Harian, p. 3. Retrieved from NewspaperSG.
Bulan Bahasa ’88: Buku cenderamata: 13 Ogos–17 Sep ’88. (1988). Singapura: Jawatankuasa Bulan Bahasa, Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura. (Call no.: RSING 499.28 BUL)
Bulan Bahasa ’90: 2–23 Mac ’90, Singapura: Buku cenderamata. (1990). Singapura: Jawatankuasa Bulan Bahasa. (Call no.: RCLOS 499.28 BUL)
Bulan Bahasa ’92 Singapura: 1–29 Februari 1992: [buku cenderamata]. (1992). Singapura: Jawatankuasa Bulan Bahasa. (Call no.: RSING 499.28 BUL)
Chenderamata Bulan Bahasa Kebangsaan, 23hb. April–25hb Mei, 1965. (1965). Singapura: Dewan Bahasa dan Kebudayaan Kebangsaan. (Call no.: RCLOS 499.28 CHE)
Kongress Bahasa Kebangsaan Singapura: Kertaskerja. (1966). Singapura: [Lembaga Tetap Kongress]. (Call no.: RCLOS 499.28 KON)
Mohd Raman Daud. (1988, July 24). Bulan Bahasa: Mengisi makna ‘bahasa menunjukkan bangsa’. Berita Harian, p. 4. Retrieved from NewspaperSG.
Singapore. Ministry of Culture. Jawatankuasa Besar. (1965). Chenderamata Bulan Bahasa Kebangsaan, 12hb Nobember–11hb Disember, 1965 = Souvenir programme: National Language Month, 12th November–11th December, 1965. Singapura: Dewan Bahasa dan Kebudayaan Kebangsaan. (Call no.: RSING 499.23 SIN)
NOTES
-
Bahasa Ibunda ialah Bahasa yang dituturkn pelbgai etnik rakyat – Melayu: Mandarin, Tamil dsb. ↩
-
Sekarang berubah menjadi MABBIM apabila Negari Brunei Darussalm menganggotai majlis itu. ↩
-
Rumusan mengenai pengajaran kesuasteraan Melayu di kelas-kelas menengah – kemudian diteruskan ke Sekolah Menengah Sang Nila Utama dan Tun Sri Lanang sehingga 1979 apabila pelajaran sastera tidak lagi diajarkan melalui pelajaran Bahasa Ibunda semenjak 1979. ↩
-
MENDAKI ialah Majlis Pendidikan Anah-Anak Islam. ↩
-
Pelajar Bahasa ibunda Melayu di sekolah-sekolah sudah mula dilatih menggunakan sebutan baku semenjak tahun 1988. ↩