Pemikiran Sosio Agama Ahmad Sonhadji Mohamad Melalui Khutbah 1971–1980
Pendahuluan
Ahmad Sonhadji lebih dikenali sebagai tokoh tafsir di Singapura melalui Tafsir ‘Abr al-Athir atau Tafsir al-Quran di Radio yang telah dihasilkan selama 25 tahun. Namun terdapat banyak karya beliau yang belum diberi perhatian dan dikaji. Ini termasuklah koleksi khutbah sebanyak 112 naskah yang memaparkan pemikiran Ahmad Sonhadji yang dihasilkan sejak tahun 1971 hingga tahun 1980.1 Kesemua manuskrip ini masih utuh tidak terusik disimpan oleh ahli keluarga beliau yang telah memberi izin kepada Perpustakaan Negara Singapura untuk membuat dan menyimpan salinan digital. Kajian telah dijalankan untuk mengenalpasti unsur-unsur yang mempengaruhi pemikiran sosio-agama Ahmad Sonhadji, mengenalpasti isu-isu sosio-agama di Singapura melalui koleksi khutbah Ahmad Sonhadji 1971–1980, dan menjelaskan bentuk pemikiran sosio-agama Ahmad Sonhadji menerusi koleksi khutbahnya. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat isu sosio-agama dalam koleksi khutbah Ahmad Sonhadji dan dibahagikan kepada empat tema utama, iaitu al-Quran dan Hubungan dengan Tuhan; Ekonomi, Kerjaya dan Pendidikan; Wanita, Kekeluargaan, Kemanusiaan dan Kemasyarakatan; dan Adab, Etika dan Integriti.
Artikel ringkas ini hanya menyentuh tema Wanita, Kekeluargaan, Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, dan Adab, Etika dan Integriti. Kajian penuh boleh dibaca melalui buku Pemikiran Sosio-Agama Ahmad Sonhadji Mohamad Melalui Koleksi Khutbah (1971–1980) terbitan Pergas pada tahun 2021. Koleksi khutbah Ahmad Sonhadji ini berharga kerana ia merakam naratif penting pengalaman serta pandangan beliau terhadap isu-isu yang dihadapi masyarakat Melayu Singapura. Pemikiran sosioagama, gagasan idea dan panduan yang disampaikan melalui koleksi khutbah ini telah dapat membantu masyarakat Singapura melalui cabaran kehidupan dengan bijak, tabah dan berdaya tahan. Ia juga membuktikan bahawa Ahmad Sonhadji bukan sahaja dikenali sebagai seorang mufasir al-Quran di kawasan Nusantara, bahkan boleh diangkat sebagai seorang reformis sosial yang progresif dan berwawasan yang mencadangkan jalan keluar bagi permasalahan yang dihadapi masyarakat Melayu Singapura. Ketajaman pandangan, kehalusan pemikiran serta ketelitian dalam merawat masalah masyarakat terserlah melalui koleksi khutbah ini. Implikasi yang diharapkan adalah agar koleksi khutbah ini terus dikaji kerana ia menggambarkan kebijaksanaan dan daya intelektual permata tafsir Singapura ini. Justeru ia perlu dicetak semula sebagai karya agung untuk menjadi rujukan para intelektual, pengkaji sosial, khatib, dan masyarakat umum. Disamping itu, ia masih relevan dijadikan sebagai panduan masyarakat dalam menghadapi isu-isu sosio-agama semasa. Biografi
Biografi Ringkas
Ahmad Sonhadji Mohamad Milatu dilahirkan pada 18 Ogos 1922, di desa Pengging, Surakarta Jawa Tengah Indonesia. Ibunya bernama Raden Ummi Salamah seorang wanita keturunan bangsawan Jawa yang merupakan cucu kepada Raja Kesultanan Solo. Ayahnya pula bernama Mohamad Milatu yang merupakan seorang agamawan yang pernah menuntut di beberapa sekolah agama (pesantren) di Jawa, Madura dan beberapa daerah lain di Indonesia. Beliau adalah anak pertama dari 10 orang cahaya mata dari pasangan ini.2
Ahmad Sonhadji adalah seorang tokoh ilmuan yang dihormati dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Singapura. Beliau telah memberikan banyak sumbangan bakti dalam pelbagai lapangan dan antara hasil peninggalan beliau yang banyak adalah bahan-bahan penulisan. Karyakarya peninggalan beliau ini merupakan khazanah yang amat bernilai yang menggambarkan pemikiran dan keilmuan yang boleh dijadikan sumber rujukan.
Ramai karyawan mapan Melayu Singapura berhijrah ke Kuala Lumpur setelah berlaku perpisahan di antara Singapura dan Malaysia pada tahun 1965 kerana melihat masa depan mereka lebih cerah di sana. Ahmad Sonhadji, walaupun telah menghasilkan banyak karya sejak awal tahun 1960-an lagi, adalah antara segelintir karyawan Melayu Singapura yang tidak berhijrah bersama-sama dengan para karyawan mapan yang lain. Malahan beliau terus menetap di Singapura dan terus menghasilkan naratifnaratif baharu pada era pasca perpisahan. Karya-karya yang dihasilkan pada era pasca perpisahan ini merupakan dokumentasi penting yang merakam pengalaman masyarakat Melayu Singapura mengharungi zaman yang genting.
Usaha untuk mendidik dan memberikan kesedaran tentang pentingnya memahami al-Quran melalui ilmu Tafsir kepada masyarakat Melayu Singapura telah dimulakan sebelum perpisahan antara Singapura dan Malaysia. Ahmad Sonhadji telah memulakan usaha penulisan ilmu Tafsir sejak tahun 1959 dan menyampaikannya melalui saluran radio. Rancangan yang dinamakan Pancharagam Tafsir Al-Quran ini diudarakan melalui saluran Radio Nasional Singapura setiap minggu pada hari Khamis pada waktu malam. Berlangsungnya program ini sekian lama dan diadakan secara konsisten menunjukkan penerimaan masyarakat Islam Singapura terhadap pelajaran Tafsir al-Quran.
Beliau juga merupakan seorang mufasir yang melakukan kajian secara konsisten dan menyediakan teks bagi pengisian program ini. Cara penyampaian beliau bersifat sederhana dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan mengaitkan tafsiran yang sesuai dengan konteks Singapura. Cara penyampaian beliau yang bersifat akomodatif telah berjaya menarik minat masyarakat Islam Singapura untuk memahami al-Quran dan tidak menerima tentangan terutama daripada pihak pemerintah Singapura yang pada masa tersebut menekankan kepentingan kesatuan bangsa, kemodenan dan pendidikan.
Walaupun demikian, kadar penguasaan al-Quran dalam kalangan masyarakat Melayu Singapura pada masa tersebut belum dapat diketahui dan belum dapat diukur. Ini kerana ketiadaan institusi khusus yang menguruskan tentang pembelajaran al-Quran dalam masyarat Melayu Singapura. Hanya pada tahun 1980-an terdapat saranan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam Singapura akan kepentingan menubuhkan institusi khusus bagi pembelajaran al-Quran secara menyeluruh. Sebuah Jawatankuasa Induk al-Quran ditubuhkan pada tahun 1994 dan dipengerusikan oleh Ahmad Sonhadji sendiri sehingga tertubuhnya institusi pendidikan al-Quran di Masjid Kampung Siglap pada tahun 1994. Institusi ini kemudiannya dikenali sebagai Darul Quran Singapura pada tahun 2009.
Di bawah adalah titik-titik penting yang memberi gambaran ringkas tentang perjalanan hidup Ahmad Sonhadji sejak beliau mula dilahirkan sehingga tarikh kematiannya.
Kronologi Sejarah kehidupan Ahmad Sonhadji
1922: Lahir di Surakarta Jawa Tengah Indonesia
1927: Berhijrah bersama keluarga ke Singapura
1930–36: Mendapat pendidikan awal sekolah rakyat hingga kelas lima di
Rengat, Inderagiri
1937–44: Melanjutkan pelajaran di Madrasah Al-Junied dari kelas Tahdiri hingga tahun
enam
1942: Mengasaskan Perguruan Agama Islam Rengat bersama guru
beliau Hj Marzuki
1945: Mengajar sebagai guru pelatih di Madrasah Al-Junied
1945: Mendirikan rumah tangga bersama Hajah Napsiah Bte Ibrahim
1945: Mendirikan Madrasah Bustanul Arifin dan Madrasah Al-Diniyah
di Singapura
1945: Bertugas dengan Radio Jepun sebagai pemerhati dan penterjemah
di Singapura
1946–50: Menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan
1951: Mengajar semula di Madrasah Al-Junied
1957–66: Bertugas pada sebelah petang dalam bidang pentadbiran di
Qalam Press
1957: Mengasaskan PERGAS bersama angota-anggota lain dan menjadi
setiausaha bahagian
pendidikan yang pertama
1958–60: Menjadi ahli Jawatankuasa Pendidikan Agama Islam,
Kementerian Pelajaran
Singapura sebagai wakil PERGAS melakar
kurikulum dan menghasilkan 10 buku teks
1959–84: Membuat kajian dan penulisan Tafsir al-Quran di Radio (Tafsir
‘Abr al-Athir)
1960–62: Menjadi ahli Jawatankuasa Penasihat Islam, Kementerian Hal
Ehwal Masyarakat
Singapura
1966–70: Berkhidmat sebagai ketua guru di Sekolah Menengah Arab
Hasanal Bolkiah di
Brunei
1970–80: Menghasilkan lebih 100 Karya Khutbah Jumaat mengikut tema
1973–80: Menjadi Mudir Madrasah Al-Junied dan mengasilkan tujuh buah
Buku Teks
1974–86: Menganggotai ahli Lembaga Rayuan MUIS
1974–92: Menjadi ahli Jawatankuasa Fatwa MUIS
1980–92: Menjadi ahli Majlis Tertinggi MUIS
1980: Menjadi Imam dan Khatib tetap Masjid Muhajirin
1983: Mencetak karya Kaedah Tafsir Al-Quran yang dihasilkan pada
tahun 1970-an
1988: Mendapat Pingat Bakti Masyarakat
1991: Menjadi ahli penasihat MUIS
1991: Selesai mencetak Tafsir Abr al-Athir edisi lengkap setelah berkarya
selama lebih 25
tahun
1992: Pengerusi Madrasah Irsyad dan Pengerusi Lembaga Pendidikan
Quran Singapura
1992: Mendapat Anugerah Jasa Cemerlang dari MUIS
1995: Menubuhkan sebuah Rumah Wakaf di Johor Bahru
2002: Mendapat pengiktirafan sebagai Imam Masjid Muhajirin selama
22 tahun pada usia 80
tahun
2010: Meninggal dunia pada 12 Ogos 2010 di Singapura
Latar Belakang: Selepas Perpisahan
Singapura mula berkembang pesat setelah berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965 dan menghadapi pelbagai cabaran pada tahun-tahun pertumbuhannya sehingga menjadi sebuah kota metropolitan. Jumlah penduduknya sebanyak 2.07 juta pada tahun 1970 dan meningkat kepada 2.4 juta penduduk pada tahun 1980. Masyarakat Melayu Singapura membentuk jumlah penduduk minoriti terbesar sebanyak 15 peratus dengan jumlah 311,379 penduduk pada tahun 1970. Walaupun jumlahnya meningkat kepada 351,508 penduduk berbangsa Melayu, tetapi mengikut jumlah peratusan ia sedikit berkurang kepada 14.6 peratus pada tahun 1980.3
Isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Melayu semenjak era perpisahan di antara Singapura dan Malaysia pada tahun 1965 sering mendapat perhatian para pengkaji dan ilmuan hingga ke hari ini. Fokus utama yang sering mendapat perhatian adalah situasi kehidupan masyarakat Melayu berbanding bangsa-bangsa lain, kondisi taraf kehidupan mereka, isu-isu yang sering menjadi cabaran mereka disamping pencapaian dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi sebagai gambaran pencapaian masyarakat Melayu Singapura.
Dalam perkembangan masyarakat Melayu Islam Singapura, isu-isu sosial dan agama sering kali menarik perhatian para pengkaji. Perbincangan isu yang sering berlegar dalam kalangan masyarakat Melayu antaranya adalah kekurangan barisan ilmuan, kekurangan barisan kepimpinan, ketinggalan dalam tahap pencapaian dalam pendidikan, jurang pendapatan ekonomi yang masih besar, peningkatan jumlah pengangguran, peningkatan isu rumah tangga seperti penceraian, masalah penagihan dadah dan kedudukan masyarakat Melayu dalam perkembangan politik negara.
Perkembangan ini boleh diperolehi berdasarkan dokumentasi yang telah dihasilkan oleh ahli akademik, para pemikir mahupun pihak pemerintah secara rasmi.
Pemikiran sosio-agama Ahmad Sonhadji boleh dilihat apabila membaca karya-karya penulisan beliau. Isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Melayu sering dibincangkan antaranya melalui khutbah-khutbah beliau yang disampaikan kepada khalayak secara terancang melalui kemahiran dan kepintaran beliau mengarang khutbah dengan menyentuh permasalahan berkaitan isu-isu sosial yang dilalui oleh masyarakat pada masa itu. Ia sekaligus membuktikan keprihatinan beliau terhadap keadaan yang berlaku dalam masyarakatnya dan mengambil pendekatan yang sesuai dengan membincangkan permasalahan tersebut melalui khutbahnya kepada khalayak yang mempunyai latar belakang yang pelbagai.
Selain itu, beliau juga boleh dikategorikan sebagai seorang reformis sosial yang bukan sahaja mampu mengenal pasti permasalahan yang berlaku dalam masyarakatnya tetapi mampu menjadi agen perubahan. Beliau mengemukakan solusi atau jalan keluar kepada permasalahan tadi melalui khutbah yang disampaikan sepanjang lebih dua dekad, disamping menghasilan karya tafsir di radio dan keterlibatan dalam khidmat masyarakat.
Khutbah-khutbah tulisan tangan yang dihasilkan ini sangat berkait rapat dengan sejarah perkembangan masyarakat Melayu di Singapura. Ada khutbah yang dikarang dengan tujuan untuk menaikkan semangat bekerja dalam kalangan masyarakat Melayu. Khutbah yang disampaikan ketika berlakunya kegawatan ekonomi pada tahun 1975 bertujuan untuk merangsang persaingan dalam meningkatkan tahap ekonomi negara yang masih baharu pada masa tersebut. Ada pula isi khutbah yang bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga hak kaum wanita dan kebajikan anak-anak.
Tema: Wanita, Kekeluargaan, Kemanusiaan Dan Kemasyarakatan
Wanita memainkan peranan penting dalam membangunkan sesebuah masyarakat dan negara bersama kaum lelaki. Peranan mereka tidak boleh dinafikan kerana setiap golongan mempunyai peranan khusus yang tidak dapat disempurnakan oleh gender yang lain. Kelembutan sentuhan wanita dalam mengasuh anak dan menjaga kebajikan keluarga tidak dapat diambil alih sepenuhnya oleh golongan lelaki. Tugas buruh kasar lebih sesuai dipikul oleh lelaki kerana kekuatan fizikal yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. Kedua-dua tugasan ini tidak merendahkan mana-mana pihak wanita ataupun lelaki kerana mereka saling lengkap-melengkapi dalam setiap urusan kehidupan. Walaupun demikian, kaum wanita sering dilihat sebagai golongan kelas kedua dalam sesuatu struktur masyarakat tradisional. Ini tergambar melalui bidang pendidikan, pekerjaan dan ekonomi. Pencapaian wanita didapati lebih rendah daripada lelaki dalam bidang-bidang tersebut.
Lebih ramai lelaki yang memperoleh pendidikan formal dan mendapat tangga gaji yang lebih tinggi daripada wanita dalam bidang pekerjaan. Ini dapat dilihat melalui jumlah lelaki Melayu yang mempunyai kelulusan peringkat pos-menengah adalah seramai 1,358 orang, manakala jumlah wanita Melayu dengan kelulusan yang sama adalah seramai 806 orang sahaja pada tahun 1980. Manakala pendapatan purata pekerja lelaki Melayu diantara S$386–S$602, jumlah purata yang diterima oleh golongan wanita pula adalah di antara S$262–S$416 sahaja. Kedua-dua bidang pendidikan dan pekerjaan ini lebih dikuasai golongan lelaki berbanding wanita.4
Menurut kajian, terdapat perubahan pada status wanita dalam masa sedekad antara tahun 1970 dan 1980 dalam bidang ekonomi dan pendidikan wanita. Begitu juga terdapat peningkatan kedudukan sosial wanita dalam undang-undang di Singapura.
Walaupun wanita Singapura telah berjaya meningkatkan pencapaian mereka dari segi jumlah pendaftaran dalam institusi pendidikan, pencapaian dalam pendidikan tinggi, peningkatan dalam tenaga buruh dan meningkatkan pendapatan mereka antara 1970–1990, namun pencapaian kaum lelaki masih jauh mengatasi pencapaian wanita dalam hal-hal ini.5
Penceraian juga merupakan antara isu yang memberikan kesan terutama kepada wanita dan anak-anak. Jumlah kes penceraian dalam kalangan masyarakat Singapura pada tahun 1970 adalah sebanyak 6,967 kes bersamaan dengan 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk. Pada tahun 1980, kes penceraian meningkat lebih 100 peratus dengan jumlah 16,664 kes atau sebanyak 0.7 peratus.6
Institusi keluarga adalah penting bagi wanita kerana ia memberi jaminan keselamatan kepada mereka dan anak-anak. Jumlah anak-anak daripada wanita yang berkerjaya adalah sebanyak 60,240. Jumlah kanak-kanak yang diasuh oleh suri rumah sepenuh masa pula lebih tiga kali ganda berbanding jumlah wanita yang bekerja sebanyak 232,125 orang pada tahun 1980.7
Kebajikan dan masa depan anak-anak sangat penting bagi menentukan kebahagian wanita. Jika penceraian tidak diberikan perhatian dan dibendung maka banyak keperluan golongan wanita yang tidak dapat dipenuhi dan kebajikan anak-anak terjejas, terutamanya jika anak itu masih terlalu kecil.
Transliterasi: Si suami bersembahyang dengan sungguh-
sungguh
dan berpuasa dengan teratur, sedangkan isterinya
tidak pernah sekali juga melakukannya. Anak laki-laki
dihantar dengan sungguh-sungguh ke sekolah dan tempat
pengajian tetapi anak perempuan dibiarkan tinggal di rumah
tidak diberi didikan yang cukup untuk dirinya di belakang
hari. Bukankah anak perempuan itulah nanti apabila telah
menjadi seorang ibu, maka dia pulalah sebagai guru yang
pertama sekali kepada anaknya. Pendapatnya anak perempuan
sama pentingnya dengan anak laki-laki dalam membangun
masyarakat, bangsa, serta negara. Malah mempunyai
kedudukan yang sama di dalam beramal soleh dan berbakti
kerana akan menerima upah dan pahala yang sama pun.
Ahmad Sonhadji menyentuh sikap kurang prihatin sebahagian suami terhadap keperluan keagamaan isteri dan sikap sebahagian masyarakat melayani anak lelaki melebihi anak perempuan dalam memberikan pendidikan dunia dan agama. Ia adalah sesuatu tindakan yang salah dan perlu diperbaiki. Ini kerana menurut beliau, darjat kedudukan wanita dan lelaki di sisi Allah s.w.t adalah sama. Setiap mereka akan mendapat ganjaran dan balasan sesuai dengan amal kebajikan yang mereka kerjakan. Menurut beliau lagi, penghormatan al-Quran terhadap wanita adalah tinggi kerana peranan penting yang dimainkan oleh mereka terutamanya dalam kehidupan para pemimpin dan tokoh-tokoh penting. Nama-nama penting seperti Maryam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa, Asiah isteri kepada Firaun yang menjaga keselamatan Nabi Musa dan Khadijah isteri kepada Nabi Muhammad s.a.w. diberikan sebagai contoh. Mereka merupakan tokoh-tokoh wanita penting dalam kehidupan para nabi dan menjadi tulang belakang kepada usaha dakwah para nabi dengan memberikan sokongan penuh tanpa berbelah bagi. Kelembutan dan kehalusan mereka tidak dapat ditandingi oleh lelaki. Dengan adanya sifat-sifat ini, menonjol tugasan utama seorang wanita iaitu kemampuan mereka memelihara dan memastikan kesejahteraan keluarga dan ketaatannya kepada Allah s.w.t dan suami.
Transliterasi: Maksudnya, ibu yang telah bersedia untuk
menyusukan anaknya, maka janganlah si suami mengambil
anaknya pula untuk disusukan kepada perempuan lain kerana
yang demikian itu akan menyusahkan ibu tersebut atau
janganlah ibu itu dipaksa menyusukan anaknya supaya menjadi
kesusahan kepadanya, padahal ia tidak sanggup menyusukannya.
Dalam pada itu, menyusukan anak itu tiadalah wajib baginya.
Begitu pula ayah anak itu, janganlah dibebankan dengan
meletakkan anaknya kepadanya. Pada hal anak itu perlu
disusui oleh ibunya, sehingga menyusahkan ke atas dirinya
dan diri kanak-kanak itu. Walhasil salah seorang dari kedua
ibu dan bapa itu janganlah saling sakit menyakiti dan susah
menyusahkan akan anak mereka bahkan hendaklah keduanya
bertanggungjawab di atas kehidupannya.
Khutbah ini menarik perhatian kerana tajuk ini biasanya dibincangkan dalam kalangan wanita tetapi disampaikan kepada hadirin yang terdiri daripada kaum lelaki semuanya. Ia berkaitan memberikan susu ibu kepada bayi. Ia menunjukkan bahawa Ahmad Sonhadji sangat peka terhadap kebajikan golongan wanita dan kanak-kanak dengan memberikan nasihat dan mengingatkan kepada kaum lelaki akan tugas mereka menjaga kebajikan wanita dan anak-anak. Laporan banci kebangsaan pada tahun 1980 menunjukkan jumlah wanita Melayu adalah sebanyak 76,381. Manakala yang berkerjaya hanya sebanyak 22, 975 dan jumlah majoriti wanita yang tidak bekerja dan mengharapkan sokongan suami atau bapa adalah sebanyak 53,405.8
Ahmad Sonhadji menjelaskan bahawa memberikan susu ibu kepada bayi merupakan makanan asas bagi bayi terutama yang baharu lahir agar mereka dapat membesar dengan sihat. Oleh itu, kebajikan ibu yang menyusukan harus diberi perhatian agar kebajikan anak itu juga turut terjaga. Persefahaman di antara suami dan isteri dalam perkara ini harus diwujudkan demi menjaga kemaslahatan anak-anak ini.
Transliterasi: Sesungguhnya sangatlah aibnya sesebuah
rumahtangga yang dibina di atas dasar permainan. Suami
isteri yang kerap bercerai disebabkan pertengkaran yang kecil
l
tetapi kemudiannya rujuk dengan melakukan yang sedemikian
itu berkali-kali, sesungguhnya telah mempermainkan
pembinaan rumahtangga mereka kerana bercerai itu bererti
meruntuhkannya dan rujuk bererti membinanya. Jika
berulangkali berlaku keruntuhan rumahtangga, bukan hanya
keduanya sahaja yang akan menderita tetapi kesannya juga
sangat buruk terhadap kehidupan anak-anak mereka, baik
dalam belaan dan asuhan maupun dalam didikannya dan
pelajaran. Bahkan juga mengganggu pertumbuhan jiwa
kanak-kanak yang baik selalu mengharapkan kasih sayang
dari kedua ibu bapanya. Itulah sebabnya Tuhan membataskan
bercerai hanya setakat dua kali sahaja. Bila bercerai pada kali
yang ketiga, tak boleh rujuk semula kecuali dengan syarat
yang ketat. Namun demikian, rujuk pun ada gunanya dan
ada hikmahnya.
Menerusi khutbah ini, Ahmad Sonhadji menyuarakan kerisauan tentang penceraian yang banyak berlaku dalam masyarakat Singapura. Masyarakat perlu sedar bahawa rumahtangga itu bukan suatu permainan yang boleh dicerai dan dirujuk sesuka hati. Isu penceraian ini berlaku dalam masyarakat Melayu Singapura pada kadar yang agak tinggi pada zaman tersebut. Laporan banci kebangsaan menunjukkan jumlah penceraian pada tahun 1970 adalah sebanyak 6,967 kes dan meningkat secara drastik kepada 16,664 kes pada tahun 1980. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak lebih 100 peratus dengan jumlah penduduk pada masa itu masingmasing berjumlah 2.027 juta dan 2.4 juta.9
Penceraian juga memberikan kesan yang buruk bukan sahaja terhadap pasangan tetapi menjejas kebajikan anak-anak yang terlibat dalam proses tersebut. Antara faktor penyebab kepada berlakunya penceraian adalah kerana pendapatan ekonomi isi rumah yang rendah berbanding keperluan hidup yang tinggi di Singapura, pasangan muda yang tidak matang menguruskan rumahtangga, kurangnya ilmu pengetahuan tentang menguruskan rumahtangga dan tidak menyedari implikasi buruk penceraian terhadap pasangan terutama kepada anak-anak.
Ahmad Sonhadji menyentuh isu penceraian rumahtangga dalam khutbahnya sebanyak 3 kali, iaitu pada 6 Disember 1974 dengan tajuk Perempuan Yang Bercerai Hendaklah Beriddah, khutbah pada 21 Februari 1975 bertajuk Janda Hendaklah Beriddah dan khutbah yang disampaikan pada 6 April 1979 bertajuk Talak Itu Hanya Dua Kali. Dengan adanya instrumen penceraian atau talak dalam al-Quran menunjukkan kesempurnaan ajaran Islam. Ini kerana bukan sahaja panduan diberikan ketika suasana bahagia tetapi ketika berlakunya konflik dan krisis dalam rumahtangga dengan adanya aturan dan jalan keluar kepada masalah yang dihadapi.
Dalam khutbah berkaitan talak dan iddah, Ahmad Sonhadji menjelaskan hikmah atau tujuan mengapa talak itu hanya boleh berlaku dua kali sahaja agar isteri tidak dizalimi oleh suami. Tempoh iddah adalah selama tiga kali suci daripada waktu haid jika suami masih hidup. Adanya tempoh iddah ini bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kemaslahatan isteri dan anak-anak agar perkahwinan yang ada masih boleh diselamatkan sekiranya keduadua pihak suami dan isteri bersedia untuk memperbaiki perkahwinan mereka. Sekiranya suami meninggal dunia pula, tempoh iddahnya adalah selama empat bulan sepuluh hari. Tempoh ini memberi peluang jika ada anak di dalam rahim ibu agar dapat hidup berkembang dengan baik tanpa gangguan daripada baka bapa yang baru. Anak juga akan biasanya mula bergerak dalam tempoh tersebut. Ini juga bertujuan memelihara kebajikan wanita dari sudut kesihatan fizikal dan anak-anak dari sudut memastikan hak pemilikan harta peninggalan daripada bapanya.
Tema: Adab, Etika Dan Integriti
Karya khutbah Ahmad Sonhadji memaparkan pengalaman masyarakat Melayu Islam Singapura bergelut dengan kemodenan dan berhadapan dengan cabaran kehidupan. Ia tergambar melalui isu-isu yang dibawakan dalam khutbah seperti keadaan ekonomi yang sukar, taraf sosial yang rendah, semangat kebangkitan beragama, perasaan seperti tertindas dan kekurangan pemimpin yang mewakili aspirasi mereka.
Di sini juga tergambar karisma Ahmad Sonhadji membawakan isuisu sosio-agama dalam khutbah-khutbahnya. Ramai karyawan utama Melayu telah menggunakan karya penulisan mereka bukan sahaja sebagai bahan seni tetapi sebagai platform untuk menyampaikan nilai-nilai penting, berinteraksi dengan masyarakat mengenai isu-isu penting dan mengutarakan kebimbangan mereka terhadap sesuatu perkara dalam perkembangan masyarakat.10
Jenayah menjadi indikator kepada tinggi atau rendah adab, etika dan integriti dalam sesebuah masyarakat. Pada era pasca perpisahan dengan Malaysia, masyarakat Melayu Singapura, terutama para belia menghadapi cabaran hidup dan jati diri. Pada tahun-tahun 1970-an, penyalahgunaan dadah membelenggu masyarakat Melayu berbanding bangsa-bangsa yang lain in Singapura.
Transliterasi: Sesungguhnya seburuk-buruk ujian yang dirasakan
oleh seseorang itu ialah orang yang berputus asa. Orang yang
berputus asa akan mematikan kesedarannya. Dia akan murung
hidupnya sehingga dunia ini akan menjadi gelap baginya. Dia
tidak akan bersemangat dan akan hancur segala cita-citanya.
Lantaran itu, dia akan mencari sesuatu yang pada anggapannya
dapat mententeramkan jiwanya. Dicubanya bahan-bahan, baik
yang berupa minuman seperti arak atau makanan seperti pil-pil
yang mengandungi dadah yang merbahaya atau menyuntikkan
bahan-bahan tersebut ke tubuhnya. Memang gejala yang amat
berbahaya inilah yang terbit dari perasaan putus asa. Orang yang
berputus asa ini telah disebutkan oleh Allah di dalam Al-Quran
dalam bentuk yang tercela dan hendaklah disingkirkan jauh-jauh.
Menurut Ahmad Sonhadji, pada zaman tersebut masyarakat Melayu menghadapi permasalahan sosial antaranya seperti masalah penagihan dadah dan pengangguran. Antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini adalah sikap sebahagian masyarakat itu sendiri yang mudah berputus asa apabila menghadapi ujian, tidak mempunyai daya ketahanan dalam menghadapi ujian hidup dan mencari jalan mudah untuk melupakan masalah dengan mengambil dadah atau bahan-bahan yang merosakkan diri sendiri. Perkara ini dilarang oleh Islam kerana ia merosakkan masa depan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Seorang Muslim itu harus senantiasa mensyukuri segala nikmat kurniaan Tuhan terutama ketika senang, kuat pendirian keimanannya dan tidak putus asa apatah lagi dengan membunuh diri ketika menghadapi ujian hidup seperti yang banyak berlaku pada zaman itu.
Kajian menunjukkan masyarakat Melayu pada masa tersebut perlu mengatasi masalah dadah agar dapat menjadi masyarakat yang berjaya dan lebih maju dengan masa depan yang lebih cerah. Usaha membasmi penagihan dadah di Singapura giat dijalankan oleh pelbagai pihak terutama pemerintah pada tahun-tahun 1970-an.
Lebih membimbangkan lagi, ramai yang terjebak dalam penagihan dadah ini terdiri daripada para pelajar sekolah yang berumur semuda 13 tahun. Mereka menggunakan wang saku untuk membeli ganja dan juga dadah.11
Pada bulan Oktober tahun 1975, 3,619 orang ditangkap kerana menagih dadah, sebahagian besar mengambil dadah heroin dengan jumlah 1,896 atau 88.2 peratus adalah pesalah belia di bawah umur 30 tahun. Perkembangan ini membimbangkan banyak pihak.12 Pada tahun 1975 sahaja, terdapat sebanyak 2,200 orang telah terjerumus ke kancah dadah dan jumlah sebanyak S$26 juta telah dibazirkan untuk menampung kos penagihpenagih dadah ini.13 Hanya setahun selepas itu, jumlahnya meningkat lebih dua kali ganda menjadikan jumlahnya sebanyak 6,000 orang penagih dadah ditangkap sepanjang tahun 1976.14
Terdapat usaha yang dilakukan secara kolektif di antara permerintah, ibu bapa, pemimpin akar umbi dan pihak sekolah bagi mendidik masyarakat terutama golongan belia untuk memupuk kesedaran tentang bahaya dadah. Ceramah dengan pelbagai tajuk berkaitan dadah diadakan di sekolah-sekolah, kelab masyarakat dan juga di madrasah.15 Golongan yang terlibat dalam penagihan dadah ini bukan hanya daripada kalangan lelaki tetapi terdapat juga kaum wanita yang terjebak dan ditangkap oleh pihak berkuasa.16
Transliterasi: Sebabnya iri hati itu ditegah, ialah dikhuatiri
kelak bertukar menjadi hasad atau dengki kerana siapalah
tahu ibarat orang yang pada permulaannya hanya bermain-
main
saja di tepi kawasan larangan tiba-tiba terjerumus
ke dalam kawasan larangan tersebut yang akibatnya
membahayakan dirinya. Kesan yang kita dapati dari ayat
ini ialah, Allah menegah janganlah seseorang itu iri hati,
apalagi dengki terhadap orang lain yang sedang dikurniakan
oleh Allah kelebihan-kelebihan yang tidak terdapat pada
dirinya, kerana mungkin menyusahkan dirinya sendiri kelak
sekira ditakdirkan kurnia itu jatuh ke atas pangkuannaya
disebabkan tak ada kelayakannya untuk menerimanya. Apa
yang perlu, pohonkan sahaja kepada Allah dan terima sahaja
sebarang kurnianya dengan bersyukur kepadanya sebab
masih banyak lagi kurnia Allah yang lain dan masih penuh
perbendaharaan Allah dengan kurnianya yang tidak akan
berkurang dengannya.
Ahmad Sonhadji menjelaskan bahawa dalam sesebuah masyarakat terdapat pelbagai jenis manusia yang terdiri daripada golongan kaya dan miskin. Ia merupakan suatu ketetapan alam yang ditentukan oleh Tuhan dan ujian Tuhan bagi setiap golongan. Mereka tidak sepatutnya beriri hati dengan golongan yang dikurniakan kelebihan dan menyesali hidupnya. Yang perlu dilakukan adalah berusaha mencari kurniaan Tuhan yang melimpah kerana menurut Ahmad Sonhadji, orang yang rajin bekerja akan mendapat upah yang banyak dan yang malas bekerja mendapat upah yang sedikit. Beriri hati dengan meminta Tuhan agar memberikan semua manusia sama rata dan menjalani corak hidup yang sama adalah berlawanan dengan sifat dan peraturan Tuhan. Ini adalah kerana kemampuan manusia semuanya berbeza-beza dan kurniaan Tuhan adalah bersesuaian dengan kemampuan manusia tadi.
Transliterasi: Tetapi bagaimana pula dengan keadaan
sesetengah umat Islam sekarang ini? Mereka telah mulai
mengabaikan sifat amanah ini, akhirnya telah menyia-
nyiakannya.
Di sana sini mereka cuba mendirikan syarikat
kerjasama tetapi di sebalik itu terdapat setengah daripada
ahlinya mencari kepentingan diri sendiri, hilang kejujurannya,
menggunting dalam lipatan, berlakulah pecah amanah. Maka
terpaksalah syarikat kerjasama itu bubar, dan diadakan pula
yayasan mengumpul modal-modal. Terkumpullah wang
beribu-ribu ringgit dan mulalah berbagai projek dirancangkan,
tetapi sayangnya ada tangan yang bernoda telah berkhianat
tidak jujur dan tidak amanah sehingga yayasan itu hancur
dikhianati oleh bangsa sendiri. Begitulah keadaan kita terus
menerus mundur seperti yang dilihat orang. Kita hanya
mengucap “Inna lillah wa inna ilaihi rajiI un,” Itulah kata
-kata
ucapan bagi orang yang sedang ditimpa bala, tetapi
apa gunanya kalau diri sendiri yang mencari bala-bala itu
disebabkan tidak memelihara amanah.
Kestabilan ekonomi masyarakat dan kemajuan sesuatu negara bergantung kepada sejauh manakah kejujuran anggota masyarakat itu, kepimpinannya, pemerintahnya, pegawai kerajaan dan ahli perniagaannya. Isu ini disentuh oleh Ahmad Sonhadji dalam khutbahnya dengan membawakan kiasan “bagai gunting dalam lipatan” untuk menggambarkan keadaan yang berlaku dalam masyarakat. Terdapat budaya pecah amanah pada masa tersebut yang berlaku menyebabkan syarikat dan yayasan milik orang Melayu menghadapi kerugian yang besar dan terpaksa ditutup. Ahmad Sonhadji menyatakan bahawa Allah s.w.t memuji orang yang amanah, bertanggungjawab dan jujur. Celaan dan ancaman Allah s.w.t pula dihadapkan terhadap orang yang pecah amanah. Kemudian beliau membuat perbandingan dan membawakan contoh kejayaan sebahagian orang asing yang jujur dan kuat berusaha berjaya menjadi maju dan menguasai ekonomi.
Jenayah adalah penyakit masyarakat yang ubatnya masih dianggap belum memberikan kesan. Ini adalah tajuk artikel yang ditulis oleh Encik Mohd Guntur Sadali yang disiarkan melalui akhbar pada tahun 1975. Menurut beliau, jumlah jenayah di Singapura masih tinggi pada masa tersebut walaupun negara telah menjadi lebih maju dan bersih dari pelbagai segi seperti udara, bunyi dan sampah. Selain itu Singapura juga telah mengatasi negara-negara jirannya dari segi ekonomi dan jika mereka ingin bersaing dengan Singapura mereka memerlukan beberapa tahun untuk mengejarnya. Masalah kerendahan nilai moral dalam kalangan masyarakat masih ketara dan boleh dilihat melalui jenis dan jumlah jenayah yang berlaku di Singapura pada masa tersebut. Rasuah dan pecah amanah berlaku secara berleluasa. Jenayah seperti rompak, bunuh, rogol dan segala jenis jenayah kejam masih banyak berlaku di Singapura yang dikatakan telah mencapai kemajuan. Ia dilakukan bukan hanya oleh golongan awam tetapi dilakukan juga oleh golongan atasan yang dihormati masyarakat. Menurut beliau kekotoran moral ini perlu difikirkan dengan serius, kesedaran perlu dipupuk dan pembaikan perlu diusahakan walaupun mungkin memerlukan masa yang lama untuk mengubah situasi ini. Masyarakat yang boleh dikira berjaya menurut beliau adalah anggota masyarakatnya mempunyai nilai moral yang tinggi dan memerhatikan prinsip-prinsip yang diajarkan oleh agama mereka. Ia perlu diperlihatkan terlebih dahulu oleh para pemimpin yang adil dan para agamawan yang bermoral.17
Antara jenayah pecah amanah yang dilaporkan pada tahun 1968 adalah kes jenayah Gemini Chit Fund yang melibatkan penyelewengan wang sebanyak S$3 juta dan kes pecah amanah yang terbesar melibatkan jumlah wang sebanyak S$24.2 juta pada tahun 1978 yang ditumpaskan oleh pasukan polis. Kedua-dua kes ini diketuai oleh ASP Abu Bakar dan beliau dianugerahkan Pingat Kepujian Tertinggi oleh Pasukan Polis Singapura kerana berjaya menyelesaikan kes yang rumit tersebut dalam masa dua tahun.18
Masih terdapat banyak kejadian pecah amanah dalam kalangan masyarakat Singapura yang dilaporkan oleh media massa pada tahun-tahun 1970-an. Jumlah jenayah kolar putih meningkat pada setiap tahun antara tahun 1978 hingga tahun 1980. Menurut Encik Reggie C. Da Silva, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID), kes pecah amanah yang dilaporkan pada tahun 1978 adalah sebanyak 1,558 kes, 2,204 kes dilaporkan pada tahun 1978 dan sebanyak 2,266 kes pada tahun 1980. Jenayah kolar putih ini berlaku disebabkan oleh perbuatan seperti pecah amanah, penipuan wang, judi tipu, pemalsuan maklumat dan penipuan bil dagangan terutama yang melibatkan industri perkapalan. Ini bermakna, pada tahun 1979, terdapat 55 kes pecah amanah dalam kalangan 100,000 penduduk berbanding hanya 18 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 1970 di Singapura pada masa itu.19
Transliterasi: Di antara jenis makan yang haram itu ialah
makan suap (rasuah). Ia merupakan penyakit yang sangat
berbahaya kepada masyarakat dan juga negara. Rasuah ibarat
racun. Lebih berbahaya makan suap itu dari menghisap ganja
dan menyalahgunakan dadah. Racun yang akan menjadikan
masyarakat hidup merana dan akhirnya juga negara jadi
binasa. Orang yang mengamalkan rasuah dan makan dari
hasil rasuah atau makan makanan yang diketahui datangnya
dari sumber yang haram, baik terpaksa atau sengaja, tentu
sekali orang itu akan melahirkan anak atau keturunan dan
zuriat yang kurang bersih kerana darah daging telah tumbuh
daripada barang yang haram. Maka tidaklah hairan kalaulah
terdapat keturunan di belakang hari kelak lebih banyak terlibat
di dalam melakukan kerja-kerja yang haram, kegiatan yang
haram, terdidik dengan kerja-kerja yang haram dan hidup
di dalam gerakan yang haram, melebihi dari orang yang
menurunkannya.
Rasuah juga merupakan sesuatu makanan yang haram dan ibarat racun yang membinasakan masyarakat dan negara. Generasi yang akan datang akan menjadi lebih parah kerana dididik dengan ajaran yang salah. Ahmad Sonhadji menerangkan bahawa kepentingan dan kemaslahatan orang ramai tidak mungkin diwujudkan selagi belum mahu mematuhi dan taat kepada Allah, Rasul dan Uli al-Amr (pihak yang berpakaran dan punya kuasa). Kedudukan seorang manusia itu terletak pada teguh pendiriannya, baik jujur dalam segala tutur kata dan perbuatannya. Tegak berdiri dengan batas-batas yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, tidak menuruti hawa nafsu, suka dan benci sesuatu kerana Allah s.w.t, dan cepat bertaubat apabilamelakukan dosa.
Transliterasi: Jika kita perhatikan, merenung sejenak ke
arah ayat-ayat suci Al-Quran yang memperkatakan tentang
perangai, budi dan akhlak, jelas sekali bahawa tiada lain
yang dikehendaki Allah s.w.t kepada umat Islam hanya ke
arah itu. Hendaklah umat Islam itu berperangai yang baik,
berbudi yang luhur dan berakhlak yang mulia. Inilah sifat
-sifat
yang mulia yang ditekankan oleh Islam kepada sekalian
penganutnya dan pertama sekali dapat kita lihat pada
firman Allah kepada RasulNya s.a.w, ertinya, “Tetapkanlah
pendirian engkau sebagaimana engkau diperintahkan.”
(Hud: 112) Maksudnya baginda hendaklah berpendirian
teguh dalam beragama dan melaksanakan dengan jujur apa
yang diperintahkannya. Tentu sahaja sebagai contoh kepada
umat, baginda telah pun melaksanakan pendiriannya yang
teguh dalam beragama sebagai pegangan hidup dan sentiasa
bersikap jujur.
Dalam memberikan panduan kepada masyarakat berkaitan isu etika dan integriti, Ahmad Sonhadji menjelaskan bahawa dalam sesebuah masyarakat, adab merupakan perkara penting. Akhlak yang baik bertujuan untuk memelihara kesejahteraan masyarakat, berlaku persefahaman dan tidak ada perbalahan walaupun berlainan bangsa, bahasa dan agama. Di antara sifat pergaulan yang terbaik itu adalah dengan adanya sifat saling hormatmenghormati dan berbudi bahasa misalnya apabila berada di dalam sesuatu majlis perjumpaan. Menjaga lidah dengan berdiam diri atau menutup mulut adalah lebih baik jika tiada perkara yang baik boleh dituturkan.
Dalam memberikan panduan kepada masyarakat berkaitan isu etika dan integriti, Ahmad Sonhadji menjelaskan bahawa dalam sesebuah masyarakat, adab merupakan perkara penting. Akhlak yang baik bertujuan untuk memelihara kesejahteraan masyarakat, berlaku persefahaman dan tidak ada perbalahan walaupun berlainan bangsa, bahasa dan agama. Di antara sifat pergaulan yang terbaik itu adalah dengan adanya sifat saling hormatmenghormati dan berbudi bahasa misalnya apabila berada di dalam sesuatu majlis perjumpaan. Menjaga lidah dengan berdiam diri atau menutup mulut adalah lebih baik jika tiada perkara yang baik boleh dituturkan.
Khutbah beliau yang membincangkan isu-isu berkaitan etika dan integriti, menekankan nilai kejujuran menjaga amanah, menjauhi perkara yang boleh merosakkan diri, adab kesopanan dalam pertuturan dan tingkah laku, mentaati perintah dan menjauhi larangan Allah s.w.t, Rasullullah s.a.w dan pemimpin kaum muslimin, konsep keimanan, konsep ketaqwaan dan menjelaskan implikasi perbuatan yang menyalahi aturan ini.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada pembacaan dan analisa yang dilakukan ke atas pemikiran Ahmad Sonhadji melalui koleksi khutbahnya, pengkaji mendapati bahawa beliau adalah seorang tokoh ilmuan yang berkemahiran tinggi. Beliau berpengalaman luas dalam menghasilkan bahan-bahan penulisan yang menjadi naratif penting dan panduan bagi masyarakat Melayu Singapura dalam menghadapi isu-isu sosio-agama pada zaman pasca perpisahan dengan Malaysia.
Pemikiran beliau dapat diselami melalui perbincangan isu-isu sosio-agama yang dihadapi oleh masyarakat Singapura. Isu pengabaian hak pendidikan anak perempuan, isu penceraian wanita, isu pekerjaan, cabaran ekonomi masyarakat Melayu dan isu-isu pengamalan keagamaan mendapat perhatian yang tinggi dalam karya-karya beliau. Isu-isu sosial yang diangkat oleh Ahmad Sonhadji dalam khutbah-khutbah beliau adalah respon kepada isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Melayu Islam Singapura pada masa tersebut. Gaya bahasa yang digunakan oleh Ahmad Sonhadji dalam khutbah beliau adalah pelbagai dan sebahagian besarnya berbentuk konstruktif, optimistik dan positif terhadap masa depan masyarakat Melayu Islam di Singapura.
Atas keprihatinan Ahmad Sonhadji yang sering memikirkan permasalahan masyarakat dan mengambil peduli cabaran yang mereka hadapi menyebabkan beliau boleh dikategorikan sebagai seorang reformis sosial yang memperjuangkan isu-isu sosio-agama. Koleksi khutbah ini diharapkan dapat terus dikaji kerana ia mencerminkan kebijaksanaan dan daya intelektual permata tafsir Singapura ini. Ketajaman pandangan dan kehalusan pemikiran serta ketelitian dalam merawat masalah masyarakat terserlah melalui koleksi khutbah ini. Pengkaji mencadangkan agar koleksi khutbah beliau dicetak semula, dijadikan sebagai sebuah karya agung, dibaca oleh khatib sebagai teks khutbah yang baru dan dijadikan sebagai rujukan pengkaji kerana ia adalah khazanah berharga masyarakat Melayu Singapura.
Acknowledgments
I would like to thank Dr Wan Nasyrudin Bin Wan Abdullah and Dr Azhar Ibrahim for their invaluable insights. My appreciation goes to Mazelan Anuar, Juffri Supa’at, Joanna Tan and Tan Huism (National Library Board, Singapore) for providing invaluable access to documents, inputs and the opportunity to be the recipient of the Lee Kong Chian Research Fellowship.
BIBLIOGRAFI
Azhar Ibrahim. “Resisting Cultural Amnesia: Malay Literature of Dignified Presence.” In Majulah! 50 Years of Malay/Muslim Community in Singapore. Edited by Zainul Abideen Rashid and Norshahril Saat. Singapore: World Scientific, 2016, 465–77. (From National Library Singapore, call no. RSING 305.697095957 MAJ)
Berita Harian. “Kempen Basmi Salahguna Dadah Pada Pelajar-Pelajar Diperhebat” [The campaign to eradicate drug abuse among students is intensified]. 19 September 1974, 5. (From NewspaperSG)
—. Mohd Guntor Sadali, “Jenayah: Penyakit Masyarakat Yang Ubatnya Dianggap Masih Belum Memberikan Kesan” [Crime: A disease of society for which the supposed cure has yet to produce an effect]. 30 May 1975, 8. (From NewspaperSG)
—. “11 Wanita Antara 177 Yg Ditahan Kerana Dadah” [11 women among the 177 arrested for drugs]. 29 September 1975, 1. (From NewspaperSG)
—. “Pabila Dadah Menyerang” [When drugs attack]. 13 December 1975, 1. (From NewspaperSG)
—. “Usaha-Usaha Membasmi Penagihan Dadah” [Efforts to eradicate drug addiction], 13 March 1976, 1. (From NewspaperSG)
—. Lebih 4,000 Penagih Dadah Diberkas” [More than 4,000 drug addicts were arrested]. 23 January 1977, 2. (From NewspaperSG)
—. Mohd Maidin. “Orang Yang Bongkar Kes Pecah Amanah Terbesar” [The person who uncovered the biggest breach of trust case]. 14 January 1979, 1. (From NewspaperSG)
—. Masalah Dadah” [Drug problem], Berita Harian, 4 February 1978, 2; “Ceramah kesan dadah.” 24 March 1980, 3. (From NewspaperSG)
—. “Jenayah ‘Kolar Putih’ Kian Meningkat Di Sini” [White collar crime is on the rise here]. 6 December 1980, 8. (From NewspaperSG)
Debbie Eng Bee Tan Porter. The Status of Women in a Transitional Society: Male-Female Differentials in Education, Occupation and Earnings in Singapore.Canada: University of New Brunswick, 1997.
Khoo, Chian Kim. Census of Population 1980 Singapore, Release No. 1. Advance Release of Basic Demographic and Geographic Data. Singapore: Department of Statistics, 1981. (From National Library Singapore, call no. RCLOS 312.095957 CEN)
—. Census of Population 1980 Singapore, Release No. 7. Income and Transport. Singapore: Department of Statistics. (From PublicationSG)
—. Census of Population 1980, Singapore. Release no. 9, Religion and Fertility. Singapore: Department of Statistics, 1981. (From National Library Singapore, call no. RCLOS 312.095957 CEN)
M. Qusairy Thaha. Pemikiran Sosio-Agama Ahmad Sonhadji Mohamad Melalui Koleksi Khutbah (1971–1980) [Ahmad Sonhadji Mohamad’s socio-religious thought through a collection of sermons (1971–1980)]. Singapore: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Islam Singapura (PERGAS), 2021. (From National Library Singapore, call no. R 297.3705957 MOH)
Norman Suratman. Menyongsong Arus: Biodata Ahmad Sonhadji Mohamad [Facing the tide: Biography of Ahmad Sonhadji Mohamad]. Singapura: Pustaka ASB Mohamad, 1997. (From National Library Singapore, call no. Malay RSING 922.97 NOR)
Zulkifli Haji Mohd Yusoff. A Study of Tafsir ’Abr Al-Athir and Sonhadji’s Methodology in Tafsir Al-Quran. Singapura: Ahmad Sonhadji, 2002. (From National Library Singapore, call no. RCLOS 297.122601 ZUL-[UAS])
NOTES
-
M. Qusairy Thaha, Pemikiran Sosio-Agama Ahmad Sonhadji Mohamad Melalui Koleksi Khutbah (1971–1980) [Ahmad Sonhadji Mohamad’s socio-religious thought through a collection of sermons (1971–1980)] (Singapore: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Islam Singapura (PERGAS), 2021). (From National Library Singapore, call no. R 297.3705957 MOH) ↩
-
Norman Suratman, Menyongsong Arus: Biodata Ahmad Sonhadji Mohamad [Facing the tide: Biography of Ahmad Sonhadji Mohamad] (Singapura: Pustaka ASB Mohamad, 1997) (From National Library Singapore, call no. Malay RSING 922.97 NOR); Zulkifli Haji Mohd Yusoff, A Study of Tafsir ’Abr Al-Athir and Sonhadji’s Methodology in Tafsir Al-Quran (Singapura: Ahmad Sonhadji, 2002). (From National Library Singapore, call no. RCLOS 297.122601 ZUL-[UAS]) ↩
-
Khoo Chian Kim, Census of Population 1980 Singapore, Release No. 1. Advance Release of Basic Demographic and Geographic Data (Singapore: Department of Statistics, 1981), 2. (From National Library Singapore, call no. RCLOS 312.095957 CEN) ↩
-
Khoo Chian Kim, Census of Population 1980 Singapore, Release No. 7. Income and Transport (Singapore: Department of Statistics, 1981), 119. (From PublicationSG) ↩
-
Debbie Eng Bee Tan Porter, The Status of Women in a Transitional Society: Male-Female Differentials in Education, Occupation and Earnings in Singapore (Canada: University of New Brunswick, 1997) ↩
-
Khoo, Basic Demographic and Geographic Data, 2. ↩
-
Khoo Chian Kim, Census of Population 1980, Singapore. Release no. 9, Religion and Fertility (Singapore: Department of Statistics, 1981), 121–23. (From National Library Singapore, call no. RCLOS 312.095957 CEN) ↩
-
Khoo Chian Kim, Census of Population 1980, Singapore. Release no. 4, Economic Characteristics (Singapore: Department of Statistics, 1981), 293–95. (From National Library Singapore, call no. RCLOS 312.095957 CEN) ↩
-
Khoo, Basic Demographic and Geographic Data, 2. ↩
-
Azhar Ibrahim, “Resisting Cultural Amnesia: Malay Literature of Dignified Presence,” in Majulah! 50 Years of Malay/Muslim Community in Singapore, ed. Zainul Abideen Rashid and Norshahril Saat (Singapore: World Scientific, 2016), 466. (From National Library Singapore, call no. RSING 305.697095957 MAJ) ↩
-
“Kempen Basmi Salahguna Dadah Pada Pelajar-Pelajar Diperhebat” [The campaign to eradicate drug abuse among students is intensified], Berita Harian, 19 September 1974, 5. (From NewspaperSG) ↩
-
“Pabila Dadah Menyerang” [When drugs attack], Berita Harian, 13 December 1975, 1. (From NewspaperSG) ↩
-
“Usaha-Usaha Membasmi Penagihan Dadah” [Efforts to eradicate drug addiction ], Berita Harian, 13 March 1976, 1. (From NewspaperSG) ↩
-
“Lebih 4,000 Penagih Dadah Diberkas” [More than 4,000 drug addicts were arrested] Berita Harian, 23 January 1977, 2. (From NewspaperSG) ↩
-
“Masalah Dadah” [Drug problem], Berita Harian, 4 February 1978, 2; “Ceramah Kesan Dadah,” Berita Harian, 24 March 1980, 3. (From NewspaperSG) ↩
-
“11 Wanita Antara 177 Yg Ditahan Kerana Dadah” [11 women among the 177 arrested for drugs], Berita Harian, 29 September 1975, 1. (From NewspaperSG) ↩
-
Mohd Guntor Sadali, “Jenayah: Penyakit Masyarakat Yang Ubatnya Dianggap Masih Belum Memberikan Kesan” [Crime: A disease of society for which the supposed cure has yet to produce an effect], Berita Harian, 30 May 1975, 8. (From NewspaperSG) ↩
-
Mohd Maidin, “Orang Yang Bongkar Kes Pecah Amanah Terbesar” [The person who uncovered the biggest breach of trust case], Berita Harian, 14 January 1979, 1. (From NewspaperSG) ↩
-
“Jenayah ‘Kolar Putih’ Kian Meningkat Di Sini” [White collar crime is on the rise here], Berita Harian, 6 December 1980. (From NewspaperSG) ↩